Sunday, 10 January 2016

SURAT KIRIMAN



Semalam sempat aku menonton sebuah drama menarik berjudul Surat Untuk Bakal Isteriku lakonan Sariyanti dan Syukri Yahya. Aku semakin meminati lakonan Syukri Yahya dalam beberapa lakonan drama beliau sejak kebelakangan ini termasuklah drama bersiri berjudul Cik Cinderella Encik Tengku. Pada aku beliau ada karaktor tersendiri dalam menjayakan sesuatu watak terutamanya watak seorang lelaki romantik. Tapi entri kali ini bukanlah aku nak bercerita pasal beliau tapi memandangkan drama yang aku tonton tu judulnya mengenai surat, jadi aku pun ingin juga bercerita mengenai surat. Haha! Jangan tak percaya orang macam aku juga terima bermacam-macam surat dari peminat.

Kalau nak bercerita pasal surat misteri takdalah banyak mana yang aku dapat pun. Aku ni dulu-dulu gemar menulis. Bila dah siap, aku hantar karya aku ke akhbar-akhbar tabloid dan aku kepilkan sekali alamat lengkap aku di situ. Dari situlah puncanya beberapa peminat menghantar ucapan tahniah di atas karya aku selain ada juga yang berminat untuk berkenalan. Namun, dalam ramai-ramai, ada seorang yang kekal lama juga berutus surat dengan aku. Bertahun-tahun juga kami berutus surat. Sebulan sekali atau dua bulan sekali aku akan menerima surat kirimannya. Setiap kali menulis surat, tak kurang dari 3 muka surat. Bila bercerita, masing-masing meluahkan isi hati masing-masing sehinggalah terbit rasa kasih dan sayang antara kami. Aku anggap dia sebagai adik angkat aku begitu juga dengannya menganggap aku sebagai abangnya. Namun, dengan kedudukan kami yang tinggal berjauhan, hanya surat dan telefon sahajalah yang menjadi medan perhubungan. Perhubungan kami cuma dapat bertahan beberapa tahun sahaja sebelum berlaku salah faham sehinggalah kami terputus hubungan. Akhirnya aku dengar dia sudahpun mendirikan rumahtangga dengan insan pilihan hatinya. Aku hanya mampu redho dan berharap yang terbaik untuk dirinya sahaja serta berharap segala nasihat aku sebagai abang sebelum ini membawa manfaat untuk dirinya.

Selain daripada surat-surat dari peminat yang mengenaliku dari karyaku, aku juga pernah menerima sepucuk surat daripada seseorang sewaktu aku masih belajar di Tingkatan 6. Ketika itu aku dan rakan-rakan sepersatuanku sedang berkumpul di bilik mesyuarat bagi memulakan sebuah mesyuarat yang mana aku bertindak sebagai pengerusi persatuan. Tiba-tiba bilik mesyuarat kami diketuk oleh seorang pelajar perempuan dari kalangan junior kami. Dia memanggil nama aku walau tak mengenali pun siapa aku bagi menyampaikan sepucuk surat berserta hadiah berupa sekotak tisu. Katanya kiriman dari seseorang. Di atas surat tertera namaku manakala di bawahnya tertulis dari secret admirer. Aku terkejut. Serba salah juga aku dibuatnya. Nak terima atau nak reject? Kalau terima, pasti ada hati yang sakit. Kalau tidak pula, orang akan kata aku sombong. Mahu tak mahu, aku terima juga dan lekas-lekas aku masukkan ke bawah meja. Manalah aku tak takut sebab masa tu insan yang aku sayang ketika itu juga berada di dalam bilik mesyuarat yang sama. Walau aku diperli bagai oleh rakan-rakan sepersatuanku yang lain tapi aku sekadar berdiam diri sahaja. Sebaik selesai mesyuarat, aku pergi mendekati kekasih hatiku ketika itu untuk memujuk hatinya. Walaupun katanya dia tak apa-apa tapi kenalah juga aku pujuk. Dah pujuk pun kata-kata sindiran juga yang aku terima darinya. Aku telankan saja. Walaubagaiamanapun, surat dan hadiah tadi tidak aku buang. Suratnya tiada bernama cuma ingin menjelaskan perasaan pengirimnya terhadapku manakala tisu tadi, aku simpan. Sudah tidak bernama maknanya tak perlulah aku membalas surat itu lagi tapi berteka-teki jugalah aku siapa pengirimnya. Sampai sudah aku tak tahu siapa pengirimnya.

Inilah serba sedikit kenangan manis aku sewaktu dulu. Aku ni memang jenis suka melayan sesiapa sahaja yang ingin berkawan itupun jika bahasa mereka molek. Jika bahasa surat mereka entah apa-apa, malas juga aku nak layan. Bukan apa, aku tak mahu dicop sebagai sombong walaupun aku ni bukanlah bertaraf seperti selebriti. Tujuan aku bukanlah mahu berpoya-poya sebaliknya dengan kesempatan yang ada itu, aku titipkan juga kata-kata nasihat dan kata-kata motivasi buat sahabat-sahabat penaku ini. Kalaupun persahabatan tidak berpanjangan, mudah-mudahan aku berharap ada fungsi yang eloknya juga aku ni terhadap orang lain walaupun aku tahu, aku ni bukanlah sebaik mana.

Berbalik kepada drama Surat Untuk Bakal Isteriku tadi, aku puji dengan skrip dan jalan ceritanya. Masih ada lagi drama cinta yang menurut garis-garis syari’ah sebegini rupanya. Teringat pula aku dengan lirik-lirik lagu cinta kumpulan nasyid In-Team dan UNIC. Alhamdulillah. Mudah-mudahan ada lagi penerbitan drama-drama cinta yang sebegini di waktu-waktu akan datang.

No comments:

Post a Comment