Sepanjang harini, aku dilanda penyakit rindu. Segala-galanya jadi tak tenang buatku. Jiwa tak tenteram malah aku jadi hilang fokus apa yang patut lakukan hari ini. Segalanya serba tak kena. Segalanya jadi tak keruan.
Bila rindu, kepada siapa aku tak tahu nak mengadu. Aku pendam sahaja dalam hati. Aku bila merindu memang begitu. Perasaan aku tak mampu menipu. Disebabkan itu, segala-galanya menjadi serba tak kena.
Masa yang diambil bersama famili bersiar-siar juga seakan hambar. Walaupun zahirnya nampak gembira, namun masih ada ruang sepi di dalam hati. Beginilah dia rasanya betapa peritnya menanggung rindu.
Seusai mendirikan solat maghrib, sebaik selesai mengajar anak-anakku mengaji, aku cuba hiburkan hatiku. Aku ambil masa bersendirian di dalam bilik. Aku ambil kembali kitab Al-Quran anakku tadi dan selak lembaran indeks surah-surahnya. Dimulakan dengan surah Al-fatihah, aku sambung dengan bacaan surah Yasin. Aku tak memanjatkan doa apapun sekadar mengharapkan bacaan ini menjadi penawar ketenangan hati.
Baharu beberapa ayat kubacakan, tiba-tiba mengalir airmataku. Pudar ayat-ayat suci Al-Quran dari penglihatanku dengan genangan airmata yang berkaca di mataku. Dalam hati ini pelbagai rasa bercampur-baur baik rindu, resah, kesusahan dan bermacam-macam lagi. Apa lagi yang aku mampu? Hatiku memang lemah. Hatiku memang tak cukup kuat. Walau aku selalu membisikkan kata-kata kekuatan untuk insan-insan yang lain, namun bila tiba pada diri aku sendiri, aku sendiri tak mampu membisikkan kata-kata kekuatan buat diriku sendiri. Mungkin esok ataupun lusa ada jawapannya namun, saat ini yang aku dambakan hanyalah secebis ketenangan.
Malam ini, aku harapkan airmata itu mampu mengubat rinduku. Biarlah dia mengalir di tempat yang sepatutnya. Moga jadi penawar bagi rinduku dan mudah-mudahan jua menjadi doa yang indah-indah buat yang aku rindukan itu. In shaa Allah.
No comments:
Post a Comment