Menyentuh tentang Hari Raya Qurban, ada dua perkara besar bersangkut-paut dengan perayaan besar umat Islam ini iaitu musim ibadah haji di Makkah Al-Mukarramah dan ibadah korban. Bagi umat Islam, ramai yang sedia maklum dengan sejarah korban ini dan ia terus dilakukan sebagai ibadah. Walaubagaimanapun, aku rasa andai ada di kalangan pembaca blog aku ni merupakan penganut agama lain pastinya tertanya-tanya mengapakah ketika musim perayaan Aidil Adha, orang-orang Islam dituntut melakukan ibadah korban?
Memetik tentang sejarah korban, ia bermula dari kisah Nabi Ibrahim Alaihi Salam mendapat perintah daripada Allah Subhanah Wa Ta'ala untuk menyembelih anaknya Nabi Ibrahim sendiri, Nabi Ismail Alaihi Salam. Sebagai seorang bapa, bapa mana yang tak kasihan kepada anaknya? Walaubagaimanapun, Nabi Ismail tidak membantah kerana menyedari itu adalah perintah Allah. Namun, ketika sembelihan dilakukan, dengan kuasa Allah, Nabi Ismail telah digantikan dengan seekor kambing. Dari peristiwa inilah bermula sejarah ibadah korban.
Sembelihan korban (kredit foto: panduanpercuma.info)
Baiklah, apa rasionalnya umat Islam melakukan ibadah korban? Mungkin orang-orang bukan Islam berpendapat bukankah amalan sembelihan besar-besaran seluruh dunia oleh umat Islam ini dikira sebagai kejam? Bagi mereka yang tidak memahami akan merasakan sedemikian. Umat Islam seluruh dunia melakukan korban sebagai mengambil iktibar daripada sejarah yang berlaku pada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang dah aku ceritakan tadi akan betapa taatnya seorang hamba kepada perintah Allah untuk menyembelih darah daging kesayangannya sendiri walau dia merupakan seorang nabi sekalipun. Kalau kita, adakah kita tergamak untuk melakukannya? Hanya orang-orang yang kuat imannya sahaja mampu meneruskan. Dalam kehidupan kita sendiri juga, kita selalu diuji dengan pelbagai ujian dan cabaran yang kadangkalanya memerlukan kita membuat pengorbanan. Kalau diceritakan tentang berkorban, skopnya begitu luas bukan sekadar melakukan ibadah korban semata-mata.
Berbalik kepada sembelihan tadi, bayangkan anda sudah mengumpul beribu ringgit lalu anda belanjakan untuk membeli seekor lembu untuk dikorbankan dan hasilnya bukan berbalik kepada anda, mungkin bagi orang yang tak mengerti, mereka menganggap ianya sebagai sia-sia. Tidak! Daging sembelihan korban tadi akan diagih-agihkan kepada umat Islam yang fakir dan miskin. Maka, dengan daging korban tadi dapatlah dinikmati oleh golongan fakir-fakir miskin atau mungkin juga boleh mereka jual bagi menampung kehidupan. Bukankah amalan anjuran Islam ini indah?
Korban sembelihan ini sekadar simbolik, natijahnya ia memainkan peranan cukup besar dalam kehidupan tentang perlunya istilah berkorban dalam banyak hal termasuk jugalah berkorban masa, harta dan nyawa sebagaimana dalam lagu Allahyarham P.Ramlee - Berkorban Apa Saja. Berkorban dapat menghindarkan seseorang dari sikap mementingkan diri sendiri dan tamak malah ia juga mampu memupuk kasih-sayang sesama ummah tanpa mengira batasan darjat.
No comments:
Post a Comment