Pernah dalam sebuah perjumpaan persatuan, ada salah seorang dari ahli kami menegur sinis akan seorang lagi ahli kami yang sudahpun menambah cawangan lagi satu. Dapat orang mana, kerja apa, jumpa macamana, isteri pertama marah ke dan bermacam-macam lagilah. Dan soalan-soalan itu banyak muncul dari kalangan ahli wanita yang nampaknya sedikit kurang senang dengan perbuatan ahli kami yang berkahwin seorang lagi itu.
Aku cuma terdiam. Kadangkala sekadar mengangguk. Aku cuma dengarkan sahaja penjelasan rakan kami yang berkahwin satu lagi itu. Katanya isteri pertamanya duduk jauh bagi menyambung pengajian dan pengajian isterinya dibiayai olehnya. Isteri keduanya pula jauh lebih berumur dari isteri pertama malah isteri pertama merestui pernikahan kedua suaminya. Antara logik dan tidak, aku cuma nilaikan dalam hati. Aku tiada bantahan. Sudah jodoh dia pun, kan? Kenapa nak dipersoal-soalkan lagi? Lagipun bukannya dia buat perkara tak baik malah dia membina sebuah lagi masjid, dengan cara yang sah dan halal. Jadi kenapa perlu dia dihujani soalan-soalan seolah-olah dia seorang yang bersalah? Dan bila aku pula seolah-olah menyebelahi ahli yang berpoligami itu, aku juga turut dibahankan.
Aku bukanlah setuju sangat dengan hal poligami ni malah aku lebih tidak bersetuju daripada bersetuju. Sebabnya aku tahu banyak kesan yang mungkin akan timbul selepas berlakunya poligami itu, lebih-lebih lagi kesan yang negatif. Banyak aku perhatikan, mereka yang mengamalkan poligami ini pengakhirannya tidak seindah mana. Suami yang tidak berlaku adil, perceraian, anak-anak terbiar dan macam-macam lagilah. Pendek kata, aku sendiri pun tak suka dengan poligami secara dasarnya.
Kalau ada lelaki yang membaca nukilan aku ini mungkin berkata aku menipu. Dah nama lelaki, takkanlah tak goyang jika melihat perempuan lain walaupun diri sendiri sudah berkahwin dan sudahpun berderet anaknya? Hehehe! Betullah! Tipulah kalau tak ada langsung terdetik di hati. Namapun lelaki, kan? Ya, memang betul niat tu memang ada tapi aku masih mampu berfikir panjang lagi. Poligami ni sesuai bagi mereka yang berkemampuan dan mampu berlaku adil. Tapi, ramai yang terkeliru dengan maksud kemampuan dan adil ini. Kalau seseorang lelaki itu kaya dan mampu menyediakan segala keperluan, maka layaklah dia berpoligami. Soal adil tu pada mereka tidaklah sesusah mana. Jika mampu, tentulah mereka boleh adil. Itu pendapat mereka tapi bagi aku, aku ada pendirian tersendiri mengenai konsep adil dalam pilogami ini dan bagi aku istilah adil ini cukup-cukup berat.
Bayangkanlah, setiap hari bangun-bangun tidur sahaja, aku mengambil tugas menyidai pakaian yang baharu dicuci. Masa anak-anak aku masih kecil dulu, akulah yang memandi dan membersihkan najis mereka. Aku juga yang siapkan beg-beg, peralatan dan jadualkan buku-buku sekolah mereka serta hantar mereka ke sekolah sebelum aku dan isteriku ke tempat kerja. Nanti pulang dari kerja, ambil anak-anak dari rumah penjaga. Sesampai di rumah, aku mula masak, mengimamkan solat anak-anak aku, mengajar mereka mengaji al-quran dan selepas itu mengajar homework mereka. Begitulah rutinku setiap hari. Aku bukanlah takut kepada isteri atau ada yang istilahkan sebagai queen control. Aku cuma tak sampai hati nak membebankan isteri aku dengan kerja-kerja rumah yang terlalu banyak. Apalah salah sebagai seorang suami buat kerja-kerja tu? Lagipun, itu bukanlah tanggungjawab mutlak seorang isteri. Isteri sudah banyak berkorban untuk suami, jadi kenapa suami nak berkira sangat untuk membantu isteri di rumah? Kadang-kadang aku biarkan saja isteri aku terlantar di sofa tertidur kepenatan selepas pulang dari kerja sebab aku tahu dia memang cukup penat dan stress. Nak aku tambah stress dia lagi ke?
Berbalik kepada isu poligami tadi dan sekarang cuba bayangkan pula kalau aku terpaksa buat segala kerja-kerja rumah tadi di rumah isteri muda pula. Boleh ke? Larat ke? Kata adil? Kalau adil, mestilah bersikap sama-rata untuk kedua-dua isteri. Apa yang isteri pertama dapat, isteri muda pun harus dapat dan begitu juga sebaliknya. Kau bayangkan kalau segala kerja rumah aku nak kena buat sampai double responsible, tak pengsan ke? Sebab itulah, aku tak berapa berkenan dengan usul poligami ni. Lagi satu, aku juga tak sanggup lukakan hati dan perasaan isteri dan anak-anak aku kalau aku berkahwin satu lagi. Hidup kami pasti serta-merta akan berubah tidak seperti dulu lagi. Kami takkan sebahagia dulu lagi walaupun ironinya aku lebih-lebih seronok menghisap madu. Pada aku, no way! Tapi tak tahulah pula kalau sudah ditakdirkan suatu hari nanti. Aku tak boleh bercakap besar. Kita yakin kita akan sihat sebab kita jaga tubuh-badan kita tapi siapa tahu suatu hari nanti penyakit akan datang pada kita? Begitulah juga dengan situasi seperti ini, aku tak mahu bongkak tapi dalam masa yang sama, aku juga berdoa supaya kebahagiaan yang dah ada ini biarlah kekal sampai syurga. Biarlah isteri aku ini akan menjadi isteri yang terus setia sampai syurga.
Poligami ini pada aku biarlah kena dengan caranya. Ramai suami yang ingin berpoligami dengan alasan mengamalkan sunnah. Hmmm.. yelah kot. Pada aku poligami ni lebih elok jika berkonsepkan bantu-membantu dan melindungi insan yang memerlukan. Siapa dia insan-insan ini? Meraka antaranya seperti ibu-ibu tunggal lebih-lebih lagi yang tiada tempat bergantung, wanita yang tiada tempat perlindungan bermaksud tiada ibu bapa dan saudara kandung serta wanita-wanita bujang yang lanjut usia. Inilah golongan-golongan yang seharusnya mendapat perhatian para suami yang ingin berpoligami. Tapi kebanyakkan (tak semua) suami di luar sana menggunakan kemudahan kuota ini untuk memiliki anak-anak dara yang masih muda cun-melecun sesaja. Jadi, kemanakah konsep bantu-membantu dan lindung-melindunginya tadi? Atau berkahwin lebih sekadar memuaskan nafsu semata-mata?
Kepada mereka yang terdetik di hatinya untuk berpoligami ini, renung-renungkanlah. Bayangkanlah juga bila sampai hari tua nanti, bila kau sendiri dah uzur, dah tak mampu nak buat itu dan ini, kau hanya mampu terbaring, makan pun terpaksa bersuap, hospital tu akan kerap-kali pergi dan balik, bayangkanlah masa itu isteri mana yang akan setia menjaga dirimu? Isteri pertama atau isteri muda? Setelah kau sakitkan hati isteri pertama, kali ini kau merintih meminta pertolongan dia, adakah dia mahu menjagamu? Bagaimana pula dengan isteri muda yang merasa kau hanyalah sekadar membebankan dirinya? Cuba kau bayangkan segalanya dari sekarang. Dengan ini, bersyukurlah dengan apa yang kau sudah ada.
Berbalik kepada cerita ahli mesyuarat kami yang berkahwin dua tadi. Pada hari raya, aku sempat berkunjung ke rumahnya. Dalam masa yang sama, aku juga mencari jawapan. Aku tak tahu mana satu isterinya sampailah suatu ketika aku terlihat dia bergambar dengan seseorang yang kuanggapkan berpangkat makcik-makcik dengan dakapan yang cukup mesra. Sebelum pulang, aku sempat bertanyakan yang mana satukah isteri keduanya? Dia menjawab wanita yang bergambar dengannya itulah tadi isteri keduanya. Itulah isteri keduanya yang baru berkahwin buat kali pertama. Aku tersenyum. Memang tak salah kalau aku setuju dengan caranya mengamalkan poligami.
No comments:
Post a Comment