Isu pembesar suara ni bukan sekadar berlaku di negeri Pulau Pinang saja malah negeri-negeri lain pun sama. Tapi apabila isu ini berlaku di Pulau Pinang, maka wujudlah sentimen politik di situ. Apatah lagi Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan pembangkang bukan Melayu Islam maka bagi mereka yang pro-kerajaan pastinya akan membantah sekeras-kerasnya walaupun isu ni pada akulah, bukanlah masalah besar sangat malah pada aku ada betulnya arahan ini dikuatkuasakan. Walaubagaimanapun ini bukanlah bermakna aku menyokong puak pembangkang. Tidak sama sekali.
Isu ini adalah isu kemasyarakatan sebenarnya. Ia bertitik-tolak dari sifat tolak-ansur dan timbang-rasa dalam masyarakat. Tiada kena-mengena langsung dengan politik dan perbezaan agama serta kaum. Kita kena ketepikan isu kaum dan politik jika ingin membahaskan isu pembesar suara ini. Sila bukakan mata dan bukakanlah minda masing-masing.
Aku masih ingat lagi rentetan kisah salah seorang qariah sebuah masjid di Pasir Gudang yang telah membuat laporan polis atas keengganan pihak masjid menurunkan tahap bunyi pembesar suara masjid. Perkara ini telah menjadi viral di laman-laman sosial. Ramai yang turut mengecam tindakan qariah ini. Tapi apakah sebab qariah ini bertindak sedemikian adakah ramai yang mengkaji? Ramai yang membuat pelbagai andaian dan mengeji tanpa usul-periksa. Oleh yang demikian banyak juga pihak yang turun padang bertemu dengannya untuk meminta penjelasan yang sebenar-benarnya. Akhirnya sebab kenapa dia bertindak demikian diketahui. Ini adalah oleh kerana bunyi pembesar suara masjid berkenaan dipasang terlalu kuat apatah lagi gelombang bunyi pembesar suara ini tepat menghala ke rumahnya. Penggunaan pembesar suara berkenaan bukan sahaja digunakan untuk tujuan laungan azan dan solat malah pihak masjid juga turut menggunakan sistem pembesar suara terbabit untuk aktiviti-aktiviti yang tidak berkait langsung dengan jemaah sekitarannya seperti kuliah kursus haji. Bukan sahaja dirinya yang berasa tertekan malah sedikit-sebanyak mengganggu juga penumpuan anak-anak yang ingin belajar di rumah kerana bunyinya terlalu nyaring. Justeru, dia telah beberapa kali menegur pihak jawatankuasa masjid supaya menurunkan sedikit tahap kenyaringan bagaimanapun tegurannya tidak diendahkan. Oleh kerana sudah terlalu tertekan, dia terpaksa membuat laporan polis sebagai jalan akhir. Pelbagai tanggapan negatif dibuat ke atasnya selepas tindakannya melaporkan kepada pihak polis itu. Kalau kita renung-renungkan, siapa yang tidak bertimbang-rasa sekarang? Apakah pengadu ini ataupun pihak masjid?
Seterusnya aku ingin mengaitkan pendapat beberapa orang ustaz seperti Ustaz Dr Mohd Asri dan Ustaz Ismail Kamus. Ustaz Asri telah menegur beberapa masjid yang menggunakan kaset bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di dalam masjid atau surau seperti sebelum waktu solat. Kata beliau, sedangkan Nabi Muhammad sendiri melarang jemaah yang berada di dalam masjid membaca Al-Quran dengan suara nyaring, inikan pula jika menggunakan kaset yang bunyinya boleh kedengaran hingga ke luar masjid atau surau. Ini boleh mengganggu penumpuan orang lain. (sila rujuk
http://www.malaysiakini.com/news/291958 )
Ustaz Mohd Asri
Ustaz Ismail Kamus
Berikut pula sedutan rakaman dari sebuah ceramah berkaitan dengan isu ini.
Setakat tulisan aku ini disiarkan di sini, sudah ada pihak tertentu yang membuat bantahan mengenai isu pembesar suara masjid ini. Aku tak kata aku tak sokong bantahan mereka dan aku juga tak kata aku sokong tindakan mereka. Namun, berdasarkan rangkuman hujah-hujah pendapat yang aku ketengahkan dari beberapa orang tokoh ilmuan Islam di Malaysia mengenai hal ini, mungkin korang faham bagaimana pendirian aku sebenarnya. Aku harap segala tindakan susulan yang dibuat bukanlah berdasarkan nilai fahaman politik semata-mata sebaliknya ukurlah berdasarkan keperluannya dari konteks agama kita, keperluan hak dalam masyarakat dan nilai-nilai tolak-ansur itu sendiri. Yang penting adalah untuk saling hormat-menghormati walaupun berlainan bangsa dan agama. Bagaimana kita ingin minta kita dihormati bangsa lain sedangkan kita sendiri tidak menghormati mereka? Hormat tak semestinya kita tunduk. Aku juga tahu bukanlah semua rakyat Malaysia yang bukan Islam bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri tersebut berhubung isu pembesar suara ini.
Cuma dalam hal ini, aku rasa ianya terlalu diperbesar-besarkan. Pihak medialah yang begitu licik dengan sengaja mensensasikan isu sebegini. Bukankah banyak lagi isu lain yang boleh dibangkitkan dan diberi penekanan? Mengapa perlu memainkan isu sebegini? Aku rasa kalau pihak jabatan agama negeri berhubung terus dengan pihak-pihak jawatankuasa masjid sahaja juga sudah cukup, masyarakat pun takkan perasan apa perubahan yang berlaku dan segalanya akan berjalan seperti biasa tinggal lagi bila ianya sudah disensasikan dengan menyelitkan unsur sentimen politik di situ maka terjadilah ketidakpuashatian di sana sini. Keyboard warrior pun ramai dan mereka hanya tahu mengecam di sebalik komentar-komentar mereka tapi apakah mereka juga sering bersama mengimarahkan masjid? Nak kata orang, aku pun sama. Aku akui aku sendiri pun selalu leka. Aku tak kata yang aku tak suka bacaan tarhim ini di masjid-masjid ini malah bacaan tarhim ini begitu membantu lebih-lebih lagi bila berada dalam bulan Ramadhan bagi menandakan bermulanya waktu imsak.
Kesimpulannya, jika kau bertanya kepada aku, pendapat aku adalah supaya kita lebih bersikap terbuka, bertolak-ansur dan bertimbang-rasa sesama masyarakat. Dalam pada kita menegakkan syiar Islam, kita jangan lupa pendekatan yang sering diajarkan Rasulullah tentang kelebihan berakhlak mulia. Ramai saudara baharu yang tertarik dengan Islam kerana akhlak yang dicerminkan orang-orang Islam itu sendiri. Bukankah itu pendekatan yang lebih baik? Sesungguhnya, Islam itu indah dan Islam tidak menyukarkan.
No comments:
Post a Comment