Sunday, 13 September 2015
SURAT CINTA DOKTOR
Korang apa khabar harini? Sihat? Harap sihat hendaknya. Aku harini bekerja seperti biasa walaupun masih ada sakit sikit-sikit di bahagian pinggang. Al-maklumlah dah nak masuk usia separuh umur ni. Jangan terkejut pula! Umur aku takdelah banyak sangat tapi takdelah juga sikit sangat. Sedang-sedang hensem gitulah kiranya. Kalau dulu purata orang mati akibat sakit tua dalam 80-90 tahun tapi sekarang ni, 60-70 tahun pun dikira umur masih panjang. Umur aku baru je 27 tahun kalau dikira dari beberapa tahun lepas. Ngeee!:D
Aku sakit pinggang sebenarnya semalam. Entah di mana silapnya. Dah macam tu pun, aku tak ke klinik ataupun makan ubat, aku main biar je. Lagipun semalam cuti, jadi lepak sajalah di rumah. Harini dah masuk kerja balik tapi aku masih lagi terasa sakit seperti semalam cuma taklah seserius semalam. Tu pun masih tak mahu ke klinik. Aku faham sangat dah kalau pergi klinik bukannya dapat m/c pun. Doktor tu kedekut. Dah berapa tahun dah aku tak dapat surat cinta doktor tu lagi. Naik malas dah. Nampaknya aku aku masih degil macam dulu lagi, malas ke klinik.
Lumrah manusia, ada masa sihat, ada masa sakit. Kalau ambil m/c, habis kerja ni siapa nak buat? Kerja melambak-lambak tak pernahnya habis. Kalau tak siap dalam masa yang sepatutnya, macamana?
Aku pun dulu macamtu juga. Terlalu berkira untuk ambil m/c. Mungkin awal-awalnya dulu sebab aku hanyalah seorang pekerja kontrak. Sebagai pekerja kontrak, jikalau aku sakit, aku juga yang kena keluar duit sendiri untuk jelaskan biaya bil rawatan, cuti sakit pun takde. Nak cuti sakit juga kenalah ambil cuti sendiri, itupun potong gaji. Memang sengsara sikitlah dulu sebagai pekerja kontrak. Cukup bulan cuma tahu dapat gaji. Bonus pun tiada, penyambungan kontrak pun tertakluk mengikut keperluan majikan. Lama juga aku berkhidmat sebagai pekerja kontrak. Namun, kini alhamdulillah setelah bertahun-tahun aku bekerja kontrak akhirnya ditawarkan sebagai pekerja tetap dan menerima pelbagai kelebihan sebagai pekerja tetap.
Walaupun begitu, aku masih lagi takut-takut untuk mengambil m/c kalau aku kurang sihat. Bukan sahaja takut, malah risau juga dengan kerja-kerja yang melambak di pejabat tu. Kadang-kadang kalau demam pun, aku sekadar menelan panadol sahaja, aku tak ke klinik pun. Aku cukup risau dengan kerja-kerja aku. Aku bimbang progres tertangguh di bahagian aku. Tiada yang tak urgentnya kerja aku tu. Aku memang jarang sangat ambil m/c melainkan dah terlalu teruk. Begitu juga dengan cuti, aku jarang bercuti lama-lama semata-mata bimbang progres tak berjalan.
Namun pada suatu hari tu, ada sedikit yang mengubah pemikiran aku. Aku dihubungi seorang kenalan dan kami berborak sebentar. Dia bertanyakan khabar aku dan aku jawablah aku tak berapa sihat tapi aku masih lagi bekerja. Dalam pada baik, dia marah aku balik. Tak pasal-pasal. Tapi itulah yang mula mengubah pemikiran aku. Katanya kalau badan kita sakit buat apa kita masih nak bekerja? Baliklah berehat gesanya. Aku memberi alasan kerja terlampau banyak tapi alasan aku tak laku malah dibidas balik. Katanya, kerja takkan habis, walaupun sampai bila-bila, kerja memang takkan habis. Betul juga.
Katanya lagi, company takkan jatuh bankrap kalau kita bercuti sekejap hanya kerana kita tak sihat atau kita sakit. Kalau kita mati sekalipun, company kita tak susah mana pun! Majikan kita senang-senang saja mencari pekerja lain sebagai pengganti untuk menggantikan tempat kita. Segala keringat kita, akan terpadam begitu saja, sekelip mata. Jadi, mengapa kita perlu nak bermati-matian sangat untuk company kita? Berdesing telinga aku sekejap. Memang betul kata-katanya itu. Memang masuk akal. Saat itulah yang membuka mata aku.
Memang betul. Mana ada company yang bungkus kerana salah seorang pekerja mati? Kalaupun mati kerana kemalangan, cukup dengan membayar pampasan. Selepas itu, kerja-kerja akan berjalan seperti biasa seolah-olah pekerja yang mati itu tak pernah berkhidmat di situ.
Sekarang, aku tak lagi macam dulu. Kalau tak sihat, perlu rehat, aku akan ke klinik walaupun sakit tu tak memungkinkan aku mendapat cuti sakit. Kalau tak sihat, buat apa nak kerja? Nanti hasilnya juga tidak sempurna dan tidak memberangsangkan. Silap-silap lagi nanti kena marah. Kalau kita beri alasan kita tak sihat, senang saja bos berkata, “Dah tau sakit kenapa tak pergi klinik? Balik rumah berehat!” Bayangkan kalau kena tengking macamtu, sanggup ke? Dahlah kita sakit, bukannya bos kita nak simpati, marah lagi ada. Hehehe!
Walaubagaimanapun mentaliti aku terhadap kerja tetap tak berubah. Cuma sekarang dari segi perlaksanaan kerja, aku dah sedikit berubah. Seboleh-bolehnya aku siapkan kerja-kerja aku mana yang penting terlebih dahulu, sedapat-dapatnya hari ni juga aku siapkan. Manalah tahu esok lusa ada aral yang melintang dan menghalang aku untuk ke pejabat, takdalah nanti aku risau. Bos aku juga bukanlah jenis seperti di atas. Bos aku juga jenis yang mementingkan keluarga. Kalau ada masalah keluarga, selesaikan dulu, ambil cuti jika perlu. Ada masa-masanya, sekali-sekala kami berparti-partian juga memakan aiskrim ataupun goreng pisang di pejabat untuk menghilangkan tekanan. Alhamdulillah harap-harapnya ramailah bos-bos atau majikan-majikan yang bersikap sebegini. Kita pun akan tambah sayang kepada company tempat kita mencari makan. Kerja tetap kerja namun kesihatan juga haruslah dipelihara. Mudah-mudahan kekal sihat sentiasa dan mudah-mudahan juga dihindari dari penyakit-penyakit serius.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment