Thursday, 8 October 2015

ANTARA MEMBERI DAN MEMINTA-MINTA

Pernah tak sedang kau berjalan-jalan tiba-tiba kau didatangi seseorang yang bukan berasal dari sini menghulurkan sesuatu untuk dijual kepada engkau. Jika engkau enggan, dia memohon pula sedikit sumbangan berupa sedekah. Pernahkah kau berhadapan situasi ini? Kau hulur ke tidak?

Aku beberapa kali juga menghadapi situasi sebegini. Berbelah bahagi juga kadang-kadang antara mahu memberi ataupun tidak. Kadang-kadang kasihan tapi kadang-kadang tidak. Kalau aku tak mahu, aku menolak permintaannya elok-elok berserta sebuah senyuman.

Aku bukan mahu menghina tapi aku lebih menghormati pendatang-pendatang asing yang ke mari untuk bekerja. Tak kisahlah kalau kerja itu sekadar menyapu sampah sekalipun asalkan namanya kerja. Aku tak berapa suka dengan mereka yang sekadar suka mengambil kesempatan di atas budi baik orang-orang tempatan kita. Mentang-mentang orang kita ini lembut hati, baik hati dan dermawan, sewenang-wenangnya mereka meminta belas ehsan kita sedangkan kita pun tak tahu sama ada dia mungkin lebih kaya-raya dari kita hasil meraih simpati orang ramai. Begitupun ramai masyarakat kita masih lagi tak sedar sedangkan hal ini sudah berlaku sekian lamanya.

Aku bukanlah kedekut sangat. Aku juga bersedia menyumbang kalau aku rasa kena pada caranya. Bukan terlalu berkira tapi biarlah berpada-pada. Janganlah sampai tindakan kita nanti akan menjadi suatu galakan buat mereka untuk terus meminta-minta. Bukan kita saja yang dia minta, orang-orang lain pun turut dirayu juga. Sini seringgit, sana seringgit, lama-lama berbukit ringgitnya sedangkan kita di sini masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tak dikais silap-silap kita tak makan. Tapi kita tidaklah meminta-minta.


Walaubagaimanapun situasinya berlainan bagi segeintir golongan ini di bumi kita. Mungkinkah sebab kita ni terlalu baik hati? Kau bayangkanlah, takkanlah dia datang sini merantau semata-mata untuk meminta sedekah, kan? Kenapa pendatang-pendatang asing yang lain boleh bekerja tapi dia tidak? Cuba renung-renungkan. Tapi adakalanya bila aku dah terlalu kesian, aku hulur juga. Aku ikhlaskan dan berharap sumbangan aku itu diguna ke arah kebaikan.
Seperti yang aku kata tadi, nak memberi tu biar berpada-pada. Kadang-kadang tak semestinya yang meminta sedekah itu orang-orang susah, ada orang lain yang lebih susah sebenarnya. Mungkin juga jiran-jiran kita, saudara-mara kita yang lebih-lebih kesempitan memerlukan bantuan. Mereka inilah yang lebih dituntut untuk kita bantu. Begitu juga dengan golongan anak-anak yatim.

Aku pernah didatangi seorang budak ketika aku baru pulang dari kerja. Ketika itu aku sedang menutup pagar rumahku, tiba-tiba dia datang menghampiri aku. “Cik, ada singgit tak cik?”. Aku pelik juga entah anak siapa entah tiba-tiba datang meminta duit dari aku. Aku tanya nak buat apa? Dia menjawab nak beli air untuk minum, haus katanya. Aku pun malas nak memanjang-manjangkan cerita, aku seluk kocek dan hulur seringgit untuknya. Dia menerima dengan senyuman dan berterima kasih kat aku. Nampak ada sopannya budak itu. Aku pun membalas dengan sekuntu senyuman. Alhamdulillah, pertamanya hari itu aku merasa aku tidak sombong seperti selalu. Kedua, aku doakan duit yang kuberi itu dapat memberi manfaat kebaikan buat dirinya. Ketiganya, aku memuji dirinya kerana dia meminta dan bukannya mencuri. Dan yang keempatnya, entah bila lagi aku dapat menceriakan hati seorang budak yang bukan anak-anakku sendiri.

Kesimpulannya, atas diri sendirilah sama ada mahu memberi ataupun tidak jika orang meminta. Jika ingin memberi sekalipun, biarlah dengan ikhlas tanpa mengungkit-ngungkit di kemudian hari kerana kita bukanlah mengharap sangat dia membalas jasa kita sebaliknya kita mencari keredhoan tuhan. Kita pun tidak tahu bila masa kita pula akan susah. Jika kita tidak mahu memberi sekalipun, janganlah sulamkan kata-kata nista terhadapnya walaupun kita tak setuju dengan caranya. Tolaklah dengan berhemah. Rezeki kita bukan datang dari kita tapi segalanya dari Allah Ta’ala.

No comments:

Post a Comment