Sempena minggu berjerebu ni aku pun rasa nak membebel pasal jerebu jugalah. Aku peliklah, tiap-tiap tahun mesti ada kejadian jerebu yang melanda negara kita. Kalau nak kata kebakaran hutan, apakah kebakaran hutan itu tidak disengajakan atau sengaja disengaja-sengajakan? Kau tak pelik ke?
Aku tahu kita ni semua cuma manusia. Yang berkuasa ke atas alam ini adalah Allah Subhanah Wa Ta’ala. Jadi, kalau nak bercakap soal cuaca ni, siapa kita nak menentukan? Semua ni kuasa tuhan tapi dalam isu jerebu ni, terang-terangan ianya berpunca dari kecuaian manusia sendiri juga. Kalau kebakaran itu disebabkan faktor cuaca panas melampau dan kemarau panjang, tak dapat dinafikan itu adalah di luar kawalan kita. Tapi apa yang aku kesalkan segelintir pihak yang menjadi punca sehingga berlaku kebakaran hutan secara besar-besaran ni, atau senang cerita kebakaran yang disengajakan. Gara-gara nak buka kebun atau ladang atau untuk pembangunan dan sebagainya, sisa-sisa pembersihan kawasan sewenang-wenangnya dibakar tanpa berkira-kira dengan faktor cuaca alam. Yang mereka nampak cuma nak untung saja.
Aku bukanlah nak menyalahkan mereka seratus-peratus sebab mungkin inilah mata pencarian mereka. Saudara-mara aku ada juga yang berkebun untuk sumber pendapatan dan salah satu cara mereka mendapatkan tanah yang subur untuk tanaman mereka dengan membakar sisa-sisa penebangan. Bezanya mungkin dari segi keluasan. Jadi kalau dah tahu keluasan kebun yang nak dibuka tu berekar-ekar atau berhektar-hektar, tak terfikir ke sama ada mereka boleh mengawal api pembakaran sisa-sisa pembersihan hutan tu? Apatah lagi pada musim panas berangin begini sudah tentunya api mudah marak dan merebak jika berlakunya kebakaran. Tak kaji dulu ke?
Aku juga tak faham dengan dasar pemerintah negara yang terlibat dengan aktiviti pembakaran hutan ini, takda dasar yang jelas ke untuk menghalang kejadian-kejadian seperti ini berulang? Apa yang aku nampak, aktivis-aktivis NGO alam sekitar mereka giat berkempen memprotes kegiatan pembakaran hutan ini, suatu yang wajar dipuji.
Buat masa ini bacaan di beberapa tempat menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat manakala beberapa buah lagi sudah dianggap bahaya. Beberapa buah sekolah juga sudah diarahkan untuk ditutup buat sementara. Badan pengurusan bola sepak negara, FAM juga sudah mengeluarkan arahan untuk menunda perlawanan Piala Malaysia jika bacaan IPU semasa melebihi paras ditetapkan. Takkan nak suruh para pemain bermain sambil memakai topeng pernafasan pula kan? Tak pernah kot dalam sejarah bola sepak pemain bermain sambil memakai topeng pernafasan.
Bagi yang biasa melakukan aktiviti luar disarankan untuk mengurangkan aktiviti di luar dan disarankan juga memakai topeng pernafasan untuk ke destinasi tertentu. Masa inilah beberapa peniaga akan mula mengambil kesempatan mencekik darah dengan menjual topeng pernafasan dengan harga yang tinggi sedikit daripada biasa, ini pun satu hal juga. Selalu saja ada yang suka menangguk di air yang keruh. Tapi tak semua peniaga begitu.
Kalau kau kata ini adalah dugaan tuhan, mungkin ya. Apatah lagi dengan keadaan hujan yang turun cuma sekali-sekala sekadar mengharapkan angin bertiup membawa jerebu ke kawasan yang lain, tak selesai masalah juga bila jerebu tu menghala ke arah utara Malaysia pula. Memang ini dugaan tuhan tapi dugaan ini untuk mengajar manusia-manusia yang cuma mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hak asasi makhluk-makhluk lain, bukan setakat manusia sesama manusia lagi dah, malah membabitkan kehidupan flora dan fauna. Harap-harapnya kali ramailah penduduk bumi yang akan belajar dari kesilapan. Aku pernah dengar suatu ungkapan berbunyi, bumi ini bukanlah milik kita tapi bumi ini hanyalah pinjaman dari generasi masa hadapan. Renung-renungkan.
Apapun, sama-samalah kita berdoa agar walau dilanda bencana sebegini, kita harapkan kesihatan kita semua terjamin dan semoga segalanya kembali sejahtera seperti sediakala in shaa Allah.
No comments:
Post a Comment