Sebelum aku kahwin lagi, arwah mak aku berpesan, jangan susahkan isteri, buatlah kerja-kerja rumah, tolong apa yang perlu. Maksud mak aku tu jangan terlalu membebankan isteri. Aku ingat pesan arwah mak aku sampai sekarang dan aku praktikkan. Tambah lagi isteri aku juga turut bekerja menambah pendapatan keluarga, jadi apalah salah kalau aku sebagai suami sama-sama membuat kerja-kerja rumah? Rasulullah juga begitu, kan? Tapi aku ni takdalah nak buat kesemuanya. Aku tak berapa minat mengemas rumah, jadi aku ambil bahagian memasaklah.
Aku amat meminati seni dan aku juga merasakan yang memasak ini juga adalah suatu cabang seni. Memasak juga bukan sekadar tahu menyediakan bahan-bahan masakan akan tetapi cara masakan itu dilakukan semuanya adalah seni. Kalau tidak digarap dengan baik, seni takkan menjadi halus dan cantik, begitu juga masakan takkan jadi sedap dan mempunyai keunikan rasa tersendiri. Kerana itulah aku minat memasak. Malah mengumpulkan rempah-rempah ratus dan sos-sos di dapur juga menjadi hobi aku.
Kenapa aku gemar memasak? Aku memasak bukan kerana isteri aku tak pandai memasak. Walaupun kenyataannya aku lebih mahir memasak dan mampu masak masakan yang lebih sedap berbanding isteri aku, tapi tak semestinya dia langsung tak tahu memasak. Buat pengetahuan korang, aku belajar memasak kari buat pertama dari isteri aku sendiri, so janganlah cakap aku ni hebat sangat.
Macamana aku tahu memasak? Aku pun tak tahu nak cakap tapi apa yang boleh aku katakan, seperti kemahiran-kemahiran yang lain, kita perlu selalu praktis. Pertama kali memasak mungkin rasanya tak sedap tapi janganlah terhenti di situ saja sebaliknya cuba dan cuba lagi selain kita cari dan pelajari apa kekurangan dari masakan yang awal tadi. Dan lagi satu, mungkin berkat zaman bujang aku dulu, aku sering ke dapur membantu arwah mak aku. Walaupun tak semestinya aku ke dapur untuk belajar memasak tapi aku ingin meringankan kerja arwah mak memasak di dapur. Tak payah banyak-banyak, tolong tumbukkan bawang dalam lesung sampai lumat pun cukup. Kalau rajin, cucilah sayur-sayuran dan potong apa yang patut. Kalaupun kita tak belajar secara langsung, berkatnya tu ada. Mungkin juga dalam diam, ibu kita mendoakan yang baik-baik untuk kita dalam hatinya, kita tak tahu malah kita tak boleh dengar pun isi hatinya. Dalam masa yang sama, itulah yang boleh membuat hati mak kita terhibur daripada dia berkeseorangan di dapur. Maklumlah aku pun tiada adik-beradik perempuan. Sesungguhnya aku rindu dengan saat-saat itu. Mak aku juga pernah memuji sambal tumis udang masakan aku sehingga mak aku mampu habis sepinggan nasi walau kebiasaannya setengah pinggan nasi sebelum ini pun belum tentu mak aku mampu habiskan selepas mak aku menerima rawatan penyakit kronik. Aku bukan berbangga tapi aku rasa sayu hati. Aku bersyukur dan aku tak minta lain, aku harapkan mak aku sihat saja masa tu.
DYMM Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
(Kredit foto: Facebook rasmi Sultan Johor)
Buat pertama kali memasak masakan yang sedap, walaupun simple-simple saja, pada aku dah cukup magis. Kalau orang lain suka, aku bersyukur sangat-sangat. Barulah sekarang aku tahu macamana rasanya bila orang menghargai masakan kita terutamanya anak-anak sebagaimana yang mak-mak kita rasa. Tak makan banyak pun tak apa, janji orang lain suka, anak-anak suka, kita dah cukup happy dah. Kenapa kita kerap mengatakan yang masakan terbaik di dunia adalah masakan ibu kita sendiri? Kenapa? Walaupun masakan ibu kita alakadar sahaja tapi masakan chef terkemuka di hotel-hotel lima bintang sekalipun takkan setanding dengan ibu kita, kenapa? Rahsianya adalah kasih sayang. Ibu kita memasak dengan resepi rahsia iaitu kasih sayang yang tiada pada orang lain dan tidak juga boleh diperturunkan. Ia lahir secara semulajadi. Sungguh indah ciptaan tuhan, kan?
Dan kerana kasih sayang jugalah menjadi sebab kenapa aku memasak untuk isteri dan anak-anak aku. Itulah salah satu cara aku mencurahkan kasih sayang aku dalam masakan. Kerana jika kita yang memasak sendiri untuk keluarga kita, kita akan memastikan penyediaannya adalah yang terbaik supaya keluarga kita sihat dan mudah-madahan terhindar daripada penyakit.
No comments:
Post a Comment