Saturday, 3 November 2018

KUNCI PERODUA

Saban tahun pelbagai teknologi dicipta bagi kemudahan pengguna baik telekomunikasi, kejuruteraan dan pelbagai lagi. Kenderaan-kenderaan yang baharu semakin hari semakin dilengkapi dengan pelbagai kecanggihan termasuklah sistem sekuriti penggera keselamatan.

Sistem penggera keselamatan amat penting bagi mengurangkan risiko kecurian. Jikalau tiada sistem penggera keselamatan sekalipun, at least pasanglah steering lock, gear lock mahupun brake lock. Jika ada modal lebih sedikit, bolehlah pasang additional security sensor. Dengan adanya security sensor ini sedikit sebanyak dapat  mengurangkan lagi risiko kecurian.

Bagi kebanyakkan kenderaan jenis Perodua contohnya, tanpa disedari sebenarnya telahpun dilengkapi dengan ciri sensor penggera keselamatan walaupun masih menggunakan anak kunci. Ramai yang tidak menyedari.


Anak kunci dan remote control penggera keselamatan adalah sama penting. Remote control digunakan bagi mengunci pintu dan membunyikan alarm manakala anak kunci seperti di dalam gambar, tanpanya enjin tidak akan dapat dihidupkan. Memanglah tanpa anak kunci, enjin tidak dapat dihidupkan tetapi sistem sensor penggera keselamatan kenderaan juga terletak di dalam anak kunci berkenaan.

Sebenarnya, di dalam anak kunci jenis Perodua seperti dalam gambar di atas telahpun dilengkapi dengan cip sensor dan diselaputi dengan material getah. Ketiadaan cip ini, maka sensor pengkomputeran yang terbina di dalam panel dashboard kenderaan tidak dapat diaktifkan. Oleh yang demikian enjin dan sistem pengkomputeran kenderaan tidak dapat dihidupkan. Malah jika kita menggunakan anak kunci salinan yang bukan anak kunci pendua dibekalkan pengeluar sekalipun, enjin kenderaan juga tidak dapat dihidupkan hanya kerana ketiadaan cip sensor ini.

Langkah yang baik juga disarankan kepada pengguna supaya dapat menyelang-nyelikan penggunaan setiap anak kunci baik yang sedang digunakan mahupun kunci pendua. Ini sebagai langkah supaya cip sensor bagi setiap anak kunci dapat aktif dengan berkesan dengan pasangan sensor di dalam panel dashboard kenderaan.

Justeru, jagalah anak kunci baik-baik kerana jika hilang, keseluruhan sistem sensor kenderaan juga terpaksa digantikan atau dimatikan. Kos penggantian juga mencecah ribuan ringgit.

Tuesday, 20 March 2018

KEHILANGAN TIKET PARKING AEON MALL

Hal ni mungkin akan berlaku tanpa diduga. Begitu juga yang terjadi kepada aku. Kad parking AEON aku tiba-tiba hilang dari dalam poket. Puas aku mencari di serata laluan dalam mall berkenaan sebelum aku sedari tiket parking aku hilang tadi tapi tak juga berjumpa. Sampaikan tukang sapu, cleaner tandas sehingga ke pelayan restoran aku tanya kot-kot ada ternampak tiket parking aku yang tercicir namun hampa. Mahu tak mahu, terpaksalah aku bayar penalti kehilangan tiket parking berkenaan.

Bagi kehilangan tiket parking di AEON Mall, mudah saja urusannya walaupun aku bayangkan aku akan kena turun naik pejabat sebelum itu. Caranya, pergi sahaja ke Kaunter Informasi. Katakan yang tiket parking kita hilang. Kita akan diberikan sekeping borang untuk diisi. Antara butiran yang perlu diisi adalah butiran diri, butiran kenderaan, alamat kediaman dan nombor untuk dihubungi. Jadi, segala butiran ini perlu diingat betul-betul. Manalah tahu kalau kenderaan kita tu kenderaan pinjam atau disewa. Butiran ini semua perlu bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kecurian kenderaan.

Setelah borang berkenaan selesai diisi, bayaran penalti akan dikenakan sebanyak RM20. Penalti ini tidak boleh ditebus semula sekiranya kita menjumpai semula tiket yang hilang tadi. Jadi, sila pastikan tiket itu benar-benar tidak dijumpai sebelum membuat laporan kehilangan tiket parking. Seperkara lagi, laporan kehilangan tiket parking ini hanya perlu dibuat jika kita benar-benar berhasrat untuk meninggalkan mall berkenaan pada waktu berkenaan kerana had tempoh masa yang diberikan hanya 15 minit.

Selepas bayaran dibuat, borang dan tiket yang baharu akan diserahkan kepada pengawal keselamatan bertugas. Beliau akan mengiringi kita sampai ke kereta. Jadi di sini, adalah mustahak untuk kita mengingati lokasi sebenar kenderaan kita supaya masa yang diambil untuk kembali ke kenderaan tidak terlalu lama. Lebih elok jika kita mengambil gambar lokasi kenderaan kita diletakkan sebelum kita masuk ke dalam mall. Sesetengah pengawal keselamatan lebih peka terhadap warna cat zon kawasan berbanding nombor sahaja. Jadi, dengan mengambil gambar dan menunjukkan kepadanya adalah jalan terbaik.

Setelah tiba di kenderaan, pengawal keselamatan berkenaan akan membuat pengecaman kenderaan berdasarkan butiran yang diisikan di dalam borang tadi. Aku perasan juga pengawal tu meneliti cukai jalan, tak pasti pula untuk apa? Setelah beliau berpuas-hati, baharulah tiket baharu tadi diserahkan kepada kita bagi digunakan untuk keluar dari parking AEON Mall.

Moral of the story, sila simpan tiket parking di tempat yang betul-betul selamat dan tidak mudah tercicir. Dalam poket pun belum tentu selamat kerana kemungkinan tercicir tanpa disedari itu ada, mungkin terikut semasa mengeluarkan sesuatu dari poket, mungkin ketika di tandas dan mungkin juga ketika solat. Kadar bayaran penalti kehilangan tiket parking juga berbeza-beza mengikut jenis premis. Jadi, simpan tiket parking elok-elok.