Kisah ini aku ceritakan kembali dari pengalaman seorang hamba Allah. Pernah suatu ketika hamba Allah ini memandu bersama isterinya pulang. Sebagaimana biasa dia memandu di sebatang jalan yang biasa dilalui dahulu namun mungkin oleh kerana sudah lama tidak melalui jalan itu, maka dia tidak sedar beberapa perubahan yang telah dilakukan. Entah bagaimana pada hari itu dia seolah-olah terperangkap dalam suatu operasi lalulintas pihak berkuasa. Kenderaannya telah ditahan oleh salah seorang pegawai penguatkuasa bertugas.
Lesen memandu pemandu berkenaan telah diminta oleh pegawai berkenaan. Pegawai berkenaan menjelaskan apakah kesalahan pemandu terbabit. Katanya, pemandu berkenaan telah melanggar garisan berkembar untuk memasuki simpang tempat dia ditahan. Pemandu itu berasa pelik. Bertahun-tahun dia melalui jalan itu, tak pernah pun dia ditahan tapi hari ini dia telah ditahan dan cuba disaman.
Pemandu itu jelas agak kurang senang. Dia benar-benar merasa seolah-olah dia sengaja diperangkap untuk membayar saman lalulintas. Dia juga tidak tahu jika dia telahpun melakukan kesalahan jalanraya. Setahunya mengikut undang-undang, pemandu adalah dilarang memotong di garisan berkembar tapi tak pernah pula dia tahu melanggar atau membuat pusingan U di garisan berkembar adalah salah malah tidak pernah diajar pun dalam silibus undang-undang jalanraya. Bukan dia seorang sahaja yang tak tahu malah ramai lagi pemandu lain juga tidak tahu-menahu. Jika tidak, masakan ramai pemandu yang membuat pusingan di situ andai mereka tahu ianya adalah suatu kesalahan? Pemandu itu memang benar-benar kurang berpuashati. Walaupun tidak berpuashati, dia tetap tidak menggunakan bahasa-bahasa kesat. Dia masih bertutur sopan tapi tegas.
Ketika dia ditahan dan bernegosiasasi panjang dengan pegawai terbabit, seorang lagi rakan pegawai itu cuba membantu untuk menerangkan keadaan sehingga menyebabkan lima hingga enam kenderaan terlepas begitu sahaja. Pemandu itu tetap tidak berganjak dengan pendiriannya walaupun menyedari tiada gunanya dia terus mempertahankan pendiriannya kerana dia tahu akhirnya saman tetap akan dikeluarkan ke atas dirinya. Saman pun samanlah, tahulah nanti dia menggunakan saluran tertentu untuk memprotes. Baginya ia sangat tidak wajar. Tiada papan tanda amaran yang memberi petunjuk larangan tapi akhirnya dia dikenakan saman, baginya memang tidak wajar. Walaubagaimanapun, pemandu itu sedar dimana pegawai-pegawai berkenaan hanyalah sekadar menjalankan tugas dan dia tetap menghormati tugas pegawai-pegawai berkenaan. Manalah tahu dengan cara itu dia akan terlepas atas budi bicara si pegawai. Dia pasrahkan sahaja kalau dia dikenakan saman sekalipun. Kalaulah dia tahu, sudah pastinya dia akan mengelak menggunakan laluan di situ. Apa nak buat?
Lama juga mereka berdebat. Lama-kelamaan, perdebatan mereka terhenti apabila si pegawai mula mengalah. Pegawai berkenaan akur dengan hujah-hujah pemandu ini. Bukan sahaja dilepaskan malah terlepas daripada disaman. Pemandu itu berterima kasih kepada pegawai berkenaan sebelum beredar. Lega hatinya kerana terlepas dari didenda yang mungkin mencecah ratusan ringgit atas kesalahan yang padanya tak masuk akal.
Semasa dia memandu pulang, dia percaya ini adalah rezeki dari tuhan. Puas dia berfikir apakah kebaikan yang mungkin pernah dia buat sebelum ini. Baharu dia teringat, dia pernah menyedekahkan sedikit sumbangan ikhlas untuk tabung kemanusiaan Palestin sebelum ini melalui pindahan terus dari akaun banknya. Bukan seringgit dua tapi jumlahnya agak besar walaupun baginya apalah sangat jika dinilai dengan kesedihan saudara-mara di bumi Gaza. Baharulah dia sedar itulah balasan Allah kembali terhadap dirinya. Dia teramat-amat bersyukur.
Dari ceritanya mengertilah aku, bahawa balasan Allah tu ada walaupun terkadang kita tak nampak. Dalam masa susah, mungkin masa itulah saat-saat bantuan-Nya tiba tanpa kita sedari. Oleh yang demikian, jangan terlalu berkira dalam membuat kebaikan. Tak kisahlah dari segi harta, masa dan segalanya walaupun dengan membetulkan kedudukan selipar orang lain yang terlempar ke sana ke mari dipijak-pijak pengunjung masjid. Mudah-mudahan kita berada dalam kalangan mereka yang rajin bersedekah ini in shaa Allah.
No comments:
Post a Comment