Aku percaya ramai di antara kita akan cukup merasa stress bekerja, kan? Mana ada kerja yang tidak stress? Baik dari segi mental mahupun fizikal, kita akan berasa penat setelah melakukan tugasan. Dah nama pun manusia kan? Alangkan robot pun kalau tak berhenti, boleh cepat rosak, inikan pula manusia? Sebab itulah kita perlukan waktu-waktu tertentu untuk berehat bukan sekadar merehatkan badan dan otak tapi juga untuk menyegarkan kembali fungsi-fungsi tubuh badan kita.
Jadi, apa yang korang buat pada waktu rehat? Sudah pastilah makan dan minum ye tak? Dah penat, perut lapar, tekak pun dahaga. Selepas sesi menyantap, mungkin ada di antara kita memanfaatkan waktu rehat dengan tidur sebentar. Ada juga yang suka melakukan aktiviti-aktiviti santai. Ada yang suka membelek akhbar dan majalah, ada yang membelek gajet, ada yang bermain game dan ada juga yang mengambil kesempatan menonton movie di komputer masing-masing terutamanya bagi yang bekerja di pejabat.
Tak kiralah apa juga yang ingin dilakukan, ianya perlu dihormati. Maksud aku, walaupun ini bukanlah masa berkualiti bekerja tapi ianya adalah masa berkualiti untuk diri masing-masing mencari ketenangan. Saat-saat beginilah yang begitu bermanfaat bagi seseorang dan tidak sepatutnya diganggu, kerana itulah aku kata ianya perlu dihormati. Berikut aku senaraikan beberapa etika menghormati hak masa berehat orang lain:-
1) Paling kerap berlaku bila seseorang itu bersembang di telefon mahupun bersembang secara beramai-ramai, volume suara tu macam berbual dekat rumah sehingga mengganggu mereka yang ingin berehat dan tidur seketika. Apalah salah jika kau rendahkan sedikit volume suara tu? Ataupun, carilah tempat yang sesuai dan tidak mengganggu ketenteraman orang lain yang ingin berehat. Mungkin itu cara kau bersantai dan mencari ketenangan tapi mungkin menggangu ketenteraman orang lain.
2) Waktu berehat gunakanlah untuk berehat. Walau sekritikal manapun kerja kau sehinggalah kau benar-benar terpaksa menggunakan waktu rehat bagi menghabiskan tugasan yang benar-benar urgent, jangan sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Misalnya penggunaan mesin printer dan fotostat, kalau boleh tunggulah sehingga waktu rehat selesai baharulah kau mulakan kembali urusan penggunaan mesin itu. Nak habiskan kerja di waktu rehat tu boleh, tiada siapa melarang tapi janganlah sampai mengganggu ketenteraman orang lain. Kalau mesin berbunyi bising kau ingat orang lain boleh berehat dengan tenteram?
3) Kalau di pejabat, antara langkah yang diambil adalah dengan mematikan lampu. Bukan sahaja mengambil langkah penjimatan tenaga sebaliknya juga dapat mewujudkan suasana lebih tenang. Walaubagaimanapun, jika engkau terlalu sibuk sekalipun, harap-harapnya janganlah menghalang orang lain menutup lampu pada waktu rehat. Kau tak boleh halang melainkan kau kerja seorang sahajaatau tiada orang lain di pejabat ketika itu. Pandai-pandai engkaulah nak buat kerja di dalam gelap. Kau tak boleh marah orang lain sebab itu bukan waktu bekerja!
4) Jikalau kau seorang bos, usahlah mengganggu masa rehat staf kau. Itu adalah masa kualiti khas untuk mereka yang tidak kau bayar jika mereka lakukan lebihan kerja. Lagipun, jika kau ganggu masa rehat mereka, adakah kau akan mengizinkan mereka menggunakan waktu kerja untuk berehat selain daripada aktiviti makan minum? Boleh ke mereka nak tidur sebentar pada waktu bekerja? Tak boleh, kan? Jadi, lebih elok bertimbang-rasa terhadap staf bawahan. Peruntukan masa sejam berehat itu tidak wajar diganggu. Prihatinlah.
5) Lanjutan penjelasan yang lebih kurang sama dengan no.4, jika kau seorang majikan, pengurus mahupun seorang wakil pihak client, bertoleransilah dengan peruntukkan masa rehat orang lain. Kalau boleh, elakkanlah mesyuarat yang berlarutan sehingga mengganggu masa rehat orang lain. Sebagai client juga kau perlu tahu makna efisyensi. Jika waktu rehat orang yang kau deal with pun kau langgar, lepas tu kau perlukan mereka efisyen dan menepati masa dalam banyak hal, adakah itu adil? Jika kau seorang pengurus mahupun seorang majikan, jika terdesak sekalipun sehingga memaksa kau menggunakan waktu rehat staf-staf kau atas beberapa urusan yang kau rasa terlalu penting, kau seharusnya rancang elok-elok supaya waktu rehat staf-staf kau tidak menjadi waktu yang memudaratkan mereka. Kalau kau rasa mereka perlu makan awal, berilah mereka masa makan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti ada yang mungkin jatuh pengsan, pening dan sebagainya kerana lewat makan tengahari. Itu tidak seharusnya berlaku. Amanahkan kepada seseorang untuk menjaga kebajikan staf-staf kau pada situasi kau memerlukan khidmat mereka melangkaui waktu rehat mereka.
6) Begitu juga dengan pihak-pihak luar yang bersangkut-paut dengan syarikat kita, mereka juga harus menghormati waktu rehat orang lain. Janganlah masa orang nak berehat, kau sibuk-sibuk pula nak menghubungi menerusi telefon pejabat mereka. Kan bising dan menggangu tu! Jangan marah kalau tiada sesiapa yang akan menjawab panggilan kau sebab itu bukanlah waktu bekerja mereka. Kalau nak buat panggilan, buatlah dalam paras waktu selain pukul 12 tengahari sehingga ke 2 petang sebab inilah biasanya paras waktu-waktu rehat standard di kebanyakkan tempat.
7) Satu lagi yang ingin aku sentuh khas pada hari Jumaat. Biasanya hari Jumaat pekerja diberikan 2 jam masa rehat bagi menunaikan solat Jumaat dan berehat. Secara tidak langsungnya waktu ini turut dinikmati oleh kaum wanita malah staf-staf yang bukan Islam. Mengapa tidak kaum wanita mahupun warga bukan Islam tadi memberi laluan kepada golongan muslimin lelaki untuk keluar dari tempat kerja terlebih dahulu kerana mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Ramai juga yang aku lihat sedang kaum Adam sibuk ingin keluar ke masjid, ketika itu jugalah kaum wanitanya turut menyibukkan keadaan untuk ke tempat-tempat lain seperti pergi makan atau pergi bershopping demi memanfaatkan tempoh masa rehat selama 2 jam yang diberikan syarikat. Prihatinlah sikit. Tapi tak semualah yang begini, segelintir sahaja.
Inilah dia antara beberapa perkara yang sering aku lihat boleh mengganggu ketenteraman orang lain untuk menikmati waktu berehat. Hormatilah masa berharga mereka. Walaupun syarikat menggajikan mereka untuk bekerja akan tetapi mereka tidak dibayar untuk menampung stress berlebihan. Sedangkan peralatan mesin jentera sekalipun kau jaga seelok-eloknya agak tidak mudah rosak sebab nak pakai lama, inikan pula manusia? Walaubagaimanapun, apa yang aku utarakan ini lebih menjurus kepada situasi pekerjaan yang sekadar diberi rehat satu jam pada waktu tengahari, tidak termasuk situasi pekerjaan yang diberi banyak keistimewaan waktu rehat sehingga 2-3 kali sehari. Korang tentu faham sektor mana yang aku maksudkan, kan? Bukan aku bersikap pilih kasih akan tetapi beginilah lumrahnya kami yang bekerja di sektor swasta.
Waktu rehat, kita rehat. Manfaatkan nilai masa yang diberikan sebaik-baiknya kerana dengan penggunaan masa rehat yang betul untuk berehat dapat meningkatkan prestasi dalam kerja. Bila prestasi dipertingkat, kualiti terpelihara, produktiviti pun cemerlang.
Tuesday, 20 December 2016
Thursday, 15 December 2016
BERBISNES KITA??
Dalam kelangsungan masyarakat mencari nafkah bagi meneruskan kelangsungan hidup, pelbagai kerja yang mereka lakukan. Ramai yang sekadar bekerja makan gaji tapi tak kurang juga yang menceburi dunia perniagaan malah ramai juga menjadikan perniagaan sebagai mencari pendapatan sampingan tak kiralah bisnes MLM mahupun bisnes sendiri secara online. Tak cukup duit belanja katanya.
Image credit : combiboilersleeds.com
Aku puji mereka yang kuat berusaha membina kerjaya dalam bisnes ini bagi meningkatkan pendapatan mereka. Ini adalah lebih baik dariapada orang-orang yang asyik saja merungut tak cukup itu dan tak cukup ini semata-mata serta balik-balik menyalahkan sesetengah pihak contohnya pihak pemerintah. Ada saja yang tak kena. Ada saja nak dipolitikkan. Alah, tak payah nak cakap orang, sebenarnya aku pun tidak terkecuali juga tergolong dari kalangan mereka yang suka menyalahkan pihak-pihak tertentu ini. Sama sahaja. Kadang-kadang terdetik juga di hati mengata orang. Iyalah aku pun takdalah sebaik mana sangat cumanya, berpada-padalah.
Berbalik kepada cerita berbisnes tadi, aku sendiri pun adakalanya memang terlintas juga untuk memulakan bisnes. Idea tu dah ada cuma aku merasakan belum ada masa yang sesuai untuk memulakan. Bukan apa, bukannya aku tak mahu berubah mentaliti seperti mentaliti orang-orang yang aktif berbisnes ni. Aku puji aspirasi, inspirasi, motivasi dan apa-apa si nya lagi mereka ini tinggal lagi sebenarnya aku mahu terus fokus dengan kerjaya sekarang dan famili terlebih dahulu. Pada aku, setakat ini pendapatan aku dan isteri masih lagi mencukupi dan mampu menanggung keperluan kami sekeluarga, justeru aku tak mahulah terburu-buru membuat pekerjaan sampingan semata-mata nak cari duit lebih. Pada fikiran aku, aku lebih risau jika aku tidak punya masa untuk menguruskan rumahtangga lagi. Iyalah, aku jika di rumah bukanlah duduk goyang kaki sahaja, banyak tugasan sebenarnya yang menanti. Siapa nak memasak, nak menyidai baju, nak menguruskan hal-ehwal sekolah anak, homework mereka, pelajaran mereka, ajar mengaji Al-Quran dan macam-macam lagi? Siapa lagi yang nak buat kalau aku dah terlalu sibuk nak menguruskan pekerjaan atau perniagaan sampingan? Penat pun satu hal. Aku bimbang tanggungjawab aku terhadap keluarga terabai semata-mata nak mencari duit lebih. Ya aku faham, orang akan kata ini hanyalah alasan. Mungkin bagi mereka yang aktif berbisnes ini pasti menempelak pendapat dan mentaliti aku yang mundur ini. Takpa, terserahlah pada pandangan masing-masing.
Aku bukan kata aku tak suka berbisnes langsung. Aku juga sendiri pun pernah terlibat banyak kali dalam aktiviti bisnes baik di sekolah mahupun selepas sekolah. Aku juga tahu sedikit-sebanyak asas-asas dalam peniagaan. Jadi, takdalah kata aku tak berminat langsung! Walaubagaimanapun terus-terang, aku tidak berminat dengan bisnes MLM. Aku bukan nak merendah-rendahkan sesiapa yang ingin menceburi bidang MLM. Aku pun tak melarang. Sesiapa yang nak menyertai bisnes berkenaan, silakan selagi kau ada keyakinan usaha itu mampu untuk bawa kau pergi lebih jauh. Tidak bagi aku sebab aku tahu sejauh mana kemampuan aku dalam bidang itu.
Sebenarnya, dalam dunia bisnes ni aku lebih suka jika menjual produk yang boleh memberi manfaat dan benar-benar mencakupi keperluan orang lain. Harganya pula biarlah reasonable. Pendek kata, tak membebankan. Pada pengamatan aku, harga kebanyakkan produk bisnes MLM ni bukanlah harga pokok sebenar produk akan tetapi sudah merangkumi di dalamnya keuntungan-keuntungan pihak itu dan pihak ini secara berperingkat-peringkat. Baik keuntungan upline yang dah duduk goyang kaki mahupun downline yang bertungkus-lumus, semua dah dikira. Itu belum lagi mereka yang menjual bukan dengan harga ahli. Nak ikutkan boleh dapat beberapa ringgit seunit tapi disebabkan ia diniagakan di bawah program MLM, boleh jadi mencecah puluhan dan ratusan ringgit! Aku kurang bersetuju. Produknya pula, maaf kata, bukanlah seratus-peratus keperluan rutin orang ramai. Akan tetapi, produk-produk inilah yang sering diperbesar-besarkan kehebatannya, dijanjikan kelebihan itu dan ini sehingga mempengaruhi orang ramai untuk mendapatkan walhal penghujung natijahnya nanti, ia mungkin bukanlah pembelian yang berbaloi. Produk supplement contohnya, sebahagiannya bukanlah keperluan untuk dimasukkan ke dalam badan kita tapi disebabkan dibuai dengan bayangan yang indah-indah, pengguna terpengaruh. Lihat sajalah lagi pelbagai promo jualan produk di luar sana, contohnya produk merawat kanser. Penghidap kanser beriya-iya mendapatkan dan sanggup membiaya kos tinggi tapi penghujungnya nanti, hasilnya tidak seperti diharapkan. Tapi tak semualah. Tak semua yang sebegini, selintir bisnes MLM sahaja. Aku tahu dan aku pasti, ramai yang kecam aku. Ya aku faham, kita perlu berikhtiar dalam mencari penawar penyakit tak kira apa jua keadaan. Tapi bagaimana pula dengan harapan mereka? Aku tak berapa berkenan dengan janji-janji produk sebegitu. Membayangkan harapan tapi harapan itu kelak akan tinggal terus menjadi harapan.
Dari sudut lain pula, mereka yang berkecimpung di dalam dunia perniagaan seumpama ini dijanjikan dengan pelbagai habuan insentif lumayan seperti hadiah itu dan ini jika sales menepati atau melebihi sasaran. Mahu tak mahu, si penjual beriya-iya meningkatkan usaha, meningkatkan promosi demi mencari pelanggan dan menjanjikan dengan pelbagai harapan serta membayangkan betapa hebatnya produk jualan mereka yang tiada tandingannya kepada para bakal pengguna. Yang bukan perlu akan menjadi begitu perlu semata-mata kau ingin mencapai target jualan. Jadi kesimpulannya kau berniaga untuk achieve target semata-mata ke? Dan oleh sebab itu kau taburkan pelbagai janji yang belum tentu terbukti kebenarannya kepada para pembeli?
Nak berbisnes pada akulah, biarlah produk tu benar-benar memberi manfaat dan bukan janji-janji kosong belaka. Nak berbisnes MLM ni pun tak salah. Berbisneslah selagi mampu. Cumanya, perbetulkanlah nawaitu itu. Janganlah tetapkan target untuk mencari kekayaan semata-mata. Aku tak suka orang berbisnes semata-mata untuk jadi kaya-raya sebab adakalanya bila nawaitu ditetapkan sedemikian, si peniaga ini mula lupa terma-terma yang seharusnya ada dalam sesebuah perniagaan. Ada juga yang akan lupa pada unsur riba’ dan berniaga tanpa etika yang sepatutnya. Semuanya asal boleh sahaja dan mampu menjana keuntungan berlipat kali ganda. Contoh lain yang boleh aku bagi, bisnes makanan. Kau promosikan cukup hebat dan cantik di media-media sosial seolah-olah ianya begitu istimewa tapi natijahnya indah khabar dari rupa. Tak menipu namanya? Apa yang pernah aku belajar dalam subjek Mu’amalat di sekolah agama dulu, dalam urusan jual-beli ni, pelbagai syarat yang ditetapkan. Syarat-syarat jual-beli ini sebenarnya demi mendapatkan persetujuan bersama dan mewujudkan keredhoan antara pembeli dan penjual serta berlandaskan syariah. Pembelian juga mestilah bermanfaat. Pembeli ada hak untuk tidak ditipu. Jika pembeli tidak berpuashati dengan barang yang dibelinya tadi akan tetapi tidak boleh dikembalikan kepada penjual, apakah wujudnya redho di antara kedua-duanya itu? Kau sebagai penjual juga sudah semestinya berkeras tidak mahu rugi juga, kan? Tapi, adakah kau fikir pelanggan suka dan redho dengan produk yang kau jual?
Kesimpulannya, nak berniaga usahlah berjanji-janji bulan bintang. Memanglah Rasulullah sendiri menganjurkan supaya umatnya berniaga, tapi baginda tak pernah menyuruh berjanji-janji kosong. Baginda juga mengamalkan melebihkan melebihkan sukatan dalam timbangan. Jadi dalam ertikata lain, baginda tidak memberatkan soal untung semata-mata tapi baginda menekankan soal keberkatan dalam perniagaan dan memberi manfaat kepada pihak yang membeli. Adakah ini yang menjadi panduan kita selama ini? Berniaga perlu telus, amanah dan adil. Janganlah hanya kerana ingin mengejar keuntungan dunia, kita lupa balasan di akhirat nanti sekiranya kita curang dalam perniagaan.
Maaflah kalau kata-kata aku mengguris di kalbu. Aku cuma menyatakan pendapat aku. Tak semuanya yang aku kata ini betul pada segelintir peniaga. Mungkin terdapat percanggahan. Justeru, aku memohon maaf. Namun, apa yang aku utarakan sebenarnya adalah supaya berpadalah dalam kebanyakkan hal. Semoga apa yang dilakukan membawa keberkatan dunia dan akhirat in shaa Allah.
Subscribe to:
Posts (Atom)