Malam tadi aku sempat menonton pentas akhir Akademi Fantasia 2015 di Astro. Aku tak follow sangat pun siri realiti ni tapi ada juga sesekali kalau temanya kena dengan jiwa, aku layankan jugalah. Pesembahan malam tadi rata-ratanya boleh dipuji. Tahniahlah kepada yang menang walaupun aku tak berapa setuju sangat pun dengan keputusan undian sms ni. Walaubagaimanapun, dah rezeki dia, kan?
Pagi ini seperti biasa aku melayari facebook feed aku. Liputan mengenai siaran itu juga dimuatkan di dalam news feed Berita Harian. Aku tak bacapun tapi aku ingin tahu apa pendapat netizen di facebook mengenai pertandingan berkenaan. Tujuan aku sebab aku nak tahu berapa ramai yang bersetuju dengan pilihan aku. Tapi malangnya, lain yang aku nak, lain pula yang aku dapat. Lebih banyak caci makian dilemparkan bukan kepada peserta bertanding akan tetapi melibatkan pihak yang langsung tiada kena-mengena. Aku sedih dengan insan-insan ini. Mana perginya kesantunan masing-masing? Mana perginya keterbukaan dalam pemikiran mereka? Aku pun tak faham.
Ada satu komen tu menegur peserta berhijab tetapi melakukan persembahan yang dirasakan tidak kena dengan imejnya. Yang tu mungkin aku setuju tapi kenapa mesti mahu melibatkan segala mufti bagai kerana tidak menegur atau menjalankan tanggungjawab sebagai pihak sebuah kerajaan Islam? Kenapa jauh sangat tersasar sampai ke situ? Kau siapa nak memperlekehkan pihak-pihak yang kau babitkan itu? Kalau kau rasa mereka tidak melaksanakan tanggungjawab dengan betul, kenapa tidak kau sendiri yang jadi mufti? Ada juga yang cepat menghukum orang lain seolah-olah hukuman itu terletak di tangannya. Tapi dia sendiri tidak tahu bahawa kata-kata nista yang ditaip dari jarinya sendiri sebagaimana yang dilahirkan dari hatinya jauh lebih hina. Siapa kita untuk menghakimi orang lain?
Semalam aku juga sempat membaca artikel akhbar berkenaan catuan air yang aku dengar melanda sebahagian besar penduduk sekitar Pasir Gudang dan Bandar Penawar gara-gara kemerosotan simpanan air di kawasan tadahan air di Sungai layang dan Sungai Lebam. Kasihan aku lihat. Air memang merupakan salah satu keperluan utama dan bila terjejas, sedikit sebanyak memang menyukarkan para pengguna. Di artikel itu juga aku lihat banyak respon komen dari pengguna-pengguna facebook. Aku klik dan cuba membaca. Menarik nafas panjang aku bila membaca komen-komen para netizen di situ. Begitu banyak rungutan dilemparkan. Sudahlah banyak rungutan, yang paling bangang apabila ada netizen yang memalitkan kesalahan kepada kerajaan parti politik tertentu. Kenapalah sempit sangat pemikiran tu? Aku nak bertanya kepada pemberi-pemberi komen yang sangat sangat sangat bernas itu tadi, pernahkah mereka turun padang sendiri meninjau situasi di kawasan tadahan air terbabit? Pernahkah mereka menyertai majlis Solat Hajat yang beberapa kali dianjurkan di sana? Pernahkah mereka mengkaji permasalahan yang timbul sehingga terpaksa catuan berkenaan dibuat? Kenapa mereka asyik tak habis-habis merungut menyalahkan pihak itu dan pihak ini hanya kerana sedikit kesulitan yang menimpa mereka sedangkan ianya sudah dihebahkan sebelum itu? Cubalah bawa-bawa musahabahkan diri tu! Memang betul catuan air ini agak membebankan pengguna akan tetapi wajarkah penghinaan terhadap pihak-pihak tertentu dibuat sebegitu? Aku geram sangat lepastu malas dah aku nak baca. Semuanya dilakukan hanya mengikut hati. Dekat ruangan komen facebook akhbar beranilah kau bersuara, kenapa tidak kau merungut terus di laman facebook Menteri Besar sendiri?
Manusia memang ramai yang sebegini, sering melakukan tindak-tanduk tanpa memikirkan rasional dan kesannya suatu hari nanti. Samalah juga seperti yang pernah kuceritakan dalam entri aku sebelum ini, kisah budak sekolah lewat ke sekolah. Ramai yang cuma mementingkan diri sendiri dan sering mengikutkan hati yang emosi. Akal yang tuhan kurniakan tidak diguna untuk berfikir secara waras. Berkisarkan tentang ini juga aku teringat petikan dari sebuah filem berjudul Hoore Hoore lakonan Akim, Fauziah Nawi, Allahyarham Harun Salim Bachik, Adibah Noor dan ramai lagi. Aku tersentuh dengan sebuah dialog Fauziah Nawi yang berbunyi lebih kurang begini “Apabila dosa dan pahala syurga neraka sudah terletak di tangan seseorang”. Memang tersentap mendengar dialog tu. Ia menegur sebahagian besar dari kita yang selalu sangat suka menghakimi dan menghukum orang lain tanpa menyelidik terlebih dahulu sedangkan kita ini hanyalah manusia yang serba-serbi tetap ada kelemahannya.
Di sini sekali lagi aku harap, dalam apa-apa jua yang akan kita lakukan, berfikirlah dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat sesuatu tindakan. Begitu juga komen-komen di media-media sosial, berpada-padalah. Kadangkala dalam pada kita rasakan yang kita ini betul, dikhuatiri apa yang kita lahirkan nanti akan terarah kepada fitnah dan dusta hasil dari tokok-tambah bagi menyedapkan jalan cerita. Janganlah terlalu mengikut emosi semata-mata dan jangan biarkan emosi yang menguasai pemikiran bimbang hati kita dihasut syaitan. Berfikirlah secara waras dan matang.
No comments:
Post a Comment