Beberapa hari lepas aku ada mendengar siaran sebuah stesen radio kegemaran aku. Aku suka dengan keletah juruhebah radio berkenaan yang suka berjenaka walaupun mereka bukanlah pak lawak yang sebenar. Walau stress dalam kesesakan tapi oleh kerana keletah mereka, stress tu berkurangan.
Nak jadi cerita, pagi itu sedang aku memandu ke tempat kerja bersama isteri aku, kami terdengarlah ada seorang tetamu khas diundang ke konti. Rupa-rupanya ia rentetan daripada topik Bos Aku Hensem/Cantik sebelum ini. Maka, pihak penerbitan radio berkenaan telah mengundang seorang doktor yang disifatkan cukup hensem ke konti mereka bagi ditemuramah. Hensem sangat ke dalam hati aku berkata. Jadi, aku pun mencapai telefon bimbit aku dan masa itu jugalah aku buka laman instagram stesen radio berkenaan.
Setelah aku buka, memang benarlah bagai dikata. Agak kacak jugalah doktor yang dimaksudkan. Kemudian aku hulurkan telefon aku kepada isteriku. Dia juga teruja dengan kehenseman doktor berkenaan. Aku terus mendengarkan keletah si juruhebah yang bertugas. Aku tahu mereka bukanlah berniat apa-apa, sekadar lebih kepada bergurau senda dan menceriakan suasana pagi.
Disebabkan doktor hensem berkenaan yang keudara maka berduyun-duyunlah pemanggil yang membuat panggilan dari kalangan kaum wanita. Maka ramai jugalah yang cuba-cuba memikat hati doktor berkenaan tapi sungguh kasihan bila diumumkan doktor berkenaan sudah pun mendirikan rumahtangga. Hahaha! Kesian kesian kesian! Walaupun begitu, ada juga yang sukarela merelakan diri mereka mengisi kuota kedua isteri doktor berkenaan. Pening otak aku sekejap. Hahaha! Sekali lagi, kesian kesian kesian! Bagi mereka yang kecewa tu, anggap sajalah sebagai tiada rezeki dan tiada jodoh. Bukan dia seorang sahaja yang hensem di dunia ini, ramai lagi lelaki yang hensem, aku pun boleh tahan hensem juga.
Dalam pada aku tersenyum dan bergelak dengan segmen radio berkenaan, ada jugalah serba sedikit rasa terkilan di dalam hati aku. Mana tak terkilannya? Dari kalangan mereka kebanyakkannya terdiri dari golongan wanita Islam akan tetapi bagai tidak menunjukkan ciri-ciri Islam itu. yang aku maksudkan adalah kalangan ibu mengandung.
Aku faham akan situasi. Aku juga tahu kelainan perwatakan bagi seseorang wanita mengandung. Kadangkala banyak permintaan yang bukan-bukan keluar dari mulut mereka. Kalau tidak diikutkan, susah juga. Aku juga faham yang kehadiran doktor yang baik salah satu faktor yang boleh meredakan tekanan buat ibu yang sedang melalui saat-saat bersalin, sebagaimana seorang doktor gigi yang menenangkan pesakit giginya, begitu juga dengan doktor bersalin, perlu bijak bermain dengan psikologi. Walaubagaimanapun, apa yang membuat aku terkilan apabila ramai yang terang-terangan menginginkan perkhidmatan doktor hensem berkenaan untuk menyambut kelahiran bayi mereka. Kau bayangkan kalau isteri yang tak pernah menayangkan kehormatannya untuk orang lain tetapi dengan tiba-tiba merelakan dirinya ditatap doktor berkenaan sewaktu bersalin hanya gara-gara beliau hensem, kau tak marah ke? Ini bukan lagi kes darurat ketiadaan doktor wanita tapi ini permintaan khas tau! Kau sanggup ke sebagai suami? Aku pun tak sanggup. Aku memang cukup rasa terkilan. Aku tak dapat bayangkan kalau kehormatan isteri aku dilihat oleh lelaki lain.
Aku bukan nak berhujah sangat soal agama. Tapi ini soal maruah. Bukan sekadar maruah isteri tapi maruah suami terbabit sama. Sebagai suami seboleh-bolehnya kita mengharapkan kehormatan isteri terpelihara dari pandangan mata lelaki lain. Bukan sahaja kehormatan, aurat yang boleh terlihat dari susuk bentuk tubuh badan juga seharusnya dijaga dari pandangan orang lain. Dan dalam soal ini aku lebih mahukan doktor wanita yang berkhidmat sebagai pakar sakit puan mahupun doktor yang menyambut kelahiran bayi. Aku kurang bersetuju jika kelahiran bayi isteriku disambut oleh doktor lelaki. Sebolehnya aku cuba elakkan walaupun kadang-kadang aku terpaksa memahami situasi.
Berbalik kepada cerita pemanggil wanita yang mahukan doktor hensem berkenaan menyambut kelahiran bayinya, rentetan daripada peristiwa ini maka ramailah juga yang mengutuk pemanggil-pemanggil ini malah komen-komen netizen yang berbau lebih kurang macam ini juga turut menjadi bahan kutukan. Pada aku, kalau kau nak kutuk, itu terpulang kepada kau, tapi janganlah kau gunakan istilah-istilah yang tidak baik, seperti sundal dan sebagainya. Janganlah kau menghakimi orang lain seolah-olah dosanya tidak akan diampun lagi. Kau siapa? Kau tahu apa pasal hal alam perkahwinan? Kau tahu apa pasal perubahan perwatakan wanita mengandung? Kau dah berkahwin ke? Jaga sikit bahasa kau. Dan lagi satu, tak perlulah kau screen capture lepas tu kau pamerkan ke khalayak umum komen-komen netizen yang kau bengangkan tadi tu. Kau cerita kat status kau sahaja sudahlah, tak payahlah nak kepilkan gambar merujuk kepada individu-individu tertentu sebagai bukti. Bukankah cara kau itu nanti lebih mengaibkan mereka? Kau rasa tindakan kau tu betul tapi sebaliknya salah malah tindakan kau lebih teruk daripada orang yang kau buat contoh tadi tu. Jangan main-main!
Pada akulah, mungkin apa yang berlaku ini sekadar gurauan semata-mata, baik pihak juruhebah, penerbit, tetamu konti, para pemanggil dan netizen-netizen yang memberi komen di laman sosial. Aku pasti pihak penerbitan tak pernah terfikir hal-hal sebegini akan terjadi dan bukan salah mereka. Begitu juga dengan reaksi spontan pemanggil, janganlah kita cepat menjatuhkan hukuman kepada mereka. Dan buat masyarakat pemanggil radio dan netizen semua, berhati-hatilah dalam segala tindak-tanduk kita. Apa yang dututur dan ditulis seharusnya lebih bertapis dan tidak menyinggung perasaan orang lain. Walaubagaimanapun, kita pandanglah ini sebagai iktibar untuk hari-hari yang akan datang supaya tidak berlaku lagi.
No comments:
Post a Comment