Monday, 28 September 2015

CINTA SECAWAN KOPI

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ni 29 September 2015. Pagi ini aku membuka radio Hot Fm dan mendengar celoteh Fafau, AG dan Fizi berceloteh mengenai topik kenangan berkenaan kopi memandangkan hari ini adalah Hari Kopi Antarabangsa. Aku juga peminat kopi. Tak kiralah bersusu atau kosong. Setiap pagi sebolehnya mesti nak ada secawan kopi sebelum memulakan hari. Dan menyentuh tentang kopi, aku juga ada sebuah cerita berkenaan kopi yang menarik untuk aku kongsikan, mungkin juga boleh dijadikan tips cinta.

Ada sepasang suami isteri, berkongsi hidup dari awal usia perkahwinan sehinggalah ke hembusan nafas terakhir. Cinta mereka bermula di sebuah majlis. Setelah masing-masing diperkenalkan oleh beberapa kenalan, mereka menjalinkan hubungan cinta. Bukan setahun, bukan dua tahun tapi bertahun-tahun.

Betapa setianya dan sabarnya si jejaka sanggup menunggu sehingga 7 tahun sebelum mereka diikat dengan ikatan pertunangan selama setahun lagi dan kemudiannya baharulah mereka mendirikan rumahtangga. Hidup mereka serba sederhana. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dua orang putera. Kedua-dua putera mereka kini juga masing-masing sudahpun berumahtangga.

Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Rumahtangga mana yang tiada pasang surutnya? Namun, rumahtangga pasangan ini tak pernah ada pun pergolakan yang besar sekadar selisih faham yang kecil-kecil itu biasalah. Itulah yang menjadikan mereka lebih saling memahami antara satu sama lain.

Tujuh tahun bercinta, setahun mengikat janji dan hampir tiga dekad usia rumahtangga terus utuh. Apa rahsianya? Apa petuanya? Sudah tentulah kasih sayang. Kasih sayang tak semestinya ditunjuk secara terang-terangan. Kasih sayang juga tak semestinya diucap melalui kata-kata. Doa sering dihimpun dan diangkat ke langit agar rumahtangga dibina terus kekal sehingga ke penghujungnya. Namun, di sebalik itu semua ada juga amalan kasih-sayang yang terselindung tanpa disedari sesiapa.

Setiap hari, tatkala si suami bersiap ke tempat kerja, si isteri menyediakan secawan kopi buat suaminya. Sebelum berangkat pergi, si suami akan meneguk kopi yang disediakan isterinya itu tadi. Pun begitu si suami tak pernah mengeluh kalau tiada sarapan disediakan, cukuplah dengan secawan kopi cuma. Si suami akan minum tapi tak habis. Tak sedap ke, tak manis ke, tak cukup rasa ke, kopi itu tetap takkan habis. Saban hari begitulah yang akan diulangi sang suami. Namun, si isteri tak pernah pun merungut akan tabiat suaminya itu. Anak-anaknya juga kadangkala turut merasa kehairanan. Bukan ke membazir jika tak dihabiskan? Dan bagi sesetengah orang juga berpendapat perbuatan si suami pasti akan mengguris perasaan isterinya. Mungkin ramai yang akan berprasangka begitu.

Setiap hari si isteri menyediakan secawan kopi untuk suaminya namun suaminya sekadar meneguk cuma separuh darinya sahaja. Separuh lagi sengaja tidak dihabiskan. Separuh dari secawan kopi yang ditinggalkan itu tadi adalah khas buat isterinya, lebihnya untuk diminum isterinya yang tercinta. Itulah kasih sayang yang ditinggalkan suaminya sebelum berangkat ke tempat kerja. Dan begitulah juga yang dilakukan saban hari selama bertahun-tahun. Inilah rahsia mereka. Inilah petua kebahagiaan dan cinta antara kedua-dua suami isteri ini sehinggalah mereka menghembuskan nafas terakhir. Si suami yang keadaannya uzur meninggalkan isteri dan anak-anaknya dengan tenang ketika dalam lenanya manakala si isteri yang sakit turut mengikut jejak langkah suami tercintanya itu dalam keadaan masih ber’iddah genap dua bulan kemudian selepas arwah suaminya pergi. Hebat kan cinta mereka?

Kasih sayang sebenarnya tidak dapat digambar dengan kata-kata mahupun perbuatan secara langsung. Kasih sayang yang bermakna akan terpancar secara ikhlas dan dapat dirasa dalam rahsia, tak perlu dipaksa-paksa untuk memberi dan menerima. Setiap manusia lain caranya untuk menunjukkan kasih-sayang mereka. Bagi aku sendiri, aku juga punya cara tersendiri untuk menyampaikan rasa kasih sayang aku terhadap isteri dan anak-anakku, tak perlu  aku beritahu. Namun, petua rahsia kasih sayang suami isteri yang kuceritakan tadi akan terus kujadikan azimat dalam mengukuhkan kasih sayang sesama isteri dan anak-anakku sampai bila-bila. Cinta mereka akan kujadikan panduan dalam hidupku. Semoga mereka berdua berbahagia di alam sana dan ditempatkan di kalangan mereka yang dikasihi Allah. Inilah doaku sebagai seorang anak buat kedua-dua arwah ibu dan bapaku itu.

AL-FATIHAH

No comments:

Post a Comment