Thursday, 15 December 2016

BERBISNES KITA??


Dalam kelangsungan masyarakat mencari nafkah bagi meneruskan kelangsungan hidup, pelbagai kerja yang mereka lakukan. Ramai yang sekadar bekerja makan gaji tapi tak kurang juga yang menceburi dunia perniagaan malah ramai juga menjadikan perniagaan sebagai mencari pendapatan sampingan tak kiralah bisnes MLM mahupun bisnes sendiri secara online. Tak cukup duit belanja katanya.



Image credit : combiboilersleeds.com


Aku puji mereka yang kuat berusaha membina kerjaya dalam bisnes ini bagi meningkatkan pendapatan mereka. Ini adalah lebih baik dariapada orang-orang yang asyik saja merungut tak cukup itu dan tak cukup ini semata-mata serta balik-balik menyalahkan sesetengah pihak contohnya pihak pemerintah. Ada saja yang tak kena. Ada saja nak dipolitikkan. Alah, tak payah nak cakap orang, sebenarnya aku pun tidak terkecuali juga tergolong dari kalangan mereka yang suka menyalahkan pihak-pihak tertentu ini. Sama sahaja. Kadang-kadang terdetik juga di hati mengata orang. Iyalah aku pun takdalah sebaik mana sangat cumanya, berpada-padalah.

Berbalik kepada cerita berbisnes tadi, aku sendiri pun adakalanya memang terlintas juga untuk memulakan bisnes. Idea tu dah ada cuma aku merasakan belum ada masa yang sesuai untuk memulakan. Bukan apa, bukannya aku tak mahu berubah mentaliti seperti mentaliti orang-orang yang aktif berbisnes ni. Aku puji aspirasi, inspirasi, motivasi dan apa-apa si nya lagi mereka ini tinggal lagi sebenarnya aku mahu terus fokus dengan kerjaya sekarang dan famili terlebih dahulu. Pada aku, setakat ini pendapatan aku dan isteri masih lagi mencukupi dan mampu menanggung keperluan kami sekeluarga, justeru aku tak mahulah terburu-buru membuat pekerjaan sampingan semata-mata nak cari duit lebih. Pada fikiran aku, aku lebih risau jika aku tidak punya masa untuk menguruskan rumahtangga lagi. Iyalah, aku jika di rumah bukanlah duduk goyang kaki sahaja, banyak tugasan sebenarnya yang menanti. Siapa nak memasak, nak menyidai baju, nak menguruskan hal-ehwal sekolah anak, homework mereka, pelajaran mereka, ajar mengaji Al-Quran dan macam-macam lagi? Siapa lagi yang nak buat kalau aku dah terlalu sibuk nak menguruskan pekerjaan atau perniagaan sampingan? Penat pun satu hal. Aku bimbang tanggungjawab aku terhadap keluarga terabai semata-mata nak mencari duit lebih. Ya aku faham, orang akan kata ini hanyalah alasan. Mungkin bagi mereka yang aktif berbisnes ini pasti menempelak pendapat dan mentaliti aku yang mundur ini. Takpa, terserahlah pada pandangan masing-masing.


Aku bukan kata aku tak suka berbisnes langsung. Aku juga sendiri pun pernah terlibat banyak kali dalam aktiviti bisnes baik di sekolah mahupun selepas sekolah. Aku juga tahu sedikit-sebanyak asas-asas dalam peniagaan. Jadi, takdalah kata aku tak berminat langsung! Walaubagaimanapun terus-terang, aku tidak berminat dengan bisnes MLM. Aku bukan nak merendah-rendahkan sesiapa yang ingin menceburi bidang MLM. Aku pun tak melarang. Sesiapa yang nak menyertai bisnes berkenaan, silakan selagi kau ada keyakinan usaha itu mampu untuk bawa kau pergi lebih jauh. Tidak bagi aku sebab aku tahu sejauh mana kemampuan aku dalam bidang itu.


Sebenarnya, dalam dunia bisnes ni aku lebih suka jika menjual produk yang boleh memberi manfaat dan benar-benar mencakupi keperluan orang lain. Harganya pula biarlah reasonable. Pendek kata, tak membebankan. Pada pengamatan aku, harga kebanyakkan produk bisnes MLM ni bukanlah harga pokok sebenar produk akan tetapi sudah merangkumi di dalamnya keuntungan-keuntungan pihak itu dan pihak ini secara berperingkat-peringkat. Baik keuntungan upline yang dah duduk goyang kaki mahupun downline yang bertungkus-lumus, semua dah dikira. Itu belum lagi mereka yang menjual bukan dengan harga ahli. Nak ikutkan boleh dapat beberapa ringgit seunit tapi disebabkan ia diniagakan di bawah program MLM, boleh jadi mencecah puluhan dan ratusan ringgit! Aku kurang bersetuju. Produknya pula, maaf kata, bukanlah seratus-peratus keperluan rutin orang ramai. Akan tetapi, produk-produk inilah yang sering diperbesar-besarkan kehebatannya, dijanjikan kelebihan itu dan ini sehingga mempengaruhi orang ramai untuk mendapatkan walhal penghujung natijahnya nanti, ia mungkin bukanlah pembelian yang berbaloi. Produk supplement contohnya, sebahagiannya bukanlah keperluan untuk dimasukkan ke dalam badan kita tapi disebabkan dibuai dengan bayangan yang indah-indah, pengguna terpengaruh. Lihat sajalah lagi pelbagai promo jualan produk di luar sana, contohnya produk merawat kanser. Penghidap kanser beriya-iya mendapatkan dan sanggup membiaya kos tinggi tapi penghujungnya nanti, hasilnya tidak seperti diharapkan. Tapi tak semualah. Tak semua yang sebegini, selintir bisnes MLM sahaja. Aku tahu dan aku pasti, ramai yang kecam aku. Ya aku faham, kita perlu berikhtiar dalam mencari penawar penyakit tak kira apa jua keadaan. Tapi bagaimana pula dengan harapan mereka? Aku tak berapa berkenan dengan janji-janji produk sebegitu. Membayangkan harapan tapi harapan itu kelak akan tinggal terus menjadi harapan.


Dari sudut lain pula, mereka yang berkecimpung di dalam dunia perniagaan seumpama ini dijanjikan dengan pelbagai habuan insentif lumayan seperti hadiah itu dan ini jika sales menepati atau melebihi sasaran. Mahu tak mahu, si penjual beriya-iya meningkatkan usaha, meningkatkan promosi demi mencari pelanggan dan menjanjikan dengan pelbagai harapan serta membayangkan betapa hebatnya produk jualan mereka yang tiada tandingannya kepada para bakal pengguna. Yang bukan perlu akan menjadi begitu perlu semata-mata kau ingin mencapai target jualan. Jadi kesimpulannya kau berniaga untuk achieve target semata-mata ke? Dan oleh sebab itu kau taburkan pelbagai janji yang belum tentu terbukti kebenarannya kepada para pembeli?


Nak berbisnes pada akulah, biarlah produk tu benar-benar memberi manfaat dan bukan janji-janji kosong belaka. Nak berbisnes MLM ni pun tak salah. Berbisneslah selagi mampu. Cumanya, perbetulkanlah nawaitu itu. Janganlah tetapkan target untuk mencari kekayaan semata-mata. Aku tak suka orang berbisnes semata-mata untuk jadi kaya-raya sebab adakalanya bila nawaitu ditetapkan sedemikian, si peniaga ini mula lupa terma-terma yang seharusnya ada dalam sesebuah perniagaan. Ada juga yang akan lupa pada unsur riba’ dan berniaga tanpa etika yang sepatutnya. Semuanya asal boleh sahaja dan mampu menjana keuntungan berlipat kali ganda. Contoh lain yang boleh aku bagi, bisnes makanan. Kau promosikan cukup hebat dan cantik di media-media sosial seolah-olah ianya begitu istimewa tapi natijahnya indah khabar dari rupa. Tak menipu namanya? Apa yang pernah aku belajar dalam subjek Mu’amalat di sekolah agama dulu, dalam urusan jual-beli ni, pelbagai syarat yang ditetapkan. Syarat-syarat jual-beli ini sebenarnya demi mendapatkan persetujuan bersama dan mewujudkan keredhoan antara pembeli dan penjual serta berlandaskan syariah. Pembelian juga mestilah bermanfaat. Pembeli ada hak untuk tidak ditipu. Jika pembeli tidak berpuashati dengan barang yang dibelinya tadi akan tetapi tidak boleh dikembalikan kepada penjual, apakah wujudnya redho di antara kedua-duanya itu? Kau sebagai penjual juga sudah semestinya berkeras tidak mahu rugi juga, kan? Tapi, adakah kau fikir pelanggan suka dan redho dengan produk yang kau jual?


Kesimpulannya, nak berniaga usahlah berjanji-janji bulan bintang. Memanglah Rasulullah sendiri menganjurkan supaya umatnya berniaga, tapi baginda tak pernah menyuruh berjanji-janji kosong. Baginda juga mengamalkan melebihkan melebihkan sukatan dalam timbangan. Jadi dalam ertikata lain, baginda tidak memberatkan soal untung semata-mata tapi baginda menekankan soal keberkatan dalam perniagaan dan memberi manfaat kepada pihak yang membeli. Adakah ini yang menjadi panduan kita selama ini? Berniaga perlu telus, amanah dan adil. Janganlah hanya kerana ingin mengejar keuntungan dunia, kita lupa balasan di akhirat nanti sekiranya kita curang dalam perniagaan. 


Maaflah kalau kata-kata aku mengguris di kalbu. Aku cuma menyatakan pendapat aku. Tak semuanya yang aku kata ini betul pada segelintir peniaga. Mungkin terdapat percanggahan. Justeru, aku memohon maaf. Namun, apa yang aku utarakan sebenarnya adalah supaya berpadalah dalam kebanyakkan hal. Semoga apa yang dilakukan membawa keberkatan dunia dan akhirat in shaa Allah.

No comments:

Post a Comment