Wednesday, 6 January 2016

SEPOTONG AYAT MEMANGGILKU PULANG



Bilakah kali terakhir kita khatam Al-Quran? Bilakah kali terakhir kita membaca Al-Quran? Bilakah kali terakhir kita menyentuh dan menatap Al-Quran? Aku tak mahu bertanya kepada orang lain, tapi aku bertanya kepada diri aku sendiri. Sejauh manakah aku sendiri mendalami Al-Quran.

Sewaktu kecil aku cukup diajar mengaji oleh kedua-dua orang tua ku. Jika cuti sekolah pula, aku akan tinggal di kampung, jadi arwah atuk pula mengajar aku mengaji. Aku masih ingat guru-guru mengaji aku ada 4 orang kesemuanya termasuk abang sepupu aku yang pernah menetap bersama kami sekeluarga dahulu. Alhamdulillah, ketika aku berumur 12 tahun, aku sudahpun khatam Al-Quran.

Di sekolah agama, aku diajar dengan hukum-hukum tajwid. Jadi, aku mahir membaca isi Al-Quran secara sempurna lengkap dengan tajwidnya. Malah, aku juga pernah diminta menjadi wakil sekolah agama aku dulu ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat sekolah-sekolah agama daerah. Walaupun tak berjaya meraih apa-apa tempat, ianya menjadi pengalaman berguna untuk aku. Alhamdulillah.

Sejak aku khatam, aku jarang membelek Al-Quran. Kadang-kadang sahaja aku membuka itupun ketika belajar di sekolah. Aku rasa dengan pengetahuan aku dan kemampuan aku membaca sahaja sudah cukup memadai. Aku sudah mula riak dan bangga diri. Walaupun aku masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim, semakin lama semakin jauh dari sisi Al-Quran. Aku sudah mula lupa kepada Al-Quran hanya gara-gara aku rasa sudah cukup pandai mengaji dengan lancarnya.

Agak lama juga aku menyisihkan Al-Quran. Aku riak kerana aku rasa aku tidak buta huruf tidak sebagaimana orang-orang lain yang masih lagi merangkak-rangkak meneliti setiap bacaan huruf potongan ayat-ayat Al-Quran. Malah aku juga menggeleng-gelengkan kepala ketika melihat calon-calon suami isteri lain yang hadir bersama ketika aku dan bakal isteriku menyertai kursus pernikahan dahulu. Beginikah dia calon-calon yang akan memimpin keluarga mereka nanti? Alangkan potongan ayat-ayat Al-Quran teragak-agak untuk dibaca, apatah lagi syiar Islam dapatkah diterapkan ke dalam keluarga yang akan dipimpin mereka nanti? Dalam pada aku bersyukur dengan apa yang aku ada, walau aku tak berkata apa namun ada sedikit rasa riak dalam diri.

Aku sudah mula berkeluarga. Aku cuba besarkan anak-anakku sedaya yang boleh mengikut garis panduan agama. Aku masih seorang muslim biasa yang masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim begitu juga terhadap keluarga aku. Namun begitu, agak gusar juga dihati aku bagaimana untuk memulakan anak-anak aku untuk mengenali Al-Quran. Mujur ketika itu pengasuh mereka yang menjaga mereka ketika kami suami isteri bekerja menghantar anak-anakku ke rumah jirannya yang kebetulan mengajar mengaji Al-Quran dan Muqaddam secara sambilan. Alhamdulillah, buat permulaan aku rasa tanggungjawab aku sudah terlaksana.

Hari demi hari, anak-anakku membesar. Semakin membesar semakin terserlah kenakalan mereka. Isteriku juga begitu, ada masa-masanya hilang rasa hormat dan taat kepadaku. Pernah juga aku ditengking atas sedikit kealpaan aku. Aku tak tahu dimana silapnya. Namun, aku anggap ianya suatu dugaan dalam berumahtangga. Iyelah, rumahtangga mana yang tiada pasang surutnya?

Aku mula membaca mengenai pelbagai pandangan dan nasihat kekeluargaan dan rumahtangga sehinggalah aku terjumpa tips supaya isteri dan anak-anak taat kepada suami dan bapa. Di situ ada dinyatakan bahawa aku dikehendaki membacakan potongan ayat Al-Quran dari surah tertentu untuk dibisik, dihembus dan diusap di ubun-ubun rambut di dahi isteri dan anak-anakku ketika mereka sedang tidur. Aku nekad untuk mencuba. Aku bangkit di sepertiga malam dengan menunaikan solat dan kemudian menyambung dengan membaca ayat-ayat Al-Quran seperti yang dikehendaki tadi. Aku rasa berdebar untuk membuka kitab yang telah lama aku tinggalkan. Aku buka bahagian indeks bagi mencari mukasurat surah berkenaan. Alhamdulillah jumpa.

Bila aku buka muka surat surah berkenaan, terpancar sedikit gembira. Aku harap langkah aku tak sia-sia. Aku mulakan dengan bismillah. Sedang aku cuba mula membaca, tiba-tiba lidahku seolah-olah kelu. Payah benar nak menuturkan bacaan malah aku mula keliru dengan fungsi segala huruf. Lidahku terketar-ketar, tak selancar dahulu lagi. Aku cuba dan terus mencuba tapi gagal untuk lancar seperti dahulu. YA ALLAH! Ampunkan aku! Airmataku mengalir deras. Betapa jauh sudah aku dari KalamMu, ya Allah! Kau tarik kembali kemahiran aku. Aku jadi bodoh kembali, merangkak-rangkak macam orang yang baru nak belajar mengaji. Aku insaf. Apakah caranya kini supaya aku dapat kembalikan kemahiran aku yang dulu itu? Aku berharap sangat aku dapat kembali seperti dahulu. Aku menangis keseorangan.

Hari demi hari berlalu, anak-anakku semakin membesar. Anakku yang sulung sudah mula mengaji Al-Quran manakala yang kecil masih lagi peringkat iqra’. Entah bagaimana, guru yang mengajar anak-anakku mohon untuk berhenti mengajar Al-Quran atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Jadi, siapa lagi nak aku harapkan melainkan diri aku sendiri. Mungkin inilah masanya ku rasa, inilah masanya untuk aku menggalas semula tanggungjawab mengajar anak-anakku mengaji Al-Quran. Sejak itu, selesai solat maghrib, aku gilir-gilirkan anak-anakku mengaji Al-Quran dan Muqaddam. Alhamdulillah, aku kembali menguasai apa yang pernah aku hilang sekejap dahulu tu. Dah hikmahnya lagi, aku dapat mengajar anak-anakku dengan tajwid yang sempurna begitu juga dengan cara sebutan dan pelbagai kaedah lagi sebagaimana yang pernah diajarkan guru-guruku dulu. Mudah-mudahan keberkatan mereka mengajar aku berpanjangan dengan aku pula mengajar ilmu yang sama untuk anak-anakku.

Alhamdulillah. Sesungguhkan tuhan itu maha pengasih lagi maha penyayang. Walaupun aku sudah lupa dan jauh dari kalamNya, DIA aturkan semula jalan ceritaku supaya aku kembali mengingatinya. Segalanya cukup indah bagi aku malah ketika aku mengajar anak-anakku mengaji, aku cukup seronok, gembira, teruja dan berbagai-bagai lagi perasaan indah yang tak mampu aku ungkapkan di sini. Hanya Allah yang yang tahu bagaimana perasaan aku dan syukurnya aku. Aku juga menganggap anak-anak ini adalah juga suatu rahmat dari Yang Maha Esa, dengan adanya mereka dapatlah aku menyalurkan ilmu-ilmu yang aku dapat dulu untuk diajarkan kepada mereka dengan harapan semoga ilmu itu tidak lenyap selain secara tak langsungnya juga bagi diri aku sendiri, ianya membawa aku kembali merindui Kalamullah dan mempertingkatkan lagi kemahiran aku. Rasa tenang dalam diri bila dapat kuajarkan ayat demi ayat untuk mereka.

Sejak itu, seboleh-bolehnya juga aku tak mahu lagi riak dalam kebanyakkan hal. Riak walaupun sedikit lama-lama akan memakan diri. Yang penting sekarang, pandang apa juga segalanya penuh dengan hikmah. Semakin kita sedar, semakin itulah kita rasa banyak lagi dalam diri ini yang belum cukup. Begitu juga dengan aku, banyak lagi yang harus aku pelajari. Terima kasih, Allah!

No comments:

Post a Comment