Sunday, 27 September 2015

LEBUHRAYA KERAS

Ada seorang rakan sepejabat aku, baru sahaja masuk kerja setelah bercuti panjang. Tertanya-tanya juga sebelum ini kemana dia menghilang sebegitu lama. Mungkinkah kontraknya bersama syarikat sudah tamat? Al-maklumlah dengan faktor ekonomi yang kurang stabil dan tidak memberangsangkan sehingga menyebabkan berlakunya banyak pembuangan pekerja-pekerja di tempat-tempat lain maka aku sangkakan kontraknya sudah tamat. Jadi, pagi ini aku berkesempatan berbual dengannya.

Aku sangkakan dia bercuti panjang atas alasan tertentu. Rupa-rupanya dia terlibat dalam sebuah kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan minggu sudah. Mulanya aku ingatkan dia cuma ditimpa kemalangan biasa-biasa saja sebab kalau dilihat dia tidak mengalami kecederaan parah. Malah kisahnya kemalangan pun tidak sampai ke pengetahuan kami. Setelah dia bercerita dan menunjukkan segala bukti gambar keadaan keretanya yang remuk, memang agak serius kemalangannya.

Kemalangan berlaku apabila dia telah memandu di laluan kecemasan dan melanggar sebuah kereta lain yang berhenti akibat rosak di laluan berkenaan dan menyebabkan kereta yang dipandunya terbalik di atas lebuhraya. Keretanya memang total loss. Walaubagaimanapun, alhamdulillah dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius sekadar luka ringan dan sedikit tekanan di dadanya kesan memakai talipinggang keledar.

Kalau diikutkan cerita-cerita orang kebanyakkan dan berdasarkan rekod pihak berkuasa, banyak kes kemalangan telah berlaku di kawasan berkenaan dan kebanyakkannya juga adalah kemalangan maut. Tapi mujur tuhan masih sayangkan kawan aku. Walaupun kemalangan disifatkan serius, tapi dia tidak mengalami kecederaan teruk. Malah semasa kejadian, dia sempat menyelamatkan dirinya untuk keluar dari keretanya yang sudahpun terbalik di atas lebuhraya. Ternyata, pemakaian talipinggang keledar sedikit sebanyak telah mengurangkan risiko kecederaan parah berlaku kepadanya. Mujur juga penggunaan tinted pada cermin keretanya telah menghalang kaca yang pecah mengenai dan mencederakan dirinya.

Menceritakan saat kejadian, sebenarnya dia ingin pulang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan rakannya pada keesokkan hari. Dia telah bertolak dari Johor Bahru agak lewat malam sebelum berhenti di sebuah R&R untuk berehat sebentar sambil menunaikan solat Isyak. Tak lama kemudian dia meneruskan perjalanan dan dia menganggarkan dia akan sampai ke Kuala Lumpur sekitar jam 5 pagi. Pada waktu kejadian, dia masih lagi segar dan selesa dalam pemanduan tanpa rasa mengantuk. Namun, sekitar jam 3.30 pagi setibanya dia di kilometer 234 kawasan Pedas Linggi, Lebuhraya Utara Selatan, dia berasa seakan ada suatu kelibat melintasi di hadapan kenderaannya dan telah mengganggu penumpuannya. Akibat cuba mengelak, kenderaannya tersasar dan memasuki laluan kecemasan lalu melanggar sebuah lagi kereta yang kebetulan sudah setengah jam berhenti akibat rosak di laluan berkenaan yang sedang menunggu ketibaan unit Peronda PLUS yang masih tidak sampai-sampai lagi walaupun sudah dihubungi. Kawan aku sempat juga cuba mengelak bagaimanapun menghentam belakang sebelah kanan kereta rosak itu menyebabkan keretanya hilang kawalan dan berpusing serta terbalik di atas lebuhraya.

Sebelum ini beberapa kali juga aku pernah melalui lebuhraya terbabit pada masa yang lebih kurang sama. Cuma bezanya aku memandu dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Alhamdulillah setakat ini belum pernah lagi aku ditimpa musibah sedemikian rupa dan berharap supaya ianya tidak berlaku ke atasku. Aku juga menyedari hal-hal sebegini melalui cerita-cerita orang dari beberapa kiriman e-mail yang aku baca dan menjadikan aku berwaspada dengan sebarang kemungkinan. Aku bukanlah nak taksub sangat tapi ada benarnya kalau ada yang berkata kawasan lebuhraya berkenaan di situ agak ‘keras’. Ada yang menyifatkan kawasan itu dihuni roh-roh mangsa-mangsa kemalangan maut sebelum ini. Ada juga yang berkata kawasan itu berhantu. Tapi pada pendapat aku, aku tidak menolak kemungkinan mereka yang mungkin ini adalah permainan makhluk alam juga.

Aku walaubagaimanapun menolak kemungkinan ini perbuatan hantu ataupun roh-roh yang tak tenteram kononnya. Makhluk yang aku maksudkan adalah jin. Tapi aku bukanlah mengandaikan kejadian ini adalah 100% perbuatan jin semata-mata. Aku tidaklah mahu terlalu taksub kerana mungkin juga banyak kemalangan yang berlaku di situ akibat faktor keadaan lebuhraya, faktor cuaca dan lain-lain lagi akan tetapi aku tidak menolak kemungkinan ini juga adalah lantaran permainan makhluk-makhluk yang tak boleh kita nampak tambahan lagi berlakunya di waktu-waktu sedemikian. Aku harap dengan statement aku ni, takdalah yang akan melakukan perkara-perkara khurafat seperti pemujaan di kawasan lebuhraya itu lebih-lebih lagi mereka yang gila nombor ekor. Tolong jangan jadi bodoh.

Gambar sekadar contoh

Aku taknaklah membicarakan dengan lebih panjang lebar mengenai jin-jin ni semua kerana aku bukanlah ahlinya yang arif mengenai hal ini tapi aku sekadar ingin mengingatkan kepada semua bahawa walaupun kemalangan-kemalangan sebegini sudah ketentuan tapi kita masih boleh elakkan atau setidak-tidaknya berwaspada. Bayangkan memandu di waktu malam ketika orang lain sedang lena, sebenarnya tidak berapa elok apatah lagi ketika waktu gelap. Tubuh badan kita juga sebenarnya akan memberi reaksi semulajadi jika keadaan sekeliling menjadi gelap seterusnya mendorong kita untuk berehat dan menikmati waktu tidur. Ketika itu juga otak manusia cuma berfungsi separa sedar dan kita seakan berhalusinasi tanpa kita sedar. Jadi, jika kita tidak biasa berjaga di waktu malam, lebih baik jangan memandu selepas waktu tidur normal kita. Rancang waktu yang lebih sesuai untuk memandu lebih-lebih lagi untuk perjalanan yang jauh. Namun, jika pemanduan harus diteruskan, pasangkanlah audio bacaan ayat-ayat suci Al-Quran mahupun Surah Yasin. Jika tiada juga, bawa-bawalah berzikir, bertasbih dan sebagainya sebagai usaha menghalang kita diganggu makhluk-makhluk berkenaan.

Jika kenderaan kita pula yang mengalami kerosakan di lebuh-lebuhraya mahupun di jalan-jalanraya, apa tindakan yang sewajarnya kita ambil? Kita tak boleh membiarkan kenderaan kita berhenti begitu sahaja. Kita harus mengambil beberapa langkah keselamatan terutamanya apabila kenderaan mengalami kerosakan pada waktu malam. Pertama sekali, nyalakan lampu amaran kecemasan supaya kenderaan-kenderaan lain menyedari kenderaan anda di situ. Kemudian, pasangkan kon keselamatan kira-kira 10 meter atau 20 meter jauh di belakang kenderaan kita. Dapatkan bantuan dengan menghubungi pihak PLUS atau unit bantuan insurans kenderaan kita sekiranya perlu. Jika kerosakan yang berlaku adalah di luar kemampuan kita untuk memperbaikinya, jangan tunggu bantuan di dalam kereta sekiranya kenderaan kita terhenti di lebuhraya kerana ini akan mengundang bahaya dirempuh kenderaan-kenderaan lain. Kenderaan kita memang berharga tapi nyawa kita jauh lagi lebih berharga.

Walauapapun jua, sebaik-baiknya sebelum memulakan perjalanan, adalah lebih kita memeriksa keadaan kenderaan kita terlebih dahulu. Adakah kenderaan kita bersedia untuk perjalanan jauh? Servislah kenderaan anda terlebih dahulu bagi memastikan kenderaan dalam keadaan yang sempurna baik dari sudut tayar, sistem brek dan bermacam-macam lagi. Jangan terlalu ambil mudah kerana ini semua mungkin menjamin keselamatan kita sewaktu memandu. Tak lupa juga, bacalah doa sebelum memulakan perjalanan agar mudah-mudahan perjalanan kita selamat dan kita juga selamat sampai ke destinasi yang dituju.

No comments:

Post a Comment