Tuesday, 19 January 2016

IKAN SEBELAH

Ikan Sebelah (Gambar kredit: Wikipedia)

Ada satu hari tu aku ke pasar untuk membeli lauk-pauk dan barang-barang keperluan dapur bersama isteriku. Biasanya aku akan pusing satu pasar basah tu dulu sebelum aku mula membeli. Aku akan perhati harga, saiz dan kesegarannya sebelum aku membuat perbandingan yang mana berbaloi untuk dibeli. Aku tidaklah terlalu memilih. Keluargaku juga tidak terlalu memilih sangat soal lauk-pauk ni. Yang penting asal ada, mampu memikat selera dan kenyang je cukup. Biasanya memang mencari yang murah-murah sahaja tapi bagaimanapun lebih elok jika ianya masih segar. Kalau ada rezeki lebih, barulah merasa yang mahal dan sedap sedikit.

Pusing punya pusing, terpandang aku kepada satu gerai ni yang menjual ikan lidah atau ikan sebelah. Dah lama rasanya tak makan ikan ini. Kalau di pasar biasanya ada dua jenis ikan sebelah ni sama ada yang berekor seperti ikan biasa dan lagi satu berbentuk seperti lidah. Harganya memang boleh tahan sebab ikan ni jarang-jarang boleh dapat. Kerana teringin, aku beli juga sekilo.
Aku memang cukup suka ikan sebelah ni. Rasanya memang sedap. Biasanya ikan ni digoreng saja sebab bentuknya yang pipih terutama ikan lidah, nak dimasak berkuah macam kurang kena. Aku biasanya goreng garing-garing saja.

Sesampai di rumah, aku tak mengambil masa lama dan terus menyiang. Satu perkara yang aku kurang berminat, nak melayankan sisiknya tu. Sebab itu aku jarang membeli ikan-ikan bersisik seperti kerisi, gelama dan sebagainya ni. Ikan-ikan murah macam ni mana ada si penjual nak tolong siangkan tak seperti siakap dan kerapu. Walaubagaimanapun jenis ikan-ikan seperti kerisi dan gelama ni paling aku minat kalau masak lemak cili padi, memang sedap. Ikan sebelah tadi aku siang seekor demi seekor. Dalam pada aku menyiang, aku terfikir akan sejarah ikan dahulunya. Katanya ikan ini adalah ikan sisa Nabi Sulaiman. Katanya ikan ini tidak habis dimakan, lalu dibuang atau dilepaskan semula ke dalam air. Dengan izin Allah, ikan ini hidup semula. Inilah dia bukti kebesaran Allah. Memang kalau kita lihat ikan ini agak lain dari yang lain.

Aku terus berfikir dan berfikir mengenai kebesaran Allah ini. Sambil menyiang sambil itulah aku berfikir. Entah bagaimana, aku bertemu dengan suatu penemuan yang lebih menarik. Sebagaimana yang kita maklum bahawa Allah jadikan makhluknya berpasangan-pasangan lelaki dan perempuan, jantan dan betina, begitu juga ikan sebelah ini. Aku tak pastilah sama ada ramai yang maklum ataupun tidak malah aku sendiri pun buat kali pertama menyedarinya secara tidak sengaja. Ikan ini bukan sahaja dijadikan sebagai jantan dan betina, malah ikan sebelah ini juga diciptakan kiri dan kanan. Percaya tak?

Aku kalau menyiang ikan, sebelah sisi kanannya aku hadapkan ke atas supaya mudah untuk aku membelah perut ikan dengan pisau di tangan kananku. Ikan sebelah ini resmi kejadiannya pula sisi atas yang bermata berwarna gelap manakala sisi bawahnya agak cerah. Seekor demi seekor aku siang sampailah aku mendapati ada di antara ikan-ikan ini aku siang kejap sisi gelapnya di atas kejap sisi cerah pula di atas mengikut kedudukan mulut ikan. Aku pelik. Bukan semua ikan sebelah ni sama saja ke kejadiannya? Aku tak puas hati, aku belek balik ikan-ikan yang dah aku siang tadi. Masya-Allah Subhanallah, alangkah indahnya ciptaan tuhan. Aku berjaya menemukan sepasang ikan sebelah kiri dan kanan berdasarkan kedudukan matanya. Bagai boleh dicantum pula. Sungguh aku takjub dengan kebesaran Allah. Pertama kali selama hayatku baru kutahu ikan ini berpasang-pasang sebegini. Mungkin bagi para nelayan dan orang-orang yang lebih berpengatahuan mengenai hidupan akuatik sudah lama tahu akan hal ini, cuma aku sahaja yang kerdil yang baru maklum akan hal ini. Apapun, syukur aku dikurniakan pengetahuan yang baru hari itu.

Beginilah rupanya ikan sebelah yang aku maksudkan

Kesimpulannya, dalam kebanyakkan hal, kalau kita rajin berfikir dan merenung sesuatu, in shaa Allah kita mampu dikurniakan ilham. Banyak benda dalam dunia ni boleh kita pelajari. Dan setiap sesuatu yang kita pelajari itu, walaubagaimana mendalam sekalipun arifnya kita dalam sesuatu bidang itu, kalau kita rajin mencungkil lagi rahsia-rahsianya, tak mustahil kita mampu mempelajari hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik sesuatu kejadian itu. Kadang-kadang itulah yang lebih menginsafkan kita akan kebesaran Allah Subhanah Wataala yang menjadikan langit dan bumi dan segala kejadian yang tidak mampu dicipta oleh para makhluknya.


Begitu juga dalam kehidupan, setiap apa suatu perkara yang berlaku, sama ada baik atau buruk, segala-galanya ada hikmah disebaliknya. Tinggal lagi kita bersyukur atau tidak sahaja. Maklumlah dah nama pun manusia, diuji sedikit kita mula menggelabah. Kadang-kadang kita terlupa ada hikmah yang tersirat di sebalik musibah-musibah itu. Semuanya akan berbalik semula kepada pencipta asalnya, Allah yang esa. Dan yang pastinya ikan sebelah yang digoreng tadi memang sedap diratah dengan nasi panas. Alhamdulillah syukur nikmat.

2 comments: