Kat facebook aku, aku ada ramai kenalan. Ada yang memang aku kenal, ada juga yang tak. Kalau aku rasa orang tu elok, aku akan approvelah requestnya untuk tersenarai dalam friendlist aku. Ramai yang aku tak kenal dari yang kenal tapi aku layan sama je. Dia ramah akupun ikut ramahlah juga walaupun takde sejarah yang kami ni pernah kenal antara satu sama lain sebelum ini. Ramah kami jadi macam dah lama kenal pulak dah.
Kenalan-kenalan di friendlist aku terdiri dari pelbagai lapisan umur. Ada yang berusia sedikit, ada yang sebaya dan ada juga yang masih belajar. Aku pun tak faham macamana budak-budak ni boleh add fb aku sedangkan aku ni dah boleh mereka panggil sebagai pakcik. Biasalah budak-budak baru nak naik ni kalau nak cari kenalan biasanya cari kenalan yang lebih kurang sebaya umur mereka, kan? Tapi entahlah apa kriteria aku yang mereka nampak macam best tu pun aku tak tahulah. Selalu jua status-status mendapat like daripada mereka ni, haha. Apapun aku layankan aje.
Menyentuh mengenai usia muda ni, ada juga di kalangan teman-teman fb aku ni bertemu jodoh boleh kata awal. Iyelah kalau zaman-zaman sekarang ni, umur 24 tahun bagi golongan lelaki dan umur 22 tahun bagi golongan perempuan boleh dianggap masih muda untuk mendirikan rumahtangga. Tidak seperti dulu zaman-zaman ibu bapa kita, umur belasan tahun sudah layak untuk berkahwin. Sekarang ni umur-umur belasan tahun sebegitu bukannya tak layak tapi ianya agak janggal apatah lagi zaman sekarang serba-serbi memerlukan ilmu pengetahuan maka peringkat umur sedemikian adalah lebih dianjurkan untuk menuntut ilmu terlebih dahulu.
Berbalik kepada isu kahwin tadi. Ada di kalangan teman-teman fb aku yang masih muda ini sudahpun berkahwin ketika usia mereka masih muda lagi. Aku terkejut juga mulanya, tahu-tahu saja dah ada gambar diupload ke fb. Tapi ada juga yang menjemput aku ke majlis mereka. Walaupun usia mereka masih lagi muda, aku tak mahulah berfikiran yang negatif. Maksud aku, iyelah mereka ni sudah cukup matangkah untuk mengharungi liku-liku hidup berumahtangga? Hmmm, fikir yang baik-baik sahaja sudahlah. Lagipun, mereka mendirikan rumahtangga bukannya buat perkara-perkara tak elok. Lagipun pernikahan ini untuk menghalalkan hubungan antara kedua-duanya yang aku asyik lihat selalu sangat berkepit berdua dalam gambar-gambar yang mereka muatnaik, alhamdulillah. Aku doakan sahaja agak ikatan pernikahan mereka akan terus berkekalan dan semoga berbahagialah mereka hendaknya.
Hari-hari seterusnya aku melayan fb feed aku macam biasa. Aku memang aktif dengan fb walaupun pada waktu bekerja tapi ini tidak bermakna aku mengabaikan tanggungjawab aku terhadap tugas aku. Kerja tetap kerja. Tiba-tiba aku dikhabarkan dengan berita gembira pasangan yang berkahwin tadi sudahpun menimang cahayamata. Alhamdulillah, bertambah lagi umat Nabi Muhammad di dunia ini. Ada yang aku tahu sejak mereka mengandung tapi ada juga yang aku tak tahu entah bila masa hamil tiba-tiba saja sudah ada baby, pun alhamdulillah. Aku bertanggapan mereka bahagia dengan kehidupan mereka. Alhamdulillah.
Biasanya rumahtangga yang dibina akan lebih bahagia dengan kehadiran cahayamata. Siapa yang tak sayang anak oi? Namun, ibarat kata orang, langit tak selalu cerah, panas pun belum tentu sampai ke petang. Dalam pada hari-hari aku melayari fb menikmati status-status kawan-kawan aku, tiba-tiba terpacul status-status yang tidak sedap didengar. Malah ada yang juga menyepi lama, tiba-tiba kembali dengan membuka akaun fb yang baharu. Ini lantaran gara-gara rumahtangga yang dibina mereka tidak mampu bertahan lama. Belum ada beberapa tahun, pasangan-pasangan suami isteri ini berpisah. Entah dimana silapnya, aku pun tak tahu dan aku pun malas nak ambil tahu. Sedih aku mendengarnya tapi aku tak mahulah mencampuri urusan rumahtangga orang. Aku taknak sesak-sesakkan kepala otak aku dengan hal-hal rumahtangga orang.
Aku bukan nak berbangga dengan rumahtangga yang dah aku bina lebih dari 10 tahun. Mahligai yang dibina selama lebih 10 tahun ini bukannya senang-senang untuk dipertahankan. Banyak asam garam yang perlu dilalui tinggal lagi antara kami suami isteri cekal ataupun tidak, berfikir panjang atau tidak dalam membuat sesuatu keputusan. Sebab itulah aku terdetik di hati akan dugaan-dugaan yang bakal dilalui pasangan-pasangan suami isteri muda tadi. Mampukah mereka bersikap matang dalam segala hal dalam berumahtangga ini? Mampukah mereka melaluinya sedangkan mereka masih lagi muda? Kata orang, darah muda masih meluwap-luwap. Biasanya orang-orang muda ni cuma ingin berseronok sahaja. Perkahwinan bukan sekadar untuk berseronok-seronok sahaja malah lebih dari itu.
Aku pun tak mahulah nak mencari salah siapa. Pasti ada kurangnya di mana-mana dan kurangnya sifat bertolak-ansur serta faham-memahami antara satu sama lain. Sedangkan aku suami isteri selalu juga berselisih faham. Rumahtangga mana yang tak pernah bergelora? Namun, segala perselisihan faham ini akan menjadikan kita lebih mengenali pasangan kita. Kita akan terus belajar dan belajar untuk memahami pasangan hatta sehingga ke hujung nyawa sekalipun. Apa yang penting, adakah kita cukup matang untuk menghadapi semua ini? Apakah kita mampu cekalkan hati mengharungi segalanya ini dengan sabar dan mampu berfikir panjang? Tanyalah pada diri sendiri.
Walau kita masih di usia muda, tak salah kalau kita belajar mematangkan diri. Pandanglah lebih jauh dalam kehidupan. Kita takkan selamanya berusia muda sepanjang masa, kita akan tua juga nanti, jadi tak boleh ke kita sesekali tu bayangkan kedudukan kita apabila kita sudah tua nanti? Adakah kita mampu mengecapi kebahagiaan sebagaimana yang ibu bapa datuk nenek moyang kita sudah rasa sekarang ini? Bukankah kita boleh menjadikan mereka sebagai contoh? Belajarlah dan didiklah diri untuk menjadi seorang yang matang dan bertanggungjawab. Sampai bila kita nak ikutkan jiwa muda itu dan lari dari tanggungjawab? Sampai bila? Sampai bila agaknya kita baru boleh menjadi insan yang cemerlang dalam hidup? Sampai bila? Tanyalah diri kau sendiri sebab kau sendiri yang menentukan hala tuju hidup kau.
Bagi anak-anak gadis, janganlah selalu sangat bermimpi di siang hari. Janganlah selalu sangat berangan-angankan sesuatu yang indah sehingga hanyut dibuai mimpi. Bercinta memang indah, berumahtangga lagi indah tapi terfikirkah kau tentang dugaan dan cabaran yang akan kau alami nanti? Ramai juga wanita yang aku jumpa menyatakan kekesalan mereka bila sudah berkahwin. Bila sudah berkahwin, baharulah terbuka segala rahsia baik dan buruk pasangan mereka. Persoalannya, kenapa baharu sekarang? Kenapa sekarang baharu nak menyesal? Bukankah dahulu memang itu pilihan kau yang kau rasakan terbaik. Kenapa nak menyesal pula? Tapi ramai perempuan tidak sedar. Ramai yang cuma membayangkan yang indah-indah sahaja apabila sudah mendirikan rumahtangga tanpa memikirkan cabaran dan dugaan yang akan ditempuh mereka nanti. Oleh sebab itu, bersedialah dengan segala kemungkinan sejak dari sekarang. Aku bukan cuba ingin menakut-nakutkan tapi sekadar ingin mengingatkan.
Perkahwinan sebenarnya adalah untuk sama-sama saling lengkap-melengkapi. Kita takkan jumpa pasangan yang tepat dan memenuhi ciri-ciri yang kita idamkan. Tetap ada kurangnya di mana-mana. Tinggal lagi kitalah sebagai pasangan untuk cuba melengkapkan kekurangan itu. Begitu juga dengan pasangan kita, sudah tentu dia juga tahu apa kekurangan kita. Sebab itulah sebagai suami-isteri akan terus belajar untuk saling mengenali, memahami dan melengkapi antara satu sama lain, bukan sebaliknya mengungkit kekurangan yang ada dan jadikan alasan kekurangan itu untuk lari dari tanggungjawab. Dah namanya rumahtangga, tanggungjawab dalam rumahtangga memang besar cabarannya. Sebab itulah, kalau boleh sediakan diri dengan pelbagai ilmu rumahtangga sebelum mendirikan rumahtangga. Tak dapat banyak, asas rumahtangga sahaja pun sudah cukup. Selebihnya nanti kita akan belajar menerusi pengalaman yang akan kita lalui sendiri dalam alam rumahtangga ini nanti.
Dalam konteks ini, sebenarnya ibu bapalah yang cukup memainkan peranan besar. Ibu bapalah yang menjadi model untuk dicontohi anak-anak mereka. Ibu bapalah yang seharusnya mendidik dan menyediakan anak-anak mereka bagi mengharungi cabaran-cabaran yang lebih besar di luar sana termasuk jugalah hal-hal jodoh ini. Ibu bapa kena peka dan tahu mengawal anak-anak mereka sebagaimana jua yang ditekankan di dalam Islam. Silap ibu bapa jugalah jika sekarang ini berleluasanya pergaulan bebas di kalangan remaja. Mereka gagal mengawal perilaku anak masing-masing. Ibu bapa kurang mengambil tahu perkembangan anak. Didiklah mereka dengan asas-asas Islam. Doakan kecemerlangan mereka bukan sahaja dari kecemerlangan akademik malah merangkumi sahsiah diri mereka. Ibu bapa kena bijak memainkan peranan mereka.
Aku pun walau sudah lebih 10 tahun mendirikan rumahtangga, banyak lagi yang perlu aku belajar dalam kehidupan. Belajar takkan habis sampailah masanya kita dah tak ada nanti. Terus belajar dan belajar untuk mematangkan diri dalam kehidupan. Kita pun kalau melihat pergolakan rumahtangga orang lain, janganlah kita riak dengan kebahagiaan yang kita ada sebaliknya kita ambil iktibar. Itu yang lebih baik untuk kita. Apa-apapun aku harap pasangan-pasangan suami isteri yang kuceritakan tadi dapatlah menjernihkan kembali keadaan demi masa depan anak-anak yang sudah dikurniakan buat mereka. Semoga mereka berbahagia hendaknya.
No comments:
Post a Comment