Sunday, 27 September 2015

BILA PERGINYA ANAK ADAM


Semalam aku pulang ke kampung menziarahi jenazah arwah bapa saudara aku yang meninggal dunia sehari sebelumnya. Arwah meninggal dunia akibat sakit tua. Kali terakhir aku berjumpa arwah pada tahun lepas. Pada Hari Raya yang baru lepas juga aku tak berkesempatan untuk pulang ke kampung almaklumlah cuti aku tak panjang. Aku doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang dikasihi tuhan.

Apabila meninggal dunianya seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya di dunia untuk dibawa ke akhirat melainkan tiga perkara yang akan berterusan pahalanya seperti yang selalu diperingatkan kepada kita iaitu ilmu yang berguna, sedekah jariahnya dan anak yang soleh. Jadi beruntunglah sesiapa yang saat matinya meninggalkan tiga perkara ini di dunia bagi memanjangkan lagi saham akhirat simati. 

Menyentuh tentang kematian, aku ingin berbicara sedikit mengenai amalan dan adat orang Melayu kita. Kerap aku perhatikan, sebaik saja jenazah dikebumikan, akan ada wakil dari keluarga waris simati mengumumkan suatu majlis tahlil akan diadakan pada malam itu juga dan menjemput sesiapa sahaja kenalan simati ke rumah mahupun ke masjid untuk sama-sama bertahlil. Ada yang menyebut sebagai majlis tahlil dan ada yang menyebut sebagai kenduri. Aku kurang setuju jika orang menyebut sebagai kenduri tahlil. Kenduri ni boleh aku sifatkan sebagai sebuah keraian. Takkanlah bila berlaku sesatu kematian, kita akan meraikannya? Ini pada pendapat akulah. Mungkin berbeza dari sudut pandangan orang lain.

Apa tujuan majlis tahlil ni sebenarnya? Kenapa ianya perlu dianjurkan oleh tuan rumah selaku pewaris dan keluarga simati itu sendiri sedangkan mereka masih lagi dalam situasi bersedih. Bukankah ia sedikit membebankan tuan rumah? Dengan terpaksa untuk menyediakan juadah-juadah semasa majlis berlangsung aku rasa ianya bagai satu bebanan buat keluarga simati.

Ada yang berpendapat majlis ini betujuan mengirimkan pahala kepada simati dan sebagai penghargaan, kita jamu mereka dengan sedikit jamuan. Ada seorang imam yang memberitahu aku, tahlil ni tak salah malah semua bacaan-bacaan yang dilakukan adalah betul cumanya kalau nak diikutkan, ada perkara-perkara lain yang lebih utama dan afdhal boleh dilakukan untuk simati. Majlis tahlil ini lebih kepada adat semata-mata. Yang lebih tak eloknya bila ia diadakan bersempena bilangan hari tertentu, perkara sebegini tidak diajar dalam Islam malah boleh dikatakan sedikit tersasar dari ajaran Islam sebenar. Walaubagaimanapun, aku ada mendengar juga pendapat orang-orang veteren. Mereka mengatakan majlis tahlil ni ada tujuan lain di sebalik perlaksanaannya. Ketika ahli keluarga simati sedang bersedih, setidak-tidaknya dengan kehadiran para tetamu dapat mendamai dan meredakan sedikit kesedihan mereka disamping turut menzahirkan rasa simpati. Mudah-mudahan juga dengan bacaan ayat-ayat suci Surah Yasin dan surah-surah berkaitan akan menjadi doa buat simati. Kita juga perlu melihatnya dari sudut sejarah. Mungkin zaman dahulu sebelum kedatangan Islam, orang-orang Melayu lebih terikut-ikut dengan amalan budaya Hindu. Menyedari hakikat ini, mungkin ada di kalangan orang-orang alim terdahulu menganjurkan bacaan tahlil sebegini untuk simati bagi menggantikan amalan memuja roh yang telah pergi di zaman kuno dahulu seterusnya amalan tahlil terus dibawa dari zaman ke zaman. Mungkinlah aku kata sebab ini sekadar pandangan aku sahaja. Jadi di sini, terpulang kepada sesiapa yang berhajat untuk mengadakan majlis tahlil atas tujuan-tujuan di atas selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam atau lebih berlandaskan adat resam semata-mata. Yang mana tak betul, kita betulkan. Yang mana rasanya tak elok, kita perelokkan. Mudah-mudahan apa yang kita lakukan mendapat keredhoan Allah.

Dalam sebuah khutbah Solat Jumaat, pernah khatib menerangkan apa yang baik dilakukan selepas seseorang seperti ibu atau bapa yang meninggal dunia. Sebanyak tiga perkara yang elok dilakukan buat simati. Pertama, mendoakan mereka supaya diampunkan dosa-dosa mereka ketika mereka hidup di dunia dan perbanyakkan istighfar untuk mereka. Yang kedua, teruskanlah hajat mereka yang baik yang mana tidak sempat mereka sempurnakan ketika mereka masih hidup contohnya seperti bersedekah. Manakala yang ketiga, sambungkanlah ikatan silaturrahim yang pernah dijalinkan sewaktu mereka masih hidup dulu. Inilah tiga perkara yang sangat dianjurkan dalam Islam untuk dilakukan waris yang masih hidup buat simati. Jika simati mempunyai hutang-hutang yang masih belum dijelaskan, adalah lebih afdhal jika warisnya melunaskan hutang-hutang simati. Selain itu, jika simati masih belum menunaikan ibadah haji, ambillah kesempatan untuk melakukan badal haji untuk simati sama ada dilakukan sendiri oleh waris atau mengupah seseorang untuk melakukan badal haji untuk simati.

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam harus menyedari yang mana satukah tuntutan dalam Islam atau adat semata-mata. Kita harus tahu membezakan kerana adat turun-temurun nenek moyang kita dahulu ada yang ditiru dari budaya agama Hindu dan diterapkan sebagai adat Melayu. Ada juga adat Melayu yang berbentuk khurafat. Mana-mana adat yang jauh tersasar ini lebih baik kita jauhkan dan dikhuatiri juga amalan yang selama ini kita amalkan adalah sia-sia belaka. Dan sebagai seorang anak, kita juga harus sedar apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu ibu bapa kita yang sudah terpisah di alam barzakh sana. Semoga dengan ini juga akan menjadi contoh dan ikutan untuk anak-anak kita pula sebagai harta paling bermakna untuk kita tinggalkan suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment