Pihak JAKIM sudah beberapa kali membuat penjelasan baik dari segi prosedur pengelasan halal, logo halal yang sah dan jenama-jenama yang disahkan halal. Begitupun masih ramai yang terkeliru dan tidak mendapat informasi yang sebenarnya. Malah apa yang lebih aku kesalkan bila ada sesatu pihak menyalahkan pihak JAKIM seolah-olah tidak melaksanakan tugas mereka dengan sempurna. Tak cukup dengan itu, pelbagai caci-makian dilemparkan. Aku tak faham betul dengan segelintir golongan inilah!
Aku selalu juga menerima sebaran maklumat menerusi laman Facebook dan di aplikasi Whatsapp tentang isu halal sesuatu produk itu. Asal ianya mengandungi bahan-bahan dengan kod bahan pengawet tertentu tertera di label bungkusan makanan berkenaan, maka produk makanan berkenaan dicop sebagai tidak halal dengan sewenang-wenangnya oleh penyebar-penyebar maklumat ini. Kerapkalilah aku terbaca di laman Facebook Sahabat Halal mengenai dakwaan beberapa sebaran palsu ini.
Memang betul kalau kita hendak berbelanja, kita kena pastikan status halal di label bungkusan sesuatu produk itu. Kita kena pastikan ada logo halal yang sah di situ. Selain itu, jika kita semak senarai bahan-bahan yang digunakan untuk penghasilan produk berkenaan dan tiba-tiba kita ternampak kod-kod bahan pengawet tertentu, kita tak perlulah terlalu bimbang selagi ianya sudah disahkan mendapat pengiktirafan halal JAKIM. JAKIM sudah menjelaskan sekiranya produk berkenaan menggunakan produk pengawet berkod tertentu, jika ianya sudah diiktiraf halal oleh JAKIM maka bahan pengawet berkenaan adalah bersumberkan dari tumbuh-tumbuhan dan bukannya dari sumber haiwan. Sebagai pengguna, kita tidak perlulah terlalu ragu jika produk-produk berkenaan mempunyai logo Halal JAKIM yang sah atau logo-logo Halal dari badan-badan pengiktirafan Halal luar negara yang diiktiraf JAKIM sekiranya produk itu diimport dari luar. Jangan bimbang, pihak JAKIM sudah menjaga kepentingan kita.
> klik sini garis-panduan/takrifan-halal <
> klik sini - badan-islam/badan-luar-negara-diiktiraf <
Untuk mendapatkan pengelasan dan pengesahan halal JAKIM bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai prosedur perlu dipatuhi bagi mendapatkan sijil halal JAKIM. Memang syarat JAKIM agak ketat. JAKIM bukan sekadar menerima dan membuat pengelasan produk dari sample yang mereka terima di makmal mereka sahaja, sebaliknya pegawai mereka juga turut meninjau premis pembuatan dan pengeluaran. Aku pernah bekerja di kilang pembuatan makanan ringan jadi aku tahu jugalah serba-sedikit mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi mendapat sijil halal ini. Sekecil-kecil perkara seperti penyediaan surau untuk pekerja Islam dan kebersihan tandas juga turut diambil-kira. Bayangkan betapa ketatnya kawalan halal mereka? Ada juga ada seorang rakan aku yang berkerja di sektor perhotelan. Dia juga menyatakan pelbagai perkara yang diambil-kira bagi mendapatkan pengelasan halal JAKIM untuk kafe hotel tempatnya bekerja. Syarat yang dikenakan begitu ketat. Sebarang lesen halal yang tidak diperbaharui maka sijil pengelasan halal mereka akan ditarik balik. Bayangkan, tray-tray telur ayam yang diletakkan di atas lantai sahaja pun boleh menjadi isu kegagalan mendapat pengelasan halal JAKIM. Jadi, bagaimana kau boleh memperlekehkan tugas JAKIM dalam menentukan pengelasan halal sesuatu produk mahupun sesebuah premis makanan?
Sebenarnya, sebagai rakyat Malaysia, kita cukup bertuah. Kita tidak perlu terlalu ragu mengenai status kehalalan sesuatu produk itu apatah lagi di zaman serba canggih ini segalanya terletak di hujung jari. Korang boleh semak status halal sesuatu produk atau premis makanan itu melalui direktori Halal pihak JAKIM. Sekali lagi ingin aku tekankan, pihak JAKIM sudahpun melakukan pemeriksaan Halal bagi pihak kita, jadi tak perlulah kita terlalu ragu dalam membuat pilihan. Walaubagaimanapun, jika sekiranya korang sangsi akan status halal sesuatu produk mahupun premis makanan tetapi tidak tertera di direktori Halal JAKIM, korang boleh berhubung terus dengan mereka. Tak perlulah korang nak viralkan satu dunia mengenai penemuan korang tu. Silap-silap haribulan, apa yang korang viralkan tu adalah fitnah semata-mata. Sekali lagi, jangan buat main-main dengan fitnah. Selidik terlebih dahulu.
> klik sini - direktori halal Jakim <
No comments:
Post a Comment