Buat masa ni aku belum bercadang nak ke klinik. Aku nak tunggu dalam 1-2 hari lagi baharulah aku akan ke klinik. Manalah tahu mungkin ianya sekadar radang pada urat sendi. Puas juga aku menggoogle tapi simptom-simptom yang aku alami tak sama seperti yang aku google tu. Biarlah dulu.
Pagi ni aku pergi kerja seperti biasa. Seperti biasa juga aku akan singgah membeli sarapan pagi di gerai-gerai tepi jalan. Walaupun aku sakit kaki dan sedikit menyukarkan pergerakan aku, aku gagahkan juga untuk meninggalkan kereta di petak parkir sebelum berjalan sedikit ke gerai berkenaan. Kalau tiada ruang yang dekat sekalipun, aku sanggup parking jauh sedikit asalkan aku tak mengganggu pengguna jalanraya lain. Memang agak terhincut-hincut pergerakan kaki aku tadi. Apa nak buat, dah sakit.
Nak jadi cerita, semasa aku memilih juadah sarapan pagi, ada seorang hamba Allah ni memandu dan memberhentikan Toyota Wishnya dan boleh kata hampir berhadapan dengan gerai berkenaan. Kau taulah Toyota Wish tu besar mana? Kalau motosikal, aku masih boleh pertimbangkan lagi tapi ini Toyota Wish yang boleh kata standard MPV diparking betul-betul tak kurang 3 kaki dari gerai berkenaan. Maka kenderaan-kenderaan yang lain terpaksalah melencong ke tengah sedikit memakan laluan bertentangan bagi memintas Toyota Wish ini.
Aku tak faham dengan mentatliti pemilik kenderaan ini. Apalah salah kalau kau letakkan kereta kau di petak parkir sekejap. Bukan takda tempat yang kosong lagi tapi memang sikap dia begitu. Sudah acapkali aku perhatkani orang yang sama buat macam ni. Sebelum aku kembali ke kereta aku, aku sempat menjengah manalah tahu kalau-kalau ada anak kecil di dalam keretanya tapi tiada pun! Aku faham kalau dia berbuat demikian sekiranya ada budak kecil di dalam, bimbang juga kalau nak ditinggalkan jauh-jauh walaupun untuk tempoh sekejap saja. Dia tak perasan ke yang keretanya menghalang kelancaran lalulintas? Aku memang geram. Geram sangat! Aku yang terhincut-hincut ini pun sanggup parking jauh sedikit tapi dia yang sihat segar-bugar tak mahu meletak kereta di tempat seharusnya. Mana pergi perasaan timbang-rasanya? Atau akukah yang kena bertimbang-rasa terhadap dia? Masuk akal ke?
Ni makan dia!
Kalau cerita pasal hal ni, ramailah yang berpe’el seperti dirinya. Kadang-kadang bila aku hendak membuat pembayaran ansuran bulanan kereta di bank yang letaknya di sebuah pusat perdagangan yang begitu sibuk, kerapkali aku terpaksa menempuhi kesesakan lalulintas gara-gara kelakuan pemandu-pemandu yang tidak bertimbang-rasa dengan memberhentikan kenderaan mereka betul-betul di hadapan kedai yang ingin mereka kunjungi. Aku faham mereka berhenti untuk sementara dan tapi agak-agaklah! Kau dah mengganggu kelancaran lalulintas! Aku rasa kalau ada kecemasan, bomba nak lepas pun susah, ambulans pun aku rasa mangsa dah mati baharu ambulans tiba. Ini semua sebab kurangnya kepekaan dalam diri masing-masing.
Ini belum lagi kalau aku kaitkan dengan kenderaan-kenderaan yang diberhentikan di kawasan-kawasan perumahan. Sudahlah lorong-lorong perumahan tu sempit, banyak pula kereta diletakkan di tepi-tepi jalan sehingga menyulitkan kenderaan lain untuk lalu di situ. Bukan setakat kereta, lori treler pun ada! Cuba kau bayangkan jika berlaku kecemasan, macamana? Tak payah cerita soal kecemasanlah sebab kadang-kadang saja berlaku, cuba kita kaitkan jika ada bas-bas sekolah atau lori-lori sampah nak lalu di situ, kan susah! Aku pernah nampak ada sebuah bas sekolah terpaksa mengundur balik ke simpang utama gara-gara gagal untuk melepasi lorong terbabit. Kalau dah bas sekolah pun tak lepas, apa nasib budak-budak yang betul-betul tinggal di lorong itu? Nampaknya terpaksalah budak-budak tu menapak jauh sedikit. Tak kesian ke? Apalah salah kalau kenderaan tu masuk terus ke dalam berandar rumah? jadi, taklah menghalang kenderaan-kenderaan lain. Janganlah mementingkan diri sendiri saja, fikirkanlah tentang hak orang lain juga. Sudahlah sekarang ni musim budak-budak hilang diculik, kau mahu bertanggungjawabkah akibat kenderaan kau menghalang laluan bas sekolah, budak-budak terpaksa menapak jauh dan berisiko untuk diculik?
Ini semua adalah soal mentaliti sama ada mereka peka atau tidak pada sesuatu keadaan. Namun, kalau menyentuh tentang isu timbang-rasa di kalangan pengguna-pengguna jalaraya terutamanya pemilik dan pemandu kenderaan, banyak untuk diperkatakan. Ini belum lagi aku sentuh tentang tabiat buruk pemandu-pemandu Malaysia ketika di jalanraya. Aku baharu sentuh sedikit saja. Lain kali sajalah aku menyentuh topik berkenaan dalam entri-entri aku yang akan datang. Apa-apapun aku harap-harap sangatlah sesiapa yang membaca entri ini supaya dapat memberi sedikit kesedaran akan perlu sikap bertimbang-rasa dan tidak mementingkan diri sendiri. Ini baharu salah satu cabang, belum lagi aku sentuh cabang-cabang timbang-rasa yang lain. Diharap ianya dapatlah memberi sedikit panduan untuk korang.