Thursday, 9 January 2020

Selipar Yang Hilang Sebuah Kemanisan

Setiap kali aku ke tandas atau ke surau mahupun ke masjid, aku merasakan selipar yang aku pakai tu dah kurang selesa. Nak aje aku tukar dengan yang lain. Sakit kaki aku bila pakai selipar tu. Tapi hari demi hari, itu jugalah selipar yang ada. Syukurlah masih ada selipar daripada aku terpaksa berkaki ayam.

Seusai je solat Jumaat harini, aku mula mencari selipar aku yang aku pasti selalu letakkan di situ. Sengaja aku letakkan jauh sikit supaya tak hilang hendaknya. Tapi tadi dah takde. Pusing-pusing keliling masjid juga mencari selipar aku tu tapi tak kelihatan pun jugak. Memandangkan aku ni menumpang kenderaan orang, aku tak tunggu lama, terus beransur dengan berkaki ayam sahaja ke keretanya.

Sedihlah juga selipar tu hilang, terpaksalah gantikan dengan yang lain tapi takdelah sedih sampai menangis, haha! Sikit pun aku tak menyesal. Aku tak anggap pun selipar tu bukan rezeki aku lagi. Aku muhasabah diri, panjangkan akal dan berfikiran positif sebanyak yang boleh. Alah selipar je pun yang hilang, bukan kaki aku yang hilang.

Aku nasihatkan diri aku, mungkin ada baiknya selipar itu hilang. pasti ada hikmahnya di mana-mana. Aku fikir lagi, mungkin inilah asbab untuk aku mencari selipar yang lain di mana selipar yang dah kurang selesa tadi kuanggap dah terwakaf sahaja di masjid itu. Bukan Al-Quran sahaja yang boleh diwakaf, selipar pun boleh diwakaf selagi mana ia membawa faedah kepada yang lain. Selagi ada yang sudi meminjam dan menggunakannya, selagi itulah aku mendapat pahalanya mudah-mudahan in shaa Allah. Lagi elok begitu berbanding aku buang sahaja ke dalam tong sampah, kan?

Sikitpun aku tak marah sesiapa yang dah mencilok selipar aku tu. Aku cuma anggap dia pinjam. Mudah-mudahan ada orang lain lagi yang sudi meminjam biarpun rasanya dah tak sedap nak dipakai lagi olehku! Alhamdulillah syukur sangat-sangat, ya Allah! Inilah sebuah kehilangan yang kuukirkan dengan senyuman yang tak henti-henti sejak tadi. Sebuah kehilangan yang manis.

Saturday, 3 November 2018

KUNCI PERODUA

Saban tahun pelbagai teknologi dicipta bagi kemudahan pengguna baik telekomunikasi, kejuruteraan dan pelbagai lagi. Kenderaan-kenderaan yang baharu semakin hari semakin dilengkapi dengan pelbagai kecanggihan termasuklah sistem sekuriti penggera keselamatan.

Sistem penggera keselamatan amat penting bagi mengurangkan risiko kecurian. Jikalau tiada sistem penggera keselamatan sekalipun, at least pasanglah steering lock, gear lock mahupun brake lock. Jika ada modal lebih sedikit, bolehlah pasang additional security sensor. Dengan adanya security sensor ini sedikit sebanyak dapat  mengurangkan lagi risiko kecurian.

Bagi kebanyakkan kenderaan jenis Perodua contohnya, tanpa disedari sebenarnya telahpun dilengkapi dengan ciri sensor penggera keselamatan walaupun masih menggunakan anak kunci. Ramai yang tidak menyedari.


Anak kunci dan remote control penggera keselamatan adalah sama penting. Remote control digunakan bagi mengunci pintu dan membunyikan alarm manakala anak kunci seperti di dalam gambar, tanpanya enjin tidak akan dapat dihidupkan. Memanglah tanpa anak kunci, enjin tidak dapat dihidupkan tetapi sistem sensor penggera keselamatan kenderaan juga terletak di dalam anak kunci berkenaan.

Sebenarnya, di dalam anak kunci jenis Perodua seperti dalam gambar di atas telahpun dilengkapi dengan cip sensor dan diselaputi dengan material getah. Ketiadaan cip ini, maka sensor pengkomputeran yang terbina di dalam panel dashboard kenderaan tidak dapat diaktifkan. Oleh yang demikian enjin dan sistem pengkomputeran kenderaan tidak dapat dihidupkan. Malah jika kita menggunakan anak kunci salinan yang bukan anak kunci pendua dibekalkan pengeluar sekalipun, enjin kenderaan juga tidak dapat dihidupkan hanya kerana ketiadaan cip sensor ini.

Langkah yang baik juga disarankan kepada pengguna supaya dapat menyelang-nyelikan penggunaan setiap anak kunci baik yang sedang digunakan mahupun kunci pendua. Ini sebagai langkah supaya cip sensor bagi setiap anak kunci dapat aktif dengan berkesan dengan pasangan sensor di dalam panel dashboard kenderaan.

Justeru, jagalah anak kunci baik-baik kerana jika hilang, keseluruhan sistem sensor kenderaan juga terpaksa digantikan atau dimatikan. Kos penggantian juga mencecah ribuan ringgit.

Tuesday, 20 March 2018

KEHILANGAN TIKET PARKING AEON MALL

Hal ni mungkin akan berlaku tanpa diduga. Begitu juga yang terjadi kepada aku. Kad parking AEON aku tiba-tiba hilang dari dalam poket. Puas aku mencari di serata laluan dalam mall berkenaan sebelum aku sedari tiket parking aku hilang tadi tapi tak juga berjumpa. Sampaikan tukang sapu, cleaner tandas sehingga ke pelayan restoran aku tanya kot-kot ada ternampak tiket parking aku yang tercicir namun hampa. Mahu tak mahu, terpaksalah aku bayar penalti kehilangan tiket parking berkenaan.

Bagi kehilangan tiket parking di AEON Mall, mudah saja urusannya walaupun aku bayangkan aku akan kena turun naik pejabat sebelum itu. Caranya, pergi sahaja ke Kaunter Informasi. Katakan yang tiket parking kita hilang. Kita akan diberikan sekeping borang untuk diisi. Antara butiran yang perlu diisi adalah butiran diri, butiran kenderaan, alamat kediaman dan nombor untuk dihubungi. Jadi, segala butiran ini perlu diingat betul-betul. Manalah tahu kalau kenderaan kita tu kenderaan pinjam atau disewa. Butiran ini semua perlu bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kecurian kenderaan.

Setelah borang berkenaan selesai diisi, bayaran penalti akan dikenakan sebanyak RM20. Penalti ini tidak boleh ditebus semula sekiranya kita menjumpai semula tiket yang hilang tadi. Jadi, sila pastikan tiket itu benar-benar tidak dijumpai sebelum membuat laporan kehilangan tiket parking. Seperkara lagi, laporan kehilangan tiket parking ini hanya perlu dibuat jika kita benar-benar berhasrat untuk meninggalkan mall berkenaan pada waktu berkenaan kerana had tempoh masa yang diberikan hanya 15 minit.

Selepas bayaran dibuat, borang dan tiket yang baharu akan diserahkan kepada pengawal keselamatan bertugas. Beliau akan mengiringi kita sampai ke kereta. Jadi di sini, adalah mustahak untuk kita mengingati lokasi sebenar kenderaan kita supaya masa yang diambil untuk kembali ke kenderaan tidak terlalu lama. Lebih elok jika kita mengambil gambar lokasi kenderaan kita diletakkan sebelum kita masuk ke dalam mall. Sesetengah pengawal keselamatan lebih peka terhadap warna cat zon kawasan berbanding nombor sahaja. Jadi, dengan mengambil gambar dan menunjukkan kepadanya adalah jalan terbaik.

Setelah tiba di kenderaan, pengawal keselamatan berkenaan akan membuat pengecaman kenderaan berdasarkan butiran yang diisikan di dalam borang tadi. Aku perasan juga pengawal tu meneliti cukai jalan, tak pasti pula untuk apa? Setelah beliau berpuas-hati, baharulah tiket baharu tadi diserahkan kepada kita bagi digunakan untuk keluar dari parking AEON Mall.

Moral of the story, sila simpan tiket parking di tempat yang betul-betul selamat dan tidak mudah tercicir. Dalam poket pun belum tentu selamat kerana kemungkinan tercicir tanpa disedari itu ada, mungkin terikut semasa mengeluarkan sesuatu dari poket, mungkin ketika di tandas dan mungkin juga ketika solat. Kadar bayaran penalti kehilangan tiket parking juga berbeza-beza mengikut jenis premis. Jadi, simpan tiket parking elok-elok.

Monday, 19 June 2017

BERAS DAN TELUR PALSU

Baru-baru ini tular mengenai beberapa sumber makanan yang dikatakan palsu. Ada banyak sebenarnya bahan makanan yang dipalsukan dan rata-ratanya dikatakan berasal dari Negara China. Aku ambil 2 sahaja jenis makanan yang penting dalam kehidupan kita iaitu beras dan telur.

Isu beras dan telur palsu sudah hebat diperkatakan semenjak 2-3 tahun lalu melalui video-video yang tular di media-media sosial dan lewat kebelakangan ini dan ramai yang mengatakan sumber-sumber makanan berkenaan sudah dibawa masuk ke Malaysia. Bukan orang lain sahaja, aku sendiri pun cuak bila memikirkan hal ni. Buatnya diri sendiri yang terkena kan susah! Sebab paling utama ia ditakuti adalah kerana makanan berkenaan boleh mendatangkan kesan mudarat kepada tubuh badan. Sudahlah statistik kanser di Malaysia ni makin hari makin bertambah apatah lagi bila makanan yang bukan-bukan ini sudah berlegar-legar di sekitar kita, pasti sukar untuk kita mengelak dari ditipu dan diperdaya.

Beberapa hari lepas, tular video nasi yang kononnya dimasak dari beras plastik jenama tempatan. Sudahlah begitu, jenama beras berkenaan adalah jenama yang sama di rumahku. Aduhai! Dah berapa banyak dah beras plastik yang aku sekeluarga dah termakan agaknya? Aku tahu bukan aku sahaja bimbang tapi ramai yang turut bimbang dengan situasi ini.

Bimbang tu bimbang juga tapi tak bolehlah kita percaya bulat-bulat dengan video berkenaan. Mungkin ia bertujuan khianat. Mungkin si pembuat video itu terlalu cetek pemikirannya sehingga mudah sangat membuat pertimbangan yang tidak wajar. Nasi dikepal-kepal dan kemudiannya dilontar bagai bola pingpong, kononnya mahu meyakinkan penonton bahawa itu merupakan nasi dari beras plastik.



Sebenarnyakan, petunjuk-petunjuk Allah dah banyak sebelum ini. Kalau kita amat-amati banyak perkara yang dicipta tuhan tu membawa fungsi dan hikmah yang tersendiri tinggal lagi kita mampu berfikir ataupun tidak sahaja. Kenapa aku berkata begini? Ada sedikit petua yang mungkin boleh diguna-pakai supaya kita tahu beras itu asli ataupun palsu. Apa dia? Ok, apa benda yang kita cukup tak suka terkandung dalam beras kita? Kau rasa???... Ya tepat!.. Kutu beras!.. Kau rasa beras plastik ada kutu beras ke? Entah mana datangnya, tiba-tiba ada je kutu dalam beras simpanan kita lebih-lebih lagi beras yang sudah lama atau lapuk maka beranak-pinaklah kutu-kutu beras tu. Maknanya beras tu beras asli! Faham kan? Inilah hikmahnya kenapa dijadikan kutu beras. Kutu beras tak makan beras plastik! Cuba kita renungkan. Allah tu Maha Tahu. Jika difikir-fikirkan lagi, kerajaan kita pun rasanya tidak mengimport beras dari China. Kebanyakkannya kita import dari Thailand. Jadi, perlukah kita ragu sangat?



Bagaimana pula dengan telur? Telur ayam agak sukar dibezakan antara yang asli mahupun palsu. Setakat ni aku belum pernah terjumpa lagi. Yelah, sebagaimana yang aku kata tadi, kita rasanya tidak mengimport telur ayam dari Negara China. Besar kot kosnya. Rasa-rasanya pasaran telur ayam di Malaysia dipelopori pengusaha-pengusaha tempatan. So, aku tak syak sangat. Tapi kalau kau memang jenis terlalu sangsi, apa kata kau tilik telur tu sebiji demi sebiji. Dalam sepapan telur, takkanlah tak ada sebiji dua telur yang diselaputi najis ayam? Kebiasaannya ada kan? Kalau ada yang terlekat najis, maka sahlah itu telur ayam yang asli. Mudah kan?

Moralnya, kita jangan terlalu cepat percaya dengan viral-viral di media-media sosial ini. Kadang-kadang faktanya telah diubah. Kita pun hendaklah jangan terlalu cepat panik sebaliknya berfikir dan mempertimbangkan dengan lebih rasional akan kesahihan sesuatu berita itu. Bukan tak boleh berwaspada tapi berpada-padalah. Maklumlah di penghujung-penghujung zaman ni, fitnah berlaku di mana-mana sahaja. Sedar tak sedar, silap haribulan kita sendiri pun terlibat dalam penyebaran fitnah berkenaan. Jangan main-main!

Saturday, 7 January 2017

MANDI

Mandi ni aku cakap kau, memang terlalu penting untuk kita. Aku sendiri pun paling kurang 2 kali sehari mandi. Adakalanya sampai 4-5 kali sehari kalau cuaca terlalu panas mahupun jika banyak melakukan banyak aktiviti outdoor, masuk rumah je mandi.



Mandi ni bukan setakat membersihkan diri tapi sebagai juga bentuk terapi untuk tubuh badan. Bagi aku sendiri, kalau aku terlalu penat, pening, rasa rengsa seluruh badan, mandi adalah salah satu cara merawat. Mandi pun kena dengan cara yang betul, bukan boleh main suka-suka siram. Bayangkan kau baru berjemur di tengah panas tiba-tiba kau siram kepala dengan air, gelas pun boleh pecah tau inikan pula kepala? Sebab itu kenapa orang tua-tua selalu menasihat kita jangan bermain hujan panas, inilah sebabnya!

Mandi yang elok bermula dari kaki. Selepas menyiram paras kaki sampai ke pinggang, baharulah siram bahagian tubuh badan. Bagi aku pula, selepas siram bahagian-bahagian anggota badan ini, aku akan sabun keseluruhan badan dulu dan yang terakhir sekali nanti baharulah aku basahkan kepala. Ini bertujuan supaya haba seluruh badan dapat dilepaskan sepenuhnya melalui liang-liang rambut sebelum bahagian kepala dibasahkan. Aku pernah juga main siram sahaja kepala tanpa menyiram bahagian lain terlebih dahulu.. nah kau!.. macam nak pecah kepala punya berdenyut. Begitu jugs mandi di jauh malam, ramai kata tak elok. Tapi bagi aku, selagi betul cara mandinya takda masalah bagi aku. Pernah juga aku mandi pukul 12 tengah malam semata-mata aku nak meredakan kepanasan selain ingin mendapatkan tidur yang berkualiti dan selesa. Tambahan pula, kalau kita belajar sains, manusia ni melepaskan sisa perkumuhan dari tubuh badan melalui dua sistem, pertama dari anggota sulit manakala yang kedua adalah melalui kulit badan iaitu peluh. Peluh tu adalah sisa perkumuhan badan. Jadi, bila sisa perkumuhan yang mengandungi pelbagai toksin buangan badan melekap di tubuh badan kau sekian lama, kau taknak singkirkan ke?

Aku pernah mendengar pendapat orang mengenai perbezaan mandi air sejuk dan air panas. Ada yang kata mandi air panas elok tapi tak kurang juga yang mengatakan mandi air sejuk lebih elok sebenarnya. Ada yang kata mandi air panas sekali-sekala elok untuk tubuh badan, katanya untuk merawat penyakit-penyakit tertentu, sebab tu ramai pasang hot shower di bilik air rumah masing-masing. Aku sendiri pun kadang-kadang ada masa-masanya memilih juga untuk mandi air panas tapi kebiasaannya aku lebih suka mandi air dingin biasa saja. Ada juga sesetengah pendapat lebih mengutamakan kelebihan mandi air sejuk ini lebih-lebih lagi di waktu pagi. Titis air sejuk yang jatuh ke permukaan kulit memberi seribu satu kebaikan untuk tubuh badan. Bila permukaan tubuh badan disiram dengan air dingin, sistem saraf akan menjadi lebih efektif. Isyarat akan disalurkan ke otak bagi mengenal pasti bahagian mana pada anggota badan yang bermasalah. Seterusnya otak akan menghantar misi menyelamat dan merawat bahagian bermasalah ini. Lihatlah betapa bagusnya mandi air dingin di waktu pagi. Tak hairanlah kenapa datuk nenek moyang kita dulu umur mereka rata-ratanya panjang dan sihat. Tambahan pula zaman dahulu sumber air mereka Tanya dari telaga, perigi, sungai dan air hujan. Bayangkan pagi-pagi dah mandi air telaga berapa punya sejuk? Sebab tu orang-orang zaman dulu lebih berani tak macam orang zaman sekarang yang terlebih manja sampai mandi pun takut nak mandi air sejuk. Hahaha! Tak kisahlah kot pada aku asalkan kau nak mandi dan singkirkan segala anasir tak elok dari tubuh badan kau tu. Mandilah wangi-wangi barulah orang lain selesa untuk mendekati.

Pernah tak kau dengar pantang larang orang-orang tua bila menziarahi jenazah? Orang-orang tua selalu pesan sekembalinya dari menziarahi lebih-lebih lagi jika sama menguruskan jenazah, tanggalkan pakaian di luar rumah dahulu dan terus mandi sebelum mendakap anak-anak yang masih bayi dan kecil. Faham-fahamlah apa yang mungkin akan mengikut kau balik sekembalinya dari tanah perkuburan tu. Kita mungkin tak nampak apa bendanya tapi pesan orang-orang tua ni adalah supaya kita lebih berhati-hati agar mudah-mudahan terhindar daripada gejala-gejala penyakit mistik. Arwah bapa aku juga selalu berpesan, balik saja dari mana-mana eloklah kau mandi dulu sebelum melakukan perkara-perkara seperti mendakap anak-anak kecil, setidak-tidaknya pun basuhlah muka tu dulu. Begitu juga kalau kau baru pulang dari kerja lebih-lebih lagi bila dah senja baru kau keluar dari pejabat, kau tak tahu apa benda makhluk halus yang mengikut kau balik ke rumah? Kalau kau tak mahu mandi, dengan makhluk-makhluk tu sekalilah ikut kau tidur. Lagi best, kau lupa terus waktu solat, tak suka ke makhluk-makhluk halus tu untuk terus berdamping dengan diri kau? Itulah dia betapa pentingnya mandi yang ramai orang kurang mengerti.

Dalam islam sendiri pun banyak juga menekankan soal mandi terutamanya selepas berhadas besar mahupun dianjurkan mandi sunat sebelum beribadah hatta bila seseorang anak adam itu mati sekalipun akan dimandikan. Jadi, betapa besarnya peranan mandi itu sendiri dalam kehidupan, betapa pentingnya mengekalkan kebersihan dalam kehidupan? Jadi, rajin-rajinlah mandi, tapi janganlah sampai membazir air pula ya!

Tuesday, 20 December 2016

HORMATI WAKTU REHAT

Aku percaya ramai di antara kita akan cukup merasa stress bekerja, kan? Mana ada kerja yang tidak stress? Baik dari segi mental mahupun fizikal, kita akan berasa penat setelah melakukan tugasan. Dah nama pun manusia kan? Alangkan robot pun kalau tak berhenti, boleh cepat rosak, inikan pula manusia? Sebab itulah kita perlukan waktu-waktu tertentu untuk berehat bukan sekadar merehatkan badan dan otak tapi juga untuk menyegarkan kembali fungsi-fungsi tubuh badan kita.


Jadi, apa yang korang buat pada waktu rehat? Sudah pastilah makan dan minum ye tak? Dah penat, perut lapar, tekak pun dahaga. Selepas sesi menyantap, mungkin ada di antara kita memanfaatkan waktu rehat dengan tidur sebentar. Ada juga yang suka melakukan aktiviti-aktiviti santai. Ada yang suka membelek akhbar dan majalah, ada yang membelek gajet, ada yang bermain game dan ada juga yang mengambil kesempatan menonton movie di komputer masing-masing terutamanya bagi yang bekerja di pejabat.



Tak kiralah apa juga yang ingin dilakukan, ianya perlu dihormati. Maksud aku, walaupun ini bukanlah masa berkualiti bekerja tapi ianya adalah masa berkualiti untuk diri masing-masing mencari ketenangan. Saat-saat beginilah yang begitu bermanfaat bagi seseorang dan tidak sepatutnya diganggu, kerana itulah aku kata ianya perlu dihormati. Berikut aku senaraikan beberapa etika menghormati hak masa berehat orang lain:-

1)    Paling kerap berlaku bila seseorang itu bersembang di telefon mahupun bersembang secara beramai-ramai, volume suara tu macam berbual dekat rumah sehingga mengganggu mereka yang ingin berehat dan tidur seketika. Apalah salah jika kau rendahkan sedikit volume suara tu? Ataupun, carilah tempat yang sesuai dan tidak mengganggu ketenteraman orang lain yang ingin berehat. Mungkin itu cara kau bersantai dan mencari ketenangan tapi mungkin menggangu ketenteraman orang lain.

2)    Waktu berehat gunakanlah untuk berehat. Walau sekritikal manapun kerja kau sehinggalah kau benar-benar terpaksa menggunakan waktu rehat bagi menghabiskan tugasan yang benar-benar urgent, jangan sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Misalnya penggunaan mesin printer dan fotostat, kalau boleh tunggulah sehingga waktu rehat selesai baharulah kau mulakan kembali urusan penggunaan mesin itu. Nak habiskan kerja di waktu rehat tu boleh, tiada siapa melarang tapi janganlah sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Kalau mesin berbunyi bising kau ingat orang lain boleh berehat dengan tenteram?

3)    Kalau di pejabat, antara langkah yang diambil adalah dengan mematikan lampu. Bukan sahaja mengambil langkah penjimatan tenaga sebaliknya juga dapat mewujudkan suasana lebih tenang. Walaubagaimanapun, jika engkau terlalu sibuk sekalipun, harap-harapnya janganlah menghalang orang lain menutup lampu pada waktu rehat. Kau tak boleh halang melainkan kau kerja seorang sahajaatau tiada orang lain di pejabat ketika itu. Pandai-pandai engkaulah nak buat kerja di dalam gelap. Kau tak boleh marah orang lain sebab itu bukan waktu bekerja!

4)    Jikalau kau seorang bos, usahlah mengganggu masa rehat staf kau. Itu adalah masa kualiti khas untuk mereka yang tidak kau bayar jika mereka lakukan lebihan kerja. Lagipun, jika kau ganggu masa rehat mereka, adakah kau akan mengizinkan mereka menggunakan waktu kerja untuk berehat selain daripada aktiviti makan minum? Boleh ke mereka nak tidur sebentar pada waktu bekerja? Tak boleh, kan? Jadi, lebih elok bertimbang-rasa terhadap staf bawahan. Peruntukan masa sejam berehat itu tidak wajar diganggu. Prihatinlah.

5)    Lanjutan penjelasan yang lebih kurang sama dengan no.4, jika kau seorang majikan, pengurus mahupun seorang wakil pihak client, bertoleransilah dengan peruntukkan masa rehat orang lain. Kalau boleh, elakkanlah mesyuarat yang berlarutan sehingga mengganggu masa rehat orang lain. Sebagai client juga kau perlu tahu makna efisyensi. Jika waktu rehat orang yang kau deal with pun kau langgar, lepas tu kau perlukan mereka efisyen dan menepati masa dalam banyak hal, adakah itu adil? Jika kau seorang pengurus mahupun seorang majikan, jika terdesak sekalipun sehingga memaksa kau menggunakan waktu rehat staf-staf kau atas beberapa urusan yang kau rasa terlalu penting, kau seharusnya rancang elok-elok supaya waktu rehat staf-staf kau tidak menjadi waktu yang memudaratkan mereka. Kalau kau rasa mereka perlu makan awal, berilah mereka masa makan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti ada yang mungkin jatuh pengsan, pening dan sebagainya kerana lewat makan tengahari. Itu tidak seharusnya berlaku. Amanahkan kepada seseorang untuk menjaga kebajikan staf-staf kau pada situasi kau memerlukan khidmat mereka melangkaui waktu rehat mereka.

6)    Begitu juga dengan pihak-pihak luar yang bersangkut-paut dengan syarikat kita, mereka juga harus menghormati waktu rehat orang lain. Janganlah masa orang nak berehat, kau sibuk-sibuk pula nak menghubungi menerusi telefon pejabat mereka. Kan bising dan menggangu tu! Jangan marah kalau tiada sesiapa yang akan menjawab panggilan kau sebab itu bukanlah waktu bekerja mereka. Kalau nak buat panggilan, buatlah dalam paras waktu selain pukul 12 tengahari sehingga ke 2 petang sebab inilah biasanya paras waktu-waktu rehat standard di kebanyakkan tempat.

7)    Satu lagi yang ingin aku sentuh khas pada hari Jumaat. Biasanya hari Jumaat pekerja diberikan 2 jam masa rehat bagi menunaikan solat Jumaat dan berehat. Secara tidak langsungnya waktu ini turut dinikmati oleh kaum wanita malah staf-staf yang bukan Islam. Mengapa tidak kaum wanita mahupun warga bukan Islam tadi memberi laluan kepada golongan muslimin lelaki untuk keluar dari tempat kerja terlebih dahulu kerana mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Ramai juga yang aku lihat sedang kaum Adam sibuk ingin keluar ke masjid, ketika itu jugalah kaum wanitanya turut menyibukkan keadaan untuk ke tempat-tempat lain seperti pergi makan atau pergi bershopping demi memanfaatkan tempoh masa rehat selama 2 jam yang diberikan syarikat. Prihatinlah sikit. Tapi tak semualah yang begini, segelintir sahaja.

Inilah dia antara beberapa perkara yang sering aku lihat boleh mengganggu ketenteraman orang lain untuk menikmati waktu berehat. Hormatilah masa berharga mereka. Walaupun syarikat menggajikan mereka untuk bekerja akan tetapi mereka tidak dibayar untuk menampung stress berlebihan. Sedangkan peralatan mesin jentera sekalipun kau jaga seelok-eloknya agak tidak mudah rosak sebab nak pakai lama, inikan pula manusia? Walaubagaimanapun, apa yang aku utarakan ini lebih menjurus kepada situasi pekerjaan yang sekadar diberi rehat satu jam pada waktu tengahari, tidak termasuk situasi pekerjaan yang diberi banyak keistimewaan waktu rehat sehingga 2-3 kali sehari. Korang tentu faham sektor mana yang aku maksudkan, kan? Bukan aku bersikap pilih kasih akan tetapi beginilah lumrahnya kami yang bekerja di sektor swasta.

Waktu rehat, kita rehat. Manfaatkan nilai masa yang diberikan sebaik-baiknya kerana dengan penggunaan masa rehat yang betul untuk berehat dapat meningkatkan prestasi dalam kerja. Bila prestasi dipertingkat, kualiti terpelihara, produktiviti pun cemerlang.

Thursday, 15 December 2016

BERBISNES KITA??


Dalam kelangsungan masyarakat mencari nafkah bagi meneruskan kelangsungan hidup, pelbagai kerja yang mereka lakukan. Ramai yang sekadar bekerja makan gaji tapi tak kurang juga yang menceburi dunia perniagaan malah ramai juga menjadikan perniagaan sebagai mencari pendapatan sampingan tak kiralah bisnes MLM mahupun bisnes sendiri secara online. Tak cukup duit belanja katanya.



Image credit : combiboilersleeds.com


Aku puji mereka yang kuat berusaha membina kerjaya dalam bisnes ini bagi meningkatkan pendapatan mereka. Ini adalah lebih baik dariapada orang-orang yang asyik saja merungut tak cukup itu dan tak cukup ini semata-mata serta balik-balik menyalahkan sesetengah pihak contohnya pihak pemerintah. Ada saja yang tak kena. Ada saja nak dipolitikkan. Alah, tak payah nak cakap orang, sebenarnya aku pun tidak terkecuali juga tergolong dari kalangan mereka yang suka menyalahkan pihak-pihak tertentu ini. Sama sahaja. Kadang-kadang terdetik juga di hati mengata orang. Iyalah aku pun takdalah sebaik mana sangat cumanya, berpada-padalah.

Berbalik kepada cerita berbisnes tadi, aku sendiri pun adakalanya memang terlintas juga untuk memulakan bisnes. Idea tu dah ada cuma aku merasakan belum ada masa yang sesuai untuk memulakan. Bukan apa, bukannya aku tak mahu berubah mentaliti seperti mentaliti orang-orang yang aktif berbisnes ni. Aku puji aspirasi, inspirasi, motivasi dan apa-apa si nya lagi mereka ini tinggal lagi sebenarnya aku mahu terus fokus dengan kerjaya sekarang dan famili terlebih dahulu. Pada aku, setakat ini pendapatan aku dan isteri masih lagi mencukupi dan mampu menanggung keperluan kami sekeluarga, justeru aku tak mahulah terburu-buru membuat pekerjaan sampingan semata-mata nak cari duit lebih. Pada fikiran aku, aku lebih risau jika aku tidak punya masa untuk menguruskan rumahtangga lagi. Iyalah, aku jika di rumah bukanlah duduk goyang kaki sahaja, banyak tugasan sebenarnya yang menanti. Siapa nak memasak, nak menyidai baju, nak menguruskan hal-ehwal sekolah anak, homework mereka, pelajaran mereka, ajar mengaji Al-Quran dan macam-macam lagi? Siapa lagi yang nak buat kalau aku dah terlalu sibuk nak menguruskan pekerjaan atau perniagaan sampingan? Penat pun satu hal. Aku bimbang tanggungjawab aku terhadap keluarga terabai semata-mata nak mencari duit lebih. Ya aku faham, orang akan kata ini hanyalah alasan. Mungkin bagi mereka yang aktif berbisnes ini pasti menempelak pendapat dan mentaliti aku yang mundur ini. Takpa, terserahlah pada pandangan masing-masing.


Aku bukan kata aku tak suka berbisnes langsung. Aku juga sendiri pun pernah terlibat banyak kali dalam aktiviti bisnes baik di sekolah mahupun selepas sekolah. Aku juga tahu sedikit-sebanyak asas-asas dalam peniagaan. Jadi, takdalah kata aku tak berminat langsung! Walaubagaimanapun terus-terang, aku tidak berminat dengan bisnes MLM. Aku bukan nak merendah-rendahkan sesiapa yang ingin menceburi bidang MLM. Aku pun tak melarang. Sesiapa yang nak menyertai bisnes berkenaan, silakan selagi kau ada keyakinan usaha itu mampu untuk bawa kau pergi lebih jauh. Tidak bagi aku sebab aku tahu sejauh mana kemampuan aku dalam bidang itu.


Sebenarnya, dalam dunia bisnes ni aku lebih suka jika menjual produk yang boleh memberi manfaat dan benar-benar mencakupi keperluan orang lain. Harganya pula biarlah reasonable. Pendek kata, tak membebankan. Pada pengamatan aku, harga kebanyakkan produk bisnes MLM ni bukanlah harga pokok sebenar produk akan tetapi sudah merangkumi di dalamnya keuntungan-keuntungan pihak itu dan pihak ini secara berperingkat-peringkat. Baik keuntungan upline yang dah duduk goyang kaki mahupun downline yang bertungkus-lumus, semua dah dikira. Itu belum lagi mereka yang menjual bukan dengan harga ahli. Nak ikutkan boleh dapat beberapa ringgit seunit tapi disebabkan ia diniagakan di bawah program MLM, boleh jadi mencecah puluhan dan ratusan ringgit! Aku kurang bersetuju. Produknya pula, maaf kata, bukanlah seratus-peratus keperluan rutin orang ramai. Akan tetapi, produk-produk inilah yang sering diperbesar-besarkan kehebatannya, dijanjikan kelebihan itu dan ini sehingga mempengaruhi orang ramai untuk mendapatkan walhal penghujung natijahnya nanti, ia mungkin bukanlah pembelian yang berbaloi. Produk supplement contohnya, sebahagiannya bukanlah keperluan untuk dimasukkan ke dalam badan kita tapi disebabkan dibuai dengan bayangan yang indah-indah, pengguna terpengaruh. Lihat sajalah lagi pelbagai promo jualan produk di luar sana, contohnya produk merawat kanser. Penghidap kanser beriya-iya mendapatkan dan sanggup membiaya kos tinggi tapi penghujungnya nanti, hasilnya tidak seperti diharapkan. Tapi tak semualah. Tak semua yang sebegini, selintir bisnes MLM sahaja. Aku tahu dan aku pasti, ramai yang kecam aku. Ya aku faham, kita perlu berikhtiar dalam mencari penawar penyakit tak kira apa jua keadaan. Tapi bagaimana pula dengan harapan mereka? Aku tak berapa berkenan dengan janji-janji produk sebegitu. Membayangkan harapan tapi harapan itu kelak akan tinggal terus menjadi harapan.


Dari sudut lain pula, mereka yang berkecimpung di dalam dunia perniagaan seumpama ini dijanjikan dengan pelbagai habuan insentif lumayan seperti hadiah itu dan ini jika sales menepati atau melebihi sasaran. Mahu tak mahu, si penjual beriya-iya meningkatkan usaha, meningkatkan promosi demi mencari pelanggan dan menjanjikan dengan pelbagai harapan serta membayangkan betapa hebatnya produk jualan mereka yang tiada tandingannya kepada para bakal pengguna. Yang bukan perlu akan menjadi begitu perlu semata-mata kau ingin mencapai target jualan. Jadi kesimpulannya kau berniaga untuk achieve target semata-mata ke? Dan oleh sebab itu kau taburkan pelbagai janji yang belum tentu terbukti kebenarannya kepada para pembeli?


Nak berbisnes pada akulah, biarlah produk tu benar-benar memberi manfaat dan bukan janji-janji kosong belaka. Nak berbisnes MLM ni pun tak salah. Berbisneslah selagi mampu. Cumanya, perbetulkanlah nawaitu itu. Janganlah tetapkan target untuk mencari kekayaan semata-mata. Aku tak suka orang berbisnes semata-mata untuk jadi kaya-raya sebab adakalanya bila nawaitu ditetapkan sedemikian, si peniaga ini mula lupa terma-terma yang seharusnya ada dalam sesebuah perniagaan. Ada juga yang akan lupa pada unsur riba’ dan berniaga tanpa etika yang sepatutnya. Semuanya asal boleh sahaja dan mampu menjana keuntungan berlipat kali ganda. Contoh lain yang boleh aku bagi, bisnes makanan. Kau promosikan cukup hebat dan cantik di media-media sosial seolah-olah ianya begitu istimewa tapi natijahnya indah khabar dari rupa. Tak menipu namanya? Apa yang pernah aku belajar dalam subjek Mu’amalat di sekolah agama dulu, dalam urusan jual-beli ni, pelbagai syarat yang ditetapkan. Syarat-syarat jual-beli ini sebenarnya demi mendapatkan persetujuan bersama dan mewujudkan keredhoan antara pembeli dan penjual serta berlandaskan syariah. Pembelian juga mestilah bermanfaat. Pembeli ada hak untuk tidak ditipu. Jika pembeli tidak berpuashati dengan barang yang dibelinya tadi akan tetapi tidak boleh dikembalikan kepada penjual, apakah wujudnya redho di antara kedua-duanya itu? Kau sebagai penjual juga sudah semestinya berkeras tidak mahu rugi juga, kan? Tapi, adakah kau fikir pelanggan suka dan redho dengan produk yang kau jual?


Kesimpulannya, nak berniaga usahlah berjanji-janji bulan bintang. Memanglah Rasulullah sendiri menganjurkan supaya umatnya berniaga, tapi baginda tak pernah menyuruh berjanji-janji kosong. Baginda juga mengamalkan melebihkan melebihkan sukatan dalam timbangan. Jadi dalam ertikata lain, baginda tidak memberatkan soal untung semata-mata tapi baginda menekankan soal keberkatan dalam perniagaan dan memberi manfaat kepada pihak yang membeli. Adakah ini yang menjadi panduan kita selama ini? Berniaga perlu telus, amanah dan adil. Janganlah hanya kerana ingin mengejar keuntungan dunia, kita lupa balasan di akhirat nanti sekiranya kita curang dalam perniagaan. 


Maaflah kalau kata-kata aku mengguris di kalbu. Aku cuma menyatakan pendapat aku. Tak semuanya yang aku kata ini betul pada segelintir peniaga. Mungkin terdapat percanggahan. Justeru, aku memohon maaf. Namun, apa yang aku utarakan sebenarnya adalah supaya berpadalah dalam kebanyakkan hal. Semoga apa yang dilakukan membawa keberkatan dunia dan akhirat in shaa Allah.