Ikan Sebelah (Gambar kredit: Wikipedia)
Ada satu hari tu
aku ke pasar untuk membeli lauk-pauk dan barang-barang keperluan dapur bersama
isteriku. Biasanya aku akan pusing satu pasar basah tu dulu sebelum aku mula
membeli. Aku akan perhati harga, saiz dan kesegarannya sebelum aku membuat
perbandingan yang mana berbaloi untuk dibeli. Aku tidaklah terlalu memilih.
Keluargaku juga tidak terlalu memilih sangat soal lauk-pauk ni. Yang penting
asal ada, mampu memikat selera dan kenyang je cukup. Biasanya memang mencari
yang murah-murah sahaja tapi bagaimanapun lebih elok jika ianya masih segar.
Kalau ada rezeki lebih, barulah merasa yang mahal dan sedap sedikit.
Pusing punya
pusing, terpandang aku kepada satu gerai ni yang menjual ikan lidah atau ikan
sebelah. Dah lama rasanya tak makan ikan ini. Kalau di pasar biasanya ada dua
jenis ikan sebelah ni sama ada yang berekor seperti ikan biasa dan lagi satu
berbentuk seperti lidah. Harganya memang boleh tahan sebab ikan ni
jarang-jarang boleh dapat. Kerana teringin, aku beli juga sekilo.
Aku memang cukup
suka ikan sebelah ni. Rasanya memang sedap. Biasanya ikan ni digoreng saja
sebab bentuknya yang pipih terutama ikan lidah, nak dimasak berkuah macam
kurang kena. Aku biasanya goreng garing-garing saja.
Sesampai di
rumah, aku tak mengambil masa lama dan terus menyiang. Satu perkara yang aku
kurang berminat, nak melayankan sisiknya tu. Sebab itu aku jarang membeli
ikan-ikan bersisik seperti kerisi, gelama dan sebagainya ni. Ikan-ikan murah
macam ni mana ada si penjual nak tolong siangkan tak seperti siakap dan kerapu.
Walaubagaimanapun jenis ikan-ikan seperti kerisi dan gelama ni paling aku minat
kalau masak lemak cili padi, memang sedap. Ikan sebelah tadi aku siang seekor
demi seekor. Dalam pada aku menyiang, aku terfikir akan sejarah ikan dahulunya.
Katanya ikan ini adalah ikan sisa Nabi Sulaiman. Katanya ikan ini tidak habis
dimakan, lalu dibuang atau dilepaskan semula ke dalam air. Dengan izin Allah,
ikan ini hidup semula. Inilah dia bukti kebesaran Allah. Memang kalau kita
lihat ikan ini agak lain dari yang lain.
Aku terus
berfikir dan berfikir mengenai kebesaran Allah ini. Sambil menyiang sambil
itulah aku berfikir. Entah bagaimana, aku bertemu dengan suatu penemuan yang
lebih menarik. Sebagaimana yang kita maklum bahawa Allah jadikan makhluknya
berpasangan-pasangan lelaki dan perempuan, jantan dan betina, begitu juga ikan
sebelah ini. Aku tak pastilah sama ada ramai yang maklum ataupun tidak malah
aku sendiri pun buat kali pertama menyedarinya secara tidak sengaja. Ikan ini
bukan sahaja dijadikan sebagai jantan dan betina, malah ikan sebelah ini juga
diciptakan kiri dan kanan. Percaya tak?
Aku kalau
menyiang ikan, sebelah sisi kanannya aku hadapkan ke atas supaya mudah untuk
aku membelah perut ikan dengan pisau di tangan kananku. Ikan sebelah ini resmi
kejadiannya pula sisi atas yang bermata berwarna gelap manakala sisi bawahnya
agak cerah. Seekor demi seekor aku siang sampailah aku mendapati ada di antara
ikan-ikan ini aku siang kejap sisi gelapnya di atas kejap sisi cerah pula di
atas mengikut kedudukan mulut ikan. Aku pelik. Bukan semua ikan sebelah ni sama
saja ke kejadiannya? Aku tak puas hati, aku belek balik ikan-ikan yang dah aku
siang tadi. Masya-Allah Subhanallah, alangkah indahnya ciptaan tuhan. Aku
berjaya menemukan sepasang ikan sebelah kiri dan kanan berdasarkan kedudukan
matanya. Bagai boleh dicantum pula. Sungguh aku takjub dengan kebesaran Allah.
Pertama kali selama hayatku baru kutahu ikan ini berpasang-pasang sebegini.
Mungkin bagi para nelayan dan orang-orang yang lebih berpengatahuan mengenai hidupan
akuatik sudah lama tahu akan hal ini, cuma aku sahaja yang kerdil yang baru
maklum akan hal ini. Apapun, syukur aku dikurniakan pengetahuan yang baru hari
itu.
Kesimpulannya,
dalam kebanyakkan hal, kalau kita rajin berfikir dan merenung sesuatu, in shaa
Allah kita mampu dikurniakan ilham. Banyak benda dalam dunia ni boleh kita
pelajari. Dan setiap sesuatu yang kita pelajari itu, walaubagaimana mendalam
sekalipun arifnya kita dalam sesuatu bidang itu, kalau kita rajin mencungkil
lagi rahsia-rahsianya, tak mustahil kita mampu mempelajari hikmah yang tersurat
dan tersirat di sebalik sesuatu kejadian itu. Kadang-kadang itulah yang lebih
menginsafkan kita akan kebesaran Allah Subhanah Wataala yang menjadikan langit
dan bumi dan segala kejadian yang tidak mampu dicipta oleh para makhluknya.
Begitu juga dalam
kehidupan, setiap apa suatu perkara yang berlaku, sama ada baik atau buruk,
segala-galanya ada hikmah disebaliknya. Tinggal lagi kita bersyukur atau tidak
sahaja. Maklumlah dah nama pun manusia, diuji sedikit kita mula menggelabah.
Kadang-kadang kita terlupa ada hikmah yang tersirat di sebalik musibah-musibah
itu. Semuanya akan berbalik semula kepada pencipta asalnya, Allah yang esa. Dan
yang pastinya ikan sebelah yang digoreng tadi memang sedap diratah dengan nasi
panas. Alhamdulillah syukur nikmat.