Gambar sekadar hiasan
Hasil intipannya mendapati anak muridnya itu hidup serba kekurangan. Setiap hari dia akan menunggu abangnya pulang dari sekolah untuk menyarung baju dan kasut abangnya untuk dia pula pergi ke sekolah. Kerana kesempitan hidup, mereka adik-beradik terpaksa berkongsi pakaian sekolah. Saat itulah guru itu mula menyedari kisah di sebaliknya hidup anak muridnya yang sering lewat ke sekolah. Pernah kan kau dengar cerita ni?
Mulanya aku pun turut tersentuh dengan kisah budak itu. Entah sengaja direka atau memang kenyataannya pernah terjadi, aku pun tak tahu tapi ia cukup menyentuh. Pelbagai pengajaran yang boleh diambil dari kisah itu. Walaubagaimanapun, bukanlah cerita itu yang ingin aku perkatakan sangat. Aku lebih terpanggil untuk menyentuh mengenai komen-komen respon yang diberikan rentetan dari kisah itu. Iyalah aku pun baca kisah tu dari facebook, sudah tentulah ramai yang memberikan pandangan dan persepsi masing-masing.
Memang menarik kalau dinilai komentar-komentar pembaca di facebook berkenaan. Macam-macam ragam. Ada yang menyalahkan guru itulah, ada yang menyalahkan masyarakat setempatlah, ada yang menyalahkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakatlah, ada yang merayu bantuan untuk keluarga budak itulah malah ada juga yang menyalahkan kerajaan. Sampai ke tahap menyalahkan kerajaan pun ada juga malah terlempar juga kata-kata kesat yang tiada kena-mengena langsung dan tak tahu hujung-pangkalnya.
Kalau aku katakan akal mereka ini pendek, sudah tentu mereka marah. Tapi itulah kenyataannya. Entah dari mana kisah itu dikopi pastakan (copy paste), entah benar atau tidak kisah itu, entahkan kisah itu cuma sebuah kisah imaginasi, tiada siapa yang tahu. Tapi yang dahsyatnya, para netizen yang membuat komentar menganggap seolah-olah kejadian ini benar-benar berlaku dan mereka meluahkan rasa isi hati mereka dengan begitu beremosi. Aku sendiri pun tak tahu kisah ini benar terjadi atau sebaliknya.
Aku yakin niat sebenar penulis adalah untuk memberi kesedaran melalui jalan penceritaannya biarpun hanya dia saja yang tahu sejauh mana kebenaran kisah budak itu. Aku juga tahu yang penulis mahu kisah itu diambil sebagai iktibar buat semua dan makna iktibar itu sebenarnya adalah besar, jauh lebih besar dari pandangan-pandangan respon-respon yang diberikan para netizen tadi.
Guru tak salah. Kenapa nak salahkan guru? Sedangkan tugas guru itu untuk mendidik anak bangsanya. Bukan saja untuk menyampaikan ilmu malah guru juga berperanan membentuk sahsiah dan peribadi murid-murid supaya mampu menjadi insan lebih cemerlang. Kerana itulah guru menekankan soal disiplin di kalangan murid-muridnya. Yang tidak berdisiplin akan dihukum. Guru tak tahu pun latar belakang muridnya sehinggalah dia sendiri diberitahu. Anak-anak muridnya pun ramai, bukan seorang dua. Jadi salah apa guru itu?
Begitu juga nama-nama lain yang turut dikaitkan seperti masyarakat setempat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kerajaan, apa kena-mengena salah mereka sedangkan kita belum tentu tahu sejauh mana kebenarannya cerita itu. Kalau betul sekalipun, bukan itu matlamat yang dimahukan oleh si penulis. Jadi apa sebenarnya matlamat penulis?
Ramai yang tak sedar yang respon-respon mereka itu hanyalah sekadar seperti melepas batok di tangga. Kenapa tidak kita berfikiran lebih jauh dan lebih luas. Kalau akulah, aku tidak salahkan sesiapa. Sebaliknya, aku menasihatkan diri aku sendiri supaya bersyukur dengan apa yang aku ada setakat ini. Hidup aku masa aku bersekolah dulu sehinggalah sekarang ini anak-anak aku pula yang bersekolah, tak sama seperti situasi budak di dalam cerita itu. Aku dulu tak pernah pun sampai terpaksa berkongsi baju, memakai baju kotor ke sekolah, kasut koyak-rabak dan serba-serbi tak cukup seperti budak itu. Begitu juga anak-anak aku, segala kelengkapan mereka cukup aku sediakan. ‘Alhamdulillah’, sebenarnya kalimah inilah yang patut kita ucapkan. Syukur hidup kita tidak seperti budak malang itu. inilah sebenarnya yang penulis mahukan.
Bak kata orang tua-tua, jauh perjalanan luas pemandangan. Begitu jugalah dengan cara pemikiran kita. Lebih baik kita lebih banyak berfikir dan berfikir untuk kita terus matang dari kita meluahkan sesuatu yang kita rasakan kita betul tapi sebenarnya hanya mengikut emosi semata-mata. Atau lebih mudah kata, berfikir sebelum bertindak. Jangan bertindak hanya berlandaskan emosi semata-mata.
Bukan sahaja sekadar kisah budak miskin ini, kisah-kisah lain pun begitu juga, termasuklah juga isu-isu panas dan sensasi yang lain yang digembar-gemburkan. Ada saja isu panas, ramai yang melenting, ramai yang terlalu ikutkan emosi tapi tak ramai yang mengambilnya secara positif. Kita kesal dengan fitnah tapi kadangkala kita juga tak sedar apa yang dah kita lakukan juga sudah boleh dikira sebagai memfitnah melalui respon-respon komentar kita. Kita tak sedar. Oleh itu, dalam apa-apa jua tindakan, berfikir sedalam-dalamnya terlebih dahulu.
Jangan ambil ringan soal fitnah-memfitnah ini apatah lagi dunia siber kita sudah melebihi jangkauan, apa saja boleh dilakukan dan terletak di hujung jari. Media komunikasi yang semakin memudahkan kita dan mendekatkan kita dengan sesiapa sahaja, jangan disalah-gunakan untuk perkara-perkara yang tidak elok. Sebab itulah Rasulullah pernah bersabda bahawa akan datang harinya nanti serangan-serangan akan datang bukan sahaja dari depan belakang kiri dan kanan tapi dari atas bumbung rumah kita juga. Inilah maksudnya apabila kemunikasi kita sudah melangkaui batas sempadan maka fitnah akan berleluasa di mana-mana sahaja.
Janganlah nak menyalahkan agenda Yahudi untuk menyesatkan kita sebaliknya kita sendiri yang kadangkala tidak sedar akan tindak-tanduk kita apabila menggunakan segala kemudahan yang ada. Nasihat aku, berfikirlah dalam apa jua tindakan. Buanglah segala kata-kata tohmahan yang selalu kita lemparkan terhadap sesiapa sahaja walau sejahat manapun orang itu. Nukilkan perkara-perkara yang baik sebagai melambangkan akhlak kita dan agama yang kita bawa. Rasulullah dah ajar. Jadi, beringatlah sebelum nanti kita beramai-ramai terpaksa merangkak di Padang Mahsyar mencari orang yang kita fitnah tadi untuk memohon maaf.
Dan berbalik kepada kisah budak miskin tadi, selain daripada kita mengungkapkan rasa syukur dengan kesempurnaan yang kita ada, kita juga haruslah sedar hendaknya bahawa di sekeliling kita masih ramai orang-orang yang susah. Sama-samalah kita bantu apa yang kita termampu seikhlas hati kita. Mudah-mudahan dengan ini dapat meringankan beban mereka yang susah. Lebih banyak kita memberi, in shaa Allah banyak jugalah keberkatan yang akan kita terima nanti.