Monday, 15 February 2016

DONUTKU UNTUKNYA



Pagi tadi, sedang aku dalam perjalanan ke tempat kerja, sempat aku singgah di sebuah gerai sarapan pagi bagi membeli sedikit juadah sarapan termasuklah bekalan untuk tengahari. Menu aku simple-simple saja, cukup sekadar kuih-muih sebagai sarapan pagi dan sebungkus nasi lemak untuk tengahari. Ini pun belum tentu habis kalau aku terlupa untuk makan. Maklumlah sejak lewat kebelakangan ini, hati aku kurang tenang memikirkan banyak perkara jadi selera makan pun berkurangan. Lapar tu lapar tapi nafsu makan tu tidak seperti biasa.

Sewaktu aku membungkus beberapa keping kuih donut gula dan sebungkus nasi lemak, tiba-tiba datang seorang kakak yang sedikit berumur dari aku memerhati kuih-muih yang ada. Aku pun bayar kuih donut dan nasi lemak aku tadi. Sebelum beredar, aku terdengar kakak itu bertanyakan kuih donut sambil memegang beberapa keping duit seringgit di tangannya. Malangnya, kuih donut sudah habis dan akulah pelanggan terakhir yang membeli kuih-kuih donut yang tinggal tu. Aku perhatikan kakak itu, jelas hampa di raut wajahnya. Nasiblah, dalam hati aku berkata. Aku pun berlalu pergi. Kakak itu masih terpinga-pinga dalam kesibukan ramai pelanggan yang lain. Sombong betul aku.

Belumpun jauh aku melangkah, terdetik di hati aku, mengapa tidak aku berikan sahaja kuih donut yang aku baru beli itu kepadanya? Sayu pula hati aku melihatkan raut wajahnya yang hampa itu. Manalah tahu mungkin dia ingin belikan untuk anaknya? Rasa kesal pula dalam hati aku. Aku dilanda dilema sepintas lalu. Antara terus atau berpatah balik. Tiba-tiba, aku tak jadi meneruskan langkah, aku kembali semula ke gerai tadi menemui kakak itu.

“Kak, akak ambillah kuih ni,” sambil aku menyerahkan bungkusan kuih donut itu tadi.

“Eh! Takpalah!” katanya.

“Takpa, kak! Ambillah! Saya yang last beli tadi. Akak ambil jelah. Akak yang nak sangat tadi, kan?”

"Tapi ni awak punya. Awak beli tadi."

"Takpa, saya kasi akak."

Sambil tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada aku, aku pun melangkah pergi meneruskan tujuan ke tempat kerja.

Ya Allah! Dalam hati aku, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa girangnya hati aku. Dari seorang yang berwajah hampa, bertukar wajah menjadi ceria kakak itu. Alhamdulillah.

Aku ceritakan ini bukanlah kerana ingin menunjuk-nunjuk kebaikan aku, jauh sekali. Cuma, ingin aku kongsikan betapa gembiranya hati aku bila dapat menyempurnakan hasrat seseorang. Apa yang telah kubuat ini taklah sebesar mana. Aku percaya di luar sana masih ramai lagi insan-insan yang berjiwa besar. Apalah sangat setakat kuih donut itu, aku juga mungkin tak terhabis memakannya seorang. Lebih elok kalau aku berikan kepada kakak itu sahaja.

Sedikit perkara yang telah aku lakukan tadi setidak-tidaknya mampu mengubat sedikit rasa hati yang yang benar-benar mendambakan ketenangan. Tiada lain yang ingin aku ungkapkan rasa syukur dan terima kasihku hanya kepada Dia Yang Maha Esa kerana menggerakkan hati aku untuk merebut secebis rasa kebahagiaan dalam kehidupan sehari-harian. Terima kasih, ALLAH!


No comments:

Post a Comment