Tuesday, 20 March 2018

KEHILANGAN TIKET PARKING AEON MALL

Hal ni mungkin akan berlaku tanpa diduga. Begitu juga yang terjadi kepada aku. Kad parking AEON aku tiba-tiba hilang dari dalam poket. Puas aku mencari di serata laluan dalam mall berkenaan sebelum aku sedari tiket parking aku hilang tadi tapi tak juga berjumpa. Sampaikan tukang sapu, cleaner tandas sehingga ke pelayan restoran aku tanya kot-kot ada ternampak tiket parking aku yang tercicir namun hampa. Mahu tak mahu, terpaksalah aku bayar penalti kehilangan tiket parking berkenaan.

Bagi kehilangan tiket parking di AEON Mall, mudah saja urusannya walaupun aku bayangkan aku akan kena turun naik pejabat sebelum itu. Caranya, pergi sahaja ke Kaunter Informasi. Katakan yang tiket parking kita hilang. Kita akan diberikan sekeping borang untuk diisi. Antara butiran yang perlu diisi adalah butiran diri, butiran kenderaan, alamat kediaman dan nombor untuk dihubungi. Jadi, segala butiran ini perlu diingat betul-betul. Manalah tahu kalau kenderaan kita tu kenderaan pinjam atau disewa. Butiran ini semua perlu bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kecurian kenderaan.

Setelah borang berkenaan selesai diisi, bayaran penalti akan dikenakan sebanyak RM20. Penalti ini tidak boleh ditebus semula sekiranya kita menjumpai semula tiket yang hilang tadi. Jadi, sila pastikan tiket itu benar-benar tidak dijumpai sebelum membuat laporan kehilangan tiket parking. Seperkara lagi, laporan kehilangan tiket parking ini hanya perlu dibuat jika kita benar-benar berhasrat untuk meninggalkan mall berkenaan pada waktu berkenaan kerana had tempoh masa yang diberikan hanya 15 minit.

Selepas bayaran dibuat, borang dan tiket yang baharu akan diserahkan kepada pengawal keselamatan bertugas. Beliau akan mengiringi kita sampai ke kereta. Jadi di sini, adalah mustahak untuk kita mengingati lokasi sebenar kenderaan kita supaya masa yang diambil untuk kembali ke kenderaan tidak terlalu lama. Lebih elok jika kita mengambil gambar lokasi kenderaan kita diletakkan sebelum kita masuk ke dalam mall. Sesetengah pengawal keselamatan lebih peka terhadap warna cat zon kawasan berbanding nombor sahaja. Jadi, dengan mengambil gambar dan menunjukkan kepadanya adalah jalan terbaik.

Setelah tiba di kenderaan, pengawal keselamatan berkenaan akan membuat pengecaman kenderaan berdasarkan butiran yang diisikan di dalam borang tadi. Aku perasan juga pengawal tu meneliti cukai jalan, tak pasti pula untuk apa? Setelah beliau berpuas-hati, baharulah tiket baharu tadi diserahkan kepada kita bagi digunakan untuk keluar dari parking AEON Mall.

Moral of the story, sila simpan tiket parking di tempat yang betul-betul selamat dan tidak mudah tercicir. Dalam poket pun belum tentu selamat kerana kemungkinan tercicir tanpa disedari itu ada, mungkin terikut semasa mengeluarkan sesuatu dari poket, mungkin ketika di tandas dan mungkin juga ketika solat. Kadar bayaran penalti kehilangan tiket parking juga berbeza-beza mengikut jenis premis. Jadi, simpan tiket parking elok-elok.