Kebanyakkan tempat sekarang sudah menggantikan penggunaan tong sampah mereka dari penggunaan tong sampah hitam biasa kepada tong-tong sampah beroda. Aku sebagai penduduk menyambut baik langkah pihak majlis perbandaran yang mengambil inisiatif ini lebih-lebih lagi apabila tong-tong sampah diedarkan secara percuma tanpa perlu dibeli oleh penduduk sendiri.
Apa yang aku nampak dengan penggunaan tong-tong sampah ini, ianya lebih membawa lebih banyak kesan positif berbanding sebelum ini. Pertamanya, kita tak perlu bimbang lagi dah jika penutup hilang sebelum ini kerana tong-tong sampah baharu ini mempunyai rekaan lebih baik dengan penutup tidak mudah tanggal dan mudah dikendalikan. Oleh yang demikian juga, tiadalah lagi masalah sampah dibongkar binatang-binatang liar seperti anjing, kucing dan gagak. Selain itu masalah bau sampah juga semakin berkurang sebab penutup tong sentiasa tertutup rapi kerana kapasiti muatannya juga lebih besar berbanding tong sampah hitam sebelum ini. Pendek kata, perubahan ini lebih banyak membawa kebaikan.
Baharu beberapa bulan ini juga, kerajaan menguatkuasakan undang-undang baharu berkaitan pembuangan sisa sampah. Sisa-sisa pepejal yang boleh dikitar semula hendaklah diasingkan terlebih dahulu sebelum dibuang. Ini lantaran kempen kitar semula dahulu yang mungkin kurang mendapat perhatian rakyat Malaysia. Maklumlah, rata-rata rakyat Malaysia memang suka mengambil jalan mudah. Dengan ini, kegagalan untuk mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dengan yang tidak boleh dikitar semula boleh dikenakan tindakan denda oleh pihak berwajib jika sabit kesalahan. Aku pun sudah mengamalkan pengasingan ini di rumah. Kalau rajin dan kalau banyak, aku akan tunggu lori surat khabar lama bagi dijual. Jika tidak, aku muatkan dalam satu beg plastik khas sahaja dan biarkan ia dikutip pekerja kutipan sampah.
Dalam pemerhatian aku setakat ini, ada jugalah satu perkara yang agak mengecewakan aku sejak dulu lagi sehinggalah sekarang. Aku tak nafikan yang penduduk sudah kurang merungut tentang jadual pengutipan sampah jika sedikit lewat kerana longgokan sampah sudah tidak kelihatan sangat begitu juga dengan bau sampah semakin berkurang menunjukkan perkhidmatan mereka semakin efisyen. Namun, apa yang aku ralatkan di sini bila pekerja-pekerja majlis perbandaran yang bertugas mengutip sampah tidak mengembalikan tong-tong sampah yang sudah dikosongkan ke tempat asalnya sebaliknya dibiar di tengah jalan sehingga menyulitkan kenderaan-kenderaan lain untuk lalu-lalang.
Aku bukan nak berkira sangat untuk mengambil balik tong sampah itu dan tempatkannya semula pada kedudukan asal. Aku tak kisah kalau aku berada di rumah ketika itu. Aku faham tugas pekerja-pekerja kutipan sampah yang keletihan dan mengejar masa. Aku pun boleh letakkannya balik ke tempat asal kalau aku ada di rumah ketika itu ataupun selepas aku pulang dari tempat kerja, aku tak kisah pun. Tapi, apa yang aku kisahkan jika tibanya musim-musim perayaan dan cuti panjang. Ramai yang mungkin akan meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung ataupun pergi bercuti ke tempat lain dalam tempoh yang agak lama. Cuba bayangkan ketika itu jika tong sampah yang sudah dikosongkan pihak pekerja kutipan sampah tidak dikembalikan ke tempat asal untuk tempoh yang agak lama terbiar di tengah jalan, bukankah ini akan memberi clue kepada penjenayah yang berkeliaran bahawa penghuni rumah tiada di rumah? Bukankah ini lebih memudahkan penjenayah melakukan aktiviti pecah rumah ke rumah-rumah yang tiada penghuni? Bukankah selama ini pihak berkuasa sering berkempen supaya para penghuni lebih berhati-hati dan waspada untuk meninggalkan rumah dalam keadaan selamat dan tidak mudah dihidu penjenayah? Cuba fikirkan.
Apa yang aku jelaskan di sini bukanlah kekesalan semata-mata tanpa melakukan tindakan yang perlu. Aku juga telah bertindak mengirimkan e-mail kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya memandang dan mengambil berat isu ini. Aku menegur tindakan segelintir pekerja kutipan sampah di dalam isi e-mail berkenaan walau dilihat sebagai isu remeh tapi impaknya mungkin besar. Walaubagaimanapun setelah beberapa bulan e-mail berkenaan dikirimkan kepada pihak yang berkenaan, situasinya masih lagi sama. Tiada juga perubahan.
Mungkin perkara ini remeh bagi sesetengah individu. Mungkin juga tiada kepekaan di dalam dirinya. Nak salahkan pekerja-pekerja majlis perbandaran itu sahaja pun tak boleh juga. Berat sebenarnya tugas mereka. Cuma bagi pekerja-pekerja kutipan sampah yang mengerti dan mengembalikan semula tong-tong sampah penduduk ke tempat asal, aku ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Kalau tiada pun, kita mintalah inisiatif jiran-jiran tetangga untuk membantu kita mana yang perlu. Aku juga sebagai jiran, selalu mengambil-tahu situasi rumah jiran-jiran aku bila ketiadaan mereka di rumah. Aku pastikan supaya rumah mereka tidak nampak seperti sudah berhari-hari ditinggalkan.
Moral of the story, walau sedikitpun kecuaian kita mungkin akan memberi peluang penjenayah melakukan jenayah. Oleh yang demikian, kita harus ambil sikap peduli, memerhati sekeliling dan mangambil tindakan walaupun ianya kecil tapi mampu menyelamatkan keadaan. Janganlah dah kena nanti baharu nak betindak. Kata orang, menghindar lebih baik dari mengubati, kan?
No comments:
Post a Comment