Tuesday, 12 January 2016

SANG IBU MUDA

Aku sekali lagi terpanggil untuk mmbehaskan isu-isu semasa yang viral di laman-laman sosial. Baru-baru ini kecoh mengenai isu seorang ibu muda yang terpalit kontroversi bila mana dia telah memuat-naik satu gambar selfienya sedang menyusukan bayinya sambil tersenyum. Gambar ini kemudiannya telah diviralkan di satu laman komuniti yang kononnya popular dengan telatah jenaka penulisnya dan sering mendapat perhatian ramai sehingga mengundang banyak persepsi negatif di kalangan netizen.



Aku memang tak tahu mulanya sebab aku tak follow pun page tu. Aku kurang berkenan dengan caranya memutarkan isu-isu semasa termasuklah yang terbaharu kisah ibu muda tadi. Ya, aku tahu tujuan page berkenaan untuk memberi kesedaran awam tapi apakah perlu diviralkan sedemikian rupa tanpa ditapis terlebih dahulu sama ada dengan memadam ataupun menyamarkan wajah si pelaku? Bukankah ianya akan mengundang aib kepada si pelaku? Apa kesannya nanti terhadap ahli keluarganya begitu juga suaminya? Pernah tak dia terfikir apa kesan-kesan buruknya nanti?

Mengulas mengenai si ibu muda pula, aku agak bersetuju dengan pendapat ramai yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan wanita terbabit. Walaupun awak tidak mendedahkan mana-mana tubuh, walaupun awak melakukan perkara yang baik dan awak rasakan baik bagi menjadi contoh ibu-ibu lain menyusukan anak dengan susuan sendiri, ianya tidak berapa manis. Tambahan pula kita ni orang Melayu, ada adab dan batasnya sendiri, isu-isu sebegini agak sensitif. Wanita di pandangan mata lelaki, walau tertutup mana auratnya sekalipun, imaginasi sang lelaki melangkaui batas pemikiran yang wanita sangkakan. Tak mustahil juga gara-gara gambar ini akan membawa kemudaratan kepada si pelaku. Gara-gara gambar berkenaan juga akan menimbulkan syahwat di kalangan penontonnya. Kerana inilah garis panduan syariah Islam cukup ketat mengenai aurat wanita. Kalau tidak juga, tak perlulah diwujudkan bilik-bilik khas penyusuan ibu di premis-premis awam. Walaubagaimanapun, aku tak mahulah menyalahkan dia semata-mata. Aku pasti ketika ini si ibu muda tadi agak tertekan dengan apa yang telahpun terjadi. Apapun, mujur tiada mana-mana kawasan larangan yang terpampang. Aku pun faham maklumlah ini mungkin pengalaman pertamanya. Lagipun ramailah kalangan ibu-ibu sekarang begitu suka mempamerkan status keibuan mereka. Kadang-kadang anak baru tumbuh gigi, baru nak merangkak dan bermacam-macam lagilah semuanya kalau boleh nak dimuatnaikkan ke laman sosial. Iyelah mungkin ramai yag nak ambil tahu agaknya. Jadi, tak hairanlah mengapa ibu muda tadi begitu nekad berselfie sambil menyusukan anak. Excitedlah katakan!

Untuk netizen, jangan keterlaluan untuk menegur silap orang. Jangan buat seolah-olah kita ni suci sesuci-sucinya. Setiap insan ada kelemahannya, tinggal lagi ditunjukkan atau tidak sahaja. Tak besar mana sangat pun salah si ibu muda tadi. Ada orang lain tu lebih teruk. Ada tu siap tayang perut bulat bagai tanpa dilapisi sehelai kain pun kononnya berbangga yang dia itu bakal menjadi seorang ibu. Tapi, bukankah itu aurat? Jadi, janganlah menghentam seseorang seolah-olah syurga dan nerekanya kita yang tentukan. Kita sendiri pun entah kemana nanti, kita pun tak tahu. Ada juga yang menegur dengan menitipkan pelbagai sabda dan firman bagai, sambil itu menghentam sehingga mengaibkan orang lain, kau rasa betul ke tu? Kalau bertauliah tu tak apalah juga tapi ni entah ustaz dari mana-mana asal boleh saja mahu menghentam orang seolah-olah dia lebih suci, aku kurang bersetuju!

Nak menegur seseorang yang tersilap langkah, bukan begini caranya. Bukan dengan cara memviralkan gambar-gambar atau bercerita mengenai seseorang sehingga mengaibkan dia. Bukankah seeloknya tegur sendiri secara personal. Melalui inbox pun boleh. Ibarat menrik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung pun tak berselerak. Jadi tiada siapalah yang malu. Bayangkan kalau gambar tidak elok kita sendiri yang diviralkan sedemikian, apa kita rasa? Kau rasa?

Aku harap, sama-samalah kita ambil iktibar. Kata orang, buang yang keruh, ambil yang jernih. Yang mana elok, kita contohi. Yang mana tidak, kita tolak ke tepi. Perkara yang remeh-temeh ni, tak perlulah diperbesar-besarkan sangat. Silap-silap haribulan, yang kau dok maki-maki masuk syurga, kau pula tak dapat apa, semua sebab dosa kau maki dia berbakul-bakul. Nilaikanlah sendiri.

No comments:

Post a Comment