Thursday, 9 January 2020

Selipar Yang Hilang Sebuah Kemanisan

Setiap kali aku ke tandas atau ke surau mahupun ke masjid, aku merasakan selipar yang aku pakai tu dah kurang selesa. Nak aje aku tukar dengan yang lain. Sakit kaki aku bila pakai selipar tu. Tapi hari demi hari, itu jugalah selipar yang ada. Syukurlah masih ada selipar daripada aku terpaksa berkaki ayam.

Seusai je solat Jumaat harini, aku mula mencari selipar aku yang aku pasti selalu letakkan di situ. Sengaja aku letakkan jauh sikit supaya tak hilang hendaknya. Tapi tadi dah takde. Pusing-pusing keliling masjid juga mencari selipar aku tu tapi tak kelihatan pun jugak. Memandangkan aku ni menumpang kenderaan orang, aku tak tunggu lama, terus beransur dengan berkaki ayam sahaja ke keretanya.

Sedihlah juga selipar tu hilang, terpaksalah gantikan dengan yang lain tapi takdelah sedih sampai menangis, haha! Sikit pun aku tak menyesal. Aku tak anggap pun selipar tu bukan rezeki aku lagi. Aku muhasabah diri, panjangkan akal dan berfikiran positif sebanyak yang boleh. Alah selipar je pun yang hilang, bukan kaki aku yang hilang.

Aku nasihatkan diri aku, mungkin ada baiknya selipar itu hilang. pasti ada hikmahnya di mana-mana. Aku fikir lagi, mungkin inilah asbab untuk aku mencari selipar yang lain di mana selipar yang dah kurang selesa tadi kuanggap dah terwakaf sahaja di masjid itu. Bukan Al-Quran sahaja yang boleh diwakaf, selipar pun boleh diwakaf selagi mana ia membawa faedah kepada yang lain. Selagi ada yang sudi meminjam dan menggunakannya, selagi itulah aku mendapat pahalanya mudah-mudahan in shaa Allah. Lagi elok begitu berbanding aku buang sahaja ke dalam tong sampah, kan?

Sikitpun aku tak marah sesiapa yang dah mencilok selipar aku tu. Aku cuma anggap dia pinjam. Mudah-mudahan ada orang lain lagi yang sudi meminjam biarpun rasanya dah tak sedap nak dipakai lagi olehku! Alhamdulillah syukur sangat-sangat, ya Allah! Inilah sebuah kehilangan yang kuukirkan dengan senyuman yang tak henti-henti sejak tadi. Sebuah kehilangan yang manis.

No comments:

Post a Comment