Wednesday, 11 November 2015

ROKOK DAN VAPE

Harini gempar di dada sebuah akhbar tempatan apabila seorang pengguna vape terpaksa menerima beberapa jahitan dikatakan gara-gara akibat peralatan vapenya meletup. Ngeri bila aku tengok gambarnya. Aku tak baca habis cuma membaca sepintas lalu saja. Jadi aku tak pastilah apa punca sebenarnya berlaku sedemikian?


Aku pun malas nak ambil tahu pasal vape ni sebab aku tak merokok. Aku cukup tak suka baik rokok mahupun vape. Hidung aku cukup sensitif dengan asap-asap ni. Apa yang best sangat dengan rokok atau vape ni pun aku tak tahu. Pernah juga dulu-dulu aku cuba-cuba menghisap lebihan puntung rokok arwah bapak aku, sekali hisap aku terus tersedak. Aku cari air dan minum sepuas-puasnya. Tapi walaupun dah minum, terasa asap tu masih terperangkap dalam dada aku. Terus aku serik. Tak sedap langsung pun!


Dalam banyak-banyak benda dalam dunia ni, ketagihan apa yang paling susah nak diubati? Kalau kau kata dadah, kau salah. Dadah tu dah tentu-tentu dihukumkan haram. Ramai yang tahu, ramai yang tak mahu mencuba malah penagih-penagih dadah sendiri pun mengakuinya haram. Ada juga menyesal terjebak. Tapi kalau kau tanya kepada perokok-perokok dan pengguna vape, walaupun sudah difatwakan haram, mereka tetap mempertahankannya sebagai tidak haram, malah mereka memutar-belitkan fakta itu dengan fakta yang lain yang tiada kena-mengena, sampai macam tu sekali kan? Ingat lagi bila isu coklat yang dikatakan ada DNA babi tu dulu, ramai yang meluahkan kekesalan mereka yang teramat sangat walaupun sekarang ianya sudah disahkan tiada kandungan DNA babi seperti didakwa, masih ramai lagi yang memboikot. Berbeza pula dengan rokok mahupun vape, kau katalah ulamak mana yang memfatwakan ianya haram sekalipun, jika dikatakan ada kandungan DNA babi sekalipun tetap perokok-perokok dan pengguna vape ini akan mempertahankan ‘kesucian’ rokok dan vape mereka. sedaya upaya mereka mencari nas-nas untuk mengharuskan perbuatan tersebut. Nak cakap macamana lagi?


Aku tak kisah kalau kau nak merokok atau menghisap vape sekalipun, mudaratnya nanti kau sendiri yang tanggung. Tapi apa yang aku geram kalau perokok-perokok atau penghisap-penghisap vape ni mengheret orang lain yang tidak merokok dan menghisap vape ini untuk sama-sama menghirup asap yang dibebaskan tu. Itu yang aku tak boleh nak terima. Aku memang cukup tak faham atau mereka inikah yang tak faham bahasa sebenarnya? Bukankah kerajaan sudah menetapkan peraturan supaya tidak boleh merokok di tempat-tempat awam dan tempat-tempat lain yang sudah ditetapkan? Tapi masih ada juga yang degil. Tak keterlaluan jika aku katakan sama degil macam jin juga. Jin tu makanannya kan memang asap. Memang kena sangatlah tu.

Aku juga selalu terkena jika memasuki tandas-tandas awam baik di luar mahupun di pejabat, tandas berbau asap rokok. Sudahnya, pakaian aku pun turut berbau asap sebaik sahaja aku keluar dari tandas. Aku rasa macam nak tumbuk saja orang yang merokok dalam tandas tu walhal sudah banyak signage larangan merokok dipasang di dalam tandas. Tak cukup dengan itu, aku print poster besar-besar dan ditampal di pintu tandas pun tetap ada yang berdegil. Nak buat macamana lagi? Kau tak sakit hati ke?



Macam-macam kempen sudah dibuat. Tak cukup dengan itu, gambar-gambar kesan akibat rokok juga menghiasi kotak-kotak rokok, tapi tetap tidak memberi kesan dan pengajaran. Dari segi harga pula, boleh kata tiap-tiap tahun harga rokok dinaikkan malah sudah mencecah belasan ringgit, gilalah dah sampai boleh beli tiga pinggan nasi ayam penyet, itupun tetap ramai yang akan membeli rokok. Sesetengahnya pula beranggapan tak apa kalau tak makan nasi janji rokok mesti ada. Yang lebih kelakar, ada juga umat Islam berbuka puasa dengan merokok, macam tak masuk akal.


Aku baru terikir, ramai yang mengeluh bila harga rokok dinaikkan. Rata-ratanya ramai yang menyalahkan kerajaan. Dan setiap kali kerajaan menaikkan harga rokok, alasan kerajaan adalah untuk mengurangkan jumlah perokok tegar dalam negara, maka setiap kali itu jugalah para perokok mengutuk kerajaan. Wahai perokok tegar sekalian, apa kata aku cadangkan kat korang, kalau korang marah sangat kerajaan merembat duit korang melalui cukai rokok, apa kata kalau korang berhenti saja membeli? Jika korang berhenti membeli, maka tak dapatlah kerajaan mengutip cukai rokok korang tu! Korang kena konsisten dan bersungguh-sungguh membenci kerajaan yang mengutip duit cukai rokok korang tu. Korang jangan biar kerajaan sewenang-wenangnya mengutip cukai rokok tu. Biar mereka rugi berjuta-juta malah berbilion-bilion. Duit korang pun selamat dari terpaksa membayar cukai kerajaan melalui rokok korang sambil korang pun sudah jimat banyak dari langkah berhenti membeli rokok. Jadi, bagaimana?

Ramai juga perokok yang dulunya tegar kini sudah berhenti merokok. Tahniah aku ucapkan. Ada juga seorang bekas perokok pernah bercerita pengalamannya kepada aku betapa dia cekalkan hati dengan mengenepikan duit belanja rokoknya masuk ke sebuah tabung. Hasilnya dalam setahun, dia mampu membawa keluarganya pergi makan angin ke Langkawi dengan duit belanja rokok yang dikumpulkannya tadi. Itu juga sebagai simbolik meraikan kejayaannya berhenti membeli dan berhenti merokok. Dia juga menyedari kesihatannya juga bertambah baik setelah berhenti merokok. Bukankah lebih baik macamni? Nilah kata orang, nak seribu daya, taknak seribu dalih.


Kepada para perokok mahupun pengguna vape, aku harap kalau korang tak mahu berhenti merokok sekalipun, hormatilah perasaan orang-orang lain di sekeliling. Jangan libatkan kami jika korang sendiri yang ingin mencari penyakit. Nak ditegur kau melenting, tak ditegur kau tak faham perasaan orang lain. Lagi satu hormatilah jua perasaan kami sebagai ibu bapa yang ada anak-anak. Kami tak mahu anak-anak kami mengambil contoh dari kalian. Kalau contoh yang baik tu bagus juga tapi kalau vape ni kau rasa contoh yang bagus ke? Kau sendiri tahu jawapannya, kan? Jadi, menerusi penulisan ini, aku harap kau memahami.

No comments:

Post a Comment