Tuesday, 20 December 2016

HORMATI WAKTU REHAT

Aku percaya ramai di antara kita akan cukup merasa stress bekerja, kan? Mana ada kerja yang tidak stress? Baik dari segi mental mahupun fizikal, kita akan berasa penat setelah melakukan tugasan. Dah nama pun manusia kan? Alangkan robot pun kalau tak berhenti, boleh cepat rosak, inikan pula manusia? Sebab itulah kita perlukan waktu-waktu tertentu untuk berehat bukan sekadar merehatkan badan dan otak tapi juga untuk menyegarkan kembali fungsi-fungsi tubuh badan kita.


Jadi, apa yang korang buat pada waktu rehat? Sudah pastilah makan dan minum ye tak? Dah penat, perut lapar, tekak pun dahaga. Selepas sesi menyantap, mungkin ada di antara kita memanfaatkan waktu rehat dengan tidur sebentar. Ada juga yang suka melakukan aktiviti-aktiviti santai. Ada yang suka membelek akhbar dan majalah, ada yang membelek gajet, ada yang bermain game dan ada juga yang mengambil kesempatan menonton movie di komputer masing-masing terutamanya bagi yang bekerja di pejabat.



Tak kiralah apa juga yang ingin dilakukan, ianya perlu dihormati. Maksud aku, walaupun ini bukanlah masa berkualiti bekerja tapi ianya adalah masa berkualiti untuk diri masing-masing mencari ketenangan. Saat-saat beginilah yang begitu bermanfaat bagi seseorang dan tidak sepatutnya diganggu, kerana itulah aku kata ianya perlu dihormati. Berikut aku senaraikan beberapa etika menghormati hak masa berehat orang lain:-

1)    Paling kerap berlaku bila seseorang itu bersembang di telefon mahupun bersembang secara beramai-ramai, volume suara tu macam berbual dekat rumah sehingga mengganggu mereka yang ingin berehat dan tidur seketika. Apalah salah jika kau rendahkan sedikit volume suara tu? Ataupun, carilah tempat yang sesuai dan tidak mengganggu ketenteraman orang lain yang ingin berehat. Mungkin itu cara kau bersantai dan mencari ketenangan tapi mungkin menggangu ketenteraman orang lain.

2)    Waktu berehat gunakanlah untuk berehat. Walau sekritikal manapun kerja kau sehinggalah kau benar-benar terpaksa menggunakan waktu rehat bagi menghabiskan tugasan yang benar-benar urgent, jangan sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Misalnya penggunaan mesin printer dan fotostat, kalau boleh tunggulah sehingga waktu rehat selesai baharulah kau mulakan kembali urusan penggunaan mesin itu. Nak habiskan kerja di waktu rehat tu boleh, tiada siapa melarang tapi janganlah sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Kalau mesin berbunyi bising kau ingat orang lain boleh berehat dengan tenteram?

3)    Kalau di pejabat, antara langkah yang diambil adalah dengan mematikan lampu. Bukan sahaja mengambil langkah penjimatan tenaga sebaliknya juga dapat mewujudkan suasana lebih tenang. Walaubagaimanapun, jika engkau terlalu sibuk sekalipun, harap-harapnya janganlah menghalang orang lain menutup lampu pada waktu rehat. Kau tak boleh halang melainkan kau kerja seorang sahajaatau tiada orang lain di pejabat ketika itu. Pandai-pandai engkaulah nak buat kerja di dalam gelap. Kau tak boleh marah orang lain sebab itu bukan waktu bekerja!

4)    Jikalau kau seorang bos, usahlah mengganggu masa rehat staf kau. Itu adalah masa kualiti khas untuk mereka yang tidak kau bayar jika mereka lakukan lebihan kerja. Lagipun, jika kau ganggu masa rehat mereka, adakah kau akan mengizinkan mereka menggunakan waktu kerja untuk berehat selain daripada aktiviti makan minum? Boleh ke mereka nak tidur sebentar pada waktu bekerja? Tak boleh, kan? Jadi, lebih elok bertimbang-rasa terhadap staf bawahan. Peruntukan masa sejam berehat itu tidak wajar diganggu. Prihatinlah.

5)    Lanjutan penjelasan yang lebih kurang sama dengan no.4, jika kau seorang majikan, pengurus mahupun seorang wakil pihak client, bertoleransilah dengan peruntukkan masa rehat orang lain. Kalau boleh, elakkanlah mesyuarat yang berlarutan sehingga mengganggu masa rehat orang lain. Sebagai client juga kau perlu tahu makna efisyensi. Jika waktu rehat orang yang kau deal with pun kau langgar, lepas tu kau perlukan mereka efisyen dan menepati masa dalam banyak hal, adakah itu adil? Jika kau seorang pengurus mahupun seorang majikan, jika terdesak sekalipun sehingga memaksa kau menggunakan waktu rehat staf-staf kau atas beberapa urusan yang kau rasa terlalu penting, kau seharusnya rancang elok-elok supaya waktu rehat staf-staf kau tidak menjadi waktu yang memudaratkan mereka. Kalau kau rasa mereka perlu makan awal, berilah mereka masa makan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti ada yang mungkin jatuh pengsan, pening dan sebagainya kerana lewat makan tengahari. Itu tidak seharusnya berlaku. Amanahkan kepada seseorang untuk menjaga kebajikan staf-staf kau pada situasi kau memerlukan khidmat mereka melangkaui waktu rehat mereka.

6)    Begitu juga dengan pihak-pihak luar yang bersangkut-paut dengan syarikat kita, mereka juga harus menghormati waktu rehat orang lain. Janganlah masa orang nak berehat, kau sibuk-sibuk pula nak menghubungi menerusi telefon pejabat mereka. Kan bising dan menggangu tu! Jangan marah kalau tiada sesiapa yang akan menjawab panggilan kau sebab itu bukanlah waktu bekerja mereka. Kalau nak buat panggilan, buatlah dalam paras waktu selain pukul 12 tengahari sehingga ke 2 petang sebab inilah biasanya paras waktu-waktu rehat standard di kebanyakkan tempat.

7)    Satu lagi yang ingin aku sentuh khas pada hari Jumaat. Biasanya hari Jumaat pekerja diberikan 2 jam masa rehat bagi menunaikan solat Jumaat dan berehat. Secara tidak langsungnya waktu ini turut dinikmati oleh kaum wanita malah staf-staf yang bukan Islam. Mengapa tidak kaum wanita mahupun warga bukan Islam tadi memberi laluan kepada golongan muslimin lelaki untuk keluar dari tempat kerja terlebih dahulu kerana mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Ramai juga yang aku lihat sedang kaum Adam sibuk ingin keluar ke masjid, ketika itu jugalah kaum wanitanya turut menyibukkan keadaan untuk ke tempat-tempat lain seperti pergi makan atau pergi bershopping demi memanfaatkan tempoh masa rehat selama 2 jam yang diberikan syarikat. Prihatinlah sikit. Tapi tak semualah yang begini, segelintir sahaja.

Inilah dia antara beberapa perkara yang sering aku lihat boleh mengganggu ketenteraman orang lain untuk menikmati waktu berehat. Hormatilah masa berharga mereka. Walaupun syarikat menggajikan mereka untuk bekerja akan tetapi mereka tidak dibayar untuk menampung stress berlebihan. Sedangkan peralatan mesin jentera sekalipun kau jaga seelok-eloknya agak tidak mudah rosak sebab nak pakai lama, inikan pula manusia? Walaubagaimanapun, apa yang aku utarakan ini lebih menjurus kepada situasi pekerjaan yang sekadar diberi rehat satu jam pada waktu tengahari, tidak termasuk situasi pekerjaan yang diberi banyak keistimewaan waktu rehat sehingga 2-3 kali sehari. Korang tentu faham sektor mana yang aku maksudkan, kan? Bukan aku bersikap pilih kasih akan tetapi beginilah lumrahnya kami yang bekerja di sektor swasta.

Waktu rehat, kita rehat. Manfaatkan nilai masa yang diberikan sebaik-baiknya kerana dengan penggunaan masa rehat yang betul untuk berehat dapat meningkatkan prestasi dalam kerja. Bila prestasi dipertingkat, kualiti terpelihara, produktiviti pun cemerlang.

No comments:

Post a Comment