Sewaktu Tingkatan 3 dulu, ketika sesi pembelajaran subjek Pendidikan Agama Islam, aku dan rakan-rakan sekelas yang beragama Islam akan beredar ke kelas sebelah kerana kelas kami akan digunakan untuk subjek Pendidikan Moral oleh pelajar-pelajar bukan Islam. Seketika kemudian ustazah kami tiba di kelas.
Seusai bacaan doa kami meneruskan kelas walaubagaimanapun pada hari itu ustazah kami mengajak kami bermain sebuah aktiviti yang boleh dianggapkan sebagai sebuah pertandingan terlebih dahulu. Jarang-jarang sekali ustazah ni nak buat-buat pertandingan bagai tapi kami follow juga.
Kami diberi arahan oleh ustazah supaya menulis nama kami di atas sekeping kertas dengan dilipat atau digulung sebelum dihantar kepada ustazah kami. Pertandingan ini memerlukan kepantasan jadi sesiapa yang lambat memang lambablah, haha! Ustazah cuma memberi beberapa saat saja masa untuk kami membuat task berkenaan. Jadi sebaik sahaja ustazah berkata ‘MULA’ maka kelam-kabut kami semua mencari kertas untuk ditulis. Ada yang yang mengoyak buku, ada yang mengoyak notebook dan bermacam-macam lagilah. Selepas itu seorang demi seorang bangun dari tempat masing-masing dan berlari ke arah ustazah serta berebut-rebut men ghantar nama mereka. Ada yang terlanggar kerusi, ada yang terlanggar meja malah ada juga yang terpijak kasut kawannya sendiri. Bermacam-macam ragam jadinya.
Maka berlambaklah gulungan-gulungan kertas di atas meja ustazah kami. Namun apa yang menghairankan, tiada pula ustazah kami memastikan mana satu penyertaan terpantas. Ini pertandingan ke apa? Kami masih tak faham dengan motif ustazah kami tapi kami masih follow juga.
“Baiklah! Semua dah serahkan nama masing-masing? Ok sekarang saya akan bacakan nama seorang demi seorang,” ujar guru kami sambil tersenyum melihatkan tulisan masing-masing yang seperti cakar ayam.
Nama seorang demi seorang disebutkan tapi tiada seorang pun pemenangnya. Kami berpandangan antara satu sama lain. Hairan.
“Dalam banyak-banyak nama kamu semua ni, tiada seorang pun yang menulis Bin dan Binti masing-masing. Kamu terlupa nama bapa kamu,” terangnya.
Mata ustazah meliar melihatkan kami seorang demi seorang dengan senyuman misteri.
“Kelas, bila kamu mengejar impian dan cita-cita kamu atau bila kamu mengejar sesuatu, kamu semua terlupa siapa yang berada di belakang kamu.”
Kelas yang pada mulanya tadi bernada ceria disulami dengan gurau-senda di antara satu sama lain kini bertukar senyap.
“Kamu terlupa bapa kamu yang banyak berkorban untuk kamu semua. Bapa kamu berusaha mencari nafkah dan menghantar kamu ke sekolah tapi ada juga yang datang tak mahu belajar, bergaduh dan melanggar disiplin sekolah. Sia-sia saja usaha bapa kamu selama ini. Kamu tak sayang ke bapa kamu?” tanya ustazah sambil kami membalas dengan menggangguk kepala.
“Ye ke? Sayang ke? Macam ni ke yang kamu kata sayang? Kalau benar-benar sayang, kamu pasti tak terlupa menuliskan nama bapa kamu sekali,” jelasnya lagi.
Berdesing telinga kami bila disindir sedemikian. Aku dapat rasakan tamparan yang cukup hebat. Namun memang ada benarnya kata-kata ustazah kami itu. Kadang-kadang kalau kita dimarahi orang tua kita, kita tak nampak apa salah kita malah kita cuba mempertahankannya sedangkan sebenarnya orang tua kita cuba menegur demi kebaikan anak-anaknya.
Peristiwa itu masih segar di ingatanku walaupun sudah berbelas tahun aku meinggalkan bangku sekolah. Sehingga kini, seboleh-bolehnya apa saja yang memerlukan aku mengisi nama aku, aku akan sedaya-upayanya menulis namaku dengan lengkap berbinkan nama bapaku. Biar panjang asal aku tak lupa nama nama bapaku lagi. Aku serik disindir sebegitu lagi.
Cerita seorang hamba Allah.
No comments:
Post a Comment