Friday, 25 September 2015

DI TEPI PANTAI YANG HARMONI


Di tepi pantai yang indah.. aku duduk seorang diri.. suasana sepi..
Haha! Itu laguu! Lagu lama.

Semalam aku dan family aku diajak ipar-ipar aku berkunjung ke Pantai Desaru. Maklumlah walau hari cuti duduk di rumah saja pun bosan. Jadi kami bercadang ke sebuah resort di Desaru, Lotus Beach Resort.

Agak menarik juga resort ini. Semuanya serba lengkap. Pelbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung. Aku sekadar meninjau-ninjau sahaja manalah tahu sekiranya syarikat tempat kerja aku ingin membuat rombongan, boleh aku usulkan tempat ini. Jarang ada resort yang lengkap dengan taman tema airnya sendiri tapi ada di sini. Aku malas nak promo lebih-lebih. Kalau berminat, bolehlah berkunjung ke laman webnya sendiri.

Kami ke sini sekadar ingin menikmati suasana di tepi pantai. Alhamdulillah walau hari siang, cuacanya agak redup. Jadi, dapatlah kami habiskan sepetang di tepi pantai ini cuma sayangnya tiupan angin kurang memberangsangkan. Layang-layang yang dibeli tak dapat diterbangkan. Walaubagaimanapun puas jugalah dapat bermain bola sepak pantai bersama-sama adik-beradik ipar-duai dan anak-anak. Nak mandi, kami tak membawa pakaian lebih sebab tak bercadang pun nak bermandi-manda.

Setelah penat, aku duduk sekejap sambil melihat ke sekeliling. Sungguh indah bumi ciptaan tuhan ini. Sesekali ke sini dapatlah juga melepaskan tekanan sambil merehatkan minda. Dalam masa yang sama, aku perhatikan juga gelagat-gelagat beberapa pengunjung lain yang melakukan aktiviti-aktiviti mereka sendiri di tepi pantai. Pelbagai bangsa, pelbagai rupa, sama-sama menikmati suasana indah dan permai ini.

Sepanjang pantai ini aku nikmati pelbagai rona warna manusia. Di sana ada orang Melayu, di sini ada orang Cina dan di situ pula ada orang India. Semuanya berkongsi satu pantai yang sama. Semuanya tersenyum riang dan ceria bagai tiada apa yang berlaku seperti yang banyak diviralkan di media-media sosial. Semuanya aman dan damai. Aku cuba juga bayangkan kalau orang kita sahaja yang berkelah di situ, pasti rasanya bagai sedikit hambar di situ. Begitu juga kalau orang-orang India sahaja yang berkelah di situ, sedikit sebanyak terdetik rasa gerun juga di hati kita. Dan kalau bangsa Cina sahaja yang ada di situ, juga kita akan berasa bagai berada di bumi asing pula. Tapi semalam, semua bangsa majoriti di Malaysia ada di situ. Semuanya menikmati keindahan pantai dengan keluarga masing-masing. Semuanya berseronok. Inilah dia warna-warni tanahair kita. Kita juga patut bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang ada ini.

Memang aku seorang Melayu dan aku juga punya prinsip kemelayuan yang agak menebal. Sesekali bila aku melungsuri laman facebook, ada juga terselit status-status rasis bangsa itu bangsa ini, aku rasa sesak. Geram pun ada. Orang-orang Melayu sibuk mempertahankan bahawa tanah ini adalah tanah milik orang-orang Melayu dulunya manakala bangsa-bangsa lain seperti Cina dan India pula mempersoalkan hak kesamarataan meraka sebagai warganegara ini juga. Di sinilah mula timbulnya isu-isu rasis di kalangan warga-warganegara kita. Kerana sedikit hal inilah nanti jadinya akan berlaku ketegangan dalam perpaduan masyarakat. Maka ramailah juga yang bersifat angkuh dan mula melupakan toleransi dalam perpaduan yang sudah kita amalkan.

Bukankah elok kalau kita buang sifat-sifat benci-membenci antara satu kaum sesama kaum yang lain? Kita semua saling bergantung harap antara satu sama lain. Bangsa Cina yang hebat berdagang di tanah ini, janganlah lupa kekayaan anda juga adalah hasil dari pelanggan-pelanggan anda yang berbangsa Melayu dan India. Anda tak akan mampu menjadi tauke besar jika anda mengharapkan kesemua pelanggan anda dari kalangan bangsa anda sendiri. Begitu juga dengan orang-orang Melayu, kita takkan mampu membangun seperti hari ini tanpa sokongan dari bangsa Cina dan India sejak dulu lagi. Jadi kenapa kita terlalu bersifat rasis? Aku akui juga aku adalah orang Melayu yang mana juga benci jika ada bangsa-bangsa lain mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di bumi ini yang sudah lama termaktub dalam perlembagaan. Walaubagaimanapun, aku masih ada rasa hormat kepada bangsa-bangsa ini. Kawan-kawan aku juga ramai yang bukan berbangsa Melayu dan berlainan agama tapi terus akrab sehingga ke hari ini malah kami juga mesra bagai sebuah keluarga. Oleh kerana ini, aku juga malu untuk meluahkan komen-komen yang berbau rasis di laman-laman sosial seperti di facebook dan twitter kerana aku menghormati perasaan kawan-kawan berlainan bangsa yang lain di samping aku juga berharap mereka juga sebegitu.

Sebenarnya, kalau kita bertanya dengan jiran-jiran sekeliling kita dan orang-orang lain yang kita jumpa, tak timbul pun perasaan rasis ni. Kita akan sama saling hormat-menghormati antara satu sama lain kecuali segelintir di antara mereka yang bersikap bongkak. Orang-orang yang bongkak ni bukan sahaja dari kalangan mereka yang berbangsa Cina, malah dari kalangan bangsa Melayu dan India juga ramai. Melayu dengan Melayu pun kadang-kadang bergaduh juga. Jiran-jiran lama rumah orang tua aku dulu sesama India pun tak sehaluan dan sering berlainan pendapat. Ini bukan masalah kaum, tapi ini masalah individu itu sendiri. Dan kalau diikutkan isu-isu semasa yang melanda negara waktu ini, isu-isu rasis ni ditimbulkan oleh orang-orang yang berkepentingan peribadi contohnya ahli-ahli politik. Segelintir ahli-ahli politik ini cukup suka bermain dengan isu-isu panas dan sensitif untuk menjatuhkan orang lain asalkan kedudukannya sendiri terpelihara. Bukankah seharusnya ahli-ahli politik lebih mengutamakan keperluan rakyat berbanding mencari salah orang lain dan mencetuskan perbalahan masyarakat?

Sebenarnya walaupun budaya kita tak sama tapi aku nampak masih ada persefahaman dan toleransi di situ. Sepanjang aku berada di pantai dan resort itu, aku tak nampak pun orang-orang Cina dan India yang memakai pakaian yang keterlaluan atau berbikini sebagaimana yang sering dipaparkan di dalam filem-filem barat. Ramai juga wanita-wanita berbangsa Cina yang aku lihat memilih untuk mengenakan t-shirt dan berseluar pendek berbanding untuk sekadar hanya mengenakan pakaian renang. Jelas mereka masih menghormati orang-orang di sekeliling mereka terutama kaum Melayu.

Wahai rakyat tanahairku, sejarah dahulu kita jadikan panduan. Sejarah Bukit kepong, sejarah 13 Mei, sejarah-sejarah itu bukan untuk kita buktikan siapa benar siapa yang salah tapi itulah harga yang perlu dibayar sekiranya tiada perpaduan di kalangan kita. Kita sama-sama membangunkan negara, maka kita jugalah yang harus mempertahankannya. Ketika itu kita takkan berbicara soal kaum lagi, tapi kita akan bangkit sebagai warganegara yang berjuang untuk negara kita sendiri bersama-sama. Usah dibeza-bezakan lagi. Kita mampu hidup berharmoni. Sebagaimana Melayu, Cina dan India boleh sama-sama berkongsi di pantai yang sama untuk melakukan aktiviti berkelah, kenapa tidak kita kongsi keharmonian yang sama di dalam negara kita ini?

No comments:

Post a Comment